Di Malaysia, brownies menjadi makin popular dengan pelbagai variasi. Antaranya tentulah brownies kedut, brownies kukus, brownies cupcake, brownies nutella, dan brownies keju. Berbanding kek, brownies mempunyai tekstur yang sedikit berbeza di mana brownies lebih padat dan tidak segebu kek. Dari segi rasanya juga, brownies mempunyai rasa yang kaya dan kurang memuakkan. Maka, tak hairanlah makin ramai orang Malaysia yang jatuh hati pada brownies!
Bagi yang tercari-cari cara buat brownies paling ‘simple’, di sini kami kongsikan resepi yang sangat mudah daripada Puan Zai Rosely. Menariknya, beliau hanya menggunakan 3 bahan saja!
Tentu ramai yang nak tahu apa 3 bahan tersebut dan bagaimana cara membuatnya.
Cara Buat Brownies Coklat Paling Senang. Cuma 3 Bahan!
Berikut dikongsikan langkah demi langkah bergambar untuk anda ikuti dengan mudah. Jom masuk dapur!
Bahan-bahan:
1/2 cwn nutella
1 biji telur gred B
5 sudu besar tepung gandum
(Adunan ini dapat membuat 18-20 cups kecil. Kalau nak banyak, boleh gandakan sukatannya.)
Cara Buat Brownies Coklat: Langkah Demi Langkah
Berikut adalah cara buat brownies coklat beserta penerangan bergambar. Ikut betul-betul ya, mudah-mudahan menjadi.
1. Pukul Nutella Dan Telur
Pukul atau whisk nutella dan telur hingga sebati.
Kalau tak ada mixer, pakai garfu pun boleh kerana adunan tak semestinya dipukul hingga gebu.
2. Masukkan Tepung
Apabila dah sebati, masukkan tepung. Gaulkan lagi sampai sebati. Tak payah guna baking powder ya.
3. Masukkan Dalam Acuan
Sudukan dalam cups atau terus tuang ke dalam loyang atau acuan yang diingini.
Seperti dalam gambar di bawah, Puan Zai Rosely menggunakan cups. Salah satu sebabnya adalah kerana ia nampak comel. Selepas itu, bolehlah menghiaskan dengan menggunakan bahan kesukaan anda atau anak-anak. Contohnya cip coklat, kekacang, keju, atau gula ‘sprinkle’ yang berwarna-warni. Terpulang kepada citarasa masing-masing.
4. Bakar Dalam Ketuhar
Bakar 160℃ selama 15-20 minit mengikut ketuhar atau ‘oven’ masing-masing.
Walaupun tak letak baking powder sebentar tadi, anda boleh lihat aduan tadi dah naik membukit.
5. Siap!
Eh, dah siap dah pun. Tunggu sejuk sebelum dihias ‘topping’ atau dihidangkan terus. Puan Zai Rosely menambahkan nutella lagi untuk menaikkan lagi serinya.
Anak-anak tentu lebih teruja untuk memakannya!
Wah, Senangnya!
Macam tak percaya, hanya menggunakan 3 bahan tadi anda boleh membuat brownies yang amat menggiurkan. Memang sesuai untuk minum petang dan kudapan seisi keluarga. Mudah sangat cara buat brownies versi Puan Zai Rosely ini.
Jadi, apa lagi. Rugilah kalau tak cuba. Mereka yang amatur pun mesti boleh membuatnya!
*Perkongsian asal cara buat brownies oleh Puan Zai Rosely melalui laman Facebook diterbitkan semula dengan kebenarannya.