Cara Ajar Kucing Guna Tandas
Kucing sememangnya antara haiwan yang paling popular untuk dipelihara dan dijadikan pendamping di rumah.
Gelagatnya yang mencuit hati dan comel juga membuatkan seseorang mudah jatuh hati pada kucing.
Tapi bila difikirkan tentang sifat kucing yang suka kencing atau buang air merata-rata membuatkan kita berfikir dua kali sebelum bercadang untuk membela kucing.
Oleh itu, mari kita belajar cara melatih kucing menggunakan tandas.
Cara ini bukan sahaja boleh memastikan kawasan rumah bersih, malah anda juga boleh jimat banyak duit daripada membeli pasir kucing.
Jom ikuti tips ini untuk anda yang merancang nak bela kucing!
Cara Ajar Kucing Guna Tandas
1. Perkenalkan Kucing Kepada Bekas Pasir
Langkah awal untuk mengajar kucing untuk membuang najis mengikut tempat ialah dengan menyediakan bekas berisi pasir kucing.
Bagi memudahkan kucing anda untuk beralih kepada menggunakan tandas, letakkan bekas berpasir di dalam tandas agar kucing dapat menyesuaikan diri dengan kawasan membuang najis.
2. Sentiasa Mop Lantai & Bersihkan Bekas Najis Kucing di Sekitar Rumah
Bagi menghilangkan najis serta bau yang tidak menyenangkan, anda digalakkan untuk sentiasa bersihkan bekas najis kucing dan mop lantai bersih-bersih sehingga hilang bau.
Kesan bau yang yang masih tersisa akan membuatkan kucing anda untuk terus membuang najis lagi di tempat yang biasa dan selesa bagi mereka.
3. ‘Kurung’ Kucing di Dalam Tandas
Ini salah satu tips yang dikongsikan di media sosial:
‘Kurung’ kucing anda di sangkat kucing selama 3 hari berturut-turut bermula dari pukul 12.00 tengah malam sehingga selepas subuh atau 8.00 pagi.
Jangan lupa juga untuk tinggalkan bekas berisi makanan di dalam tandas supaya kucing tidak kelaparan.
Tips ini mungkin kedengaran macam ‘kejam’, tapi cara ini amat berkesan bagi menyesuaikan kucing anda dengan persekitaran baru bagi membuang najis, lebih-lebih lagi bagi yang membela dengan melepas kucing di rumah.
Inilah gunanya sangkar kucing iaitu nak ajar mereka guna litterbox. KURUNG KUCING ADALAH TIDAK KEJAM OK! Buang mereka hanya sebab kencing / berak bersepah sebenarnya yang kejam.
4. Atur Masa Kucing Menggunakan Tandas
Bagi yang membela kucing di dalam sangkar, anda juga boleh aturkan kucing anda untuk membuang najis mengikut masa. Antara waktu yang disarankan ialah seperti berikut :
- Pagi : 6.00 pagi hingga 8.00 pagi
- Tengah hari : 12.00 tengah hari hingga 1.30 petang
- Malam : 7.00 malam hingga 8.30 malam
- Lewat Malam : 12.00 malam hingga 1.00 pagi
Namun, tidak semestinya kucing akan mengikut waktu ini ya!
Anda boleh tetapkan waktu sendiri mengikut kesesuaian anda dan kucing anda.
Baca juga: Jangan Bagi Kucing Minum Susu & Makan Tulang. Ini Sebabnya
5. Gunakan Cuka
Kucing akan kerap kencing di tempat yang sama jika tidak disediakan tempat membuang najis.
Selain membersihkan najis serta kawasan yang sering menjadi tempat kencing, anda juga boleh gunakan cuka untuk menghilangkan bau serta bagi mengelakkan kucing kencing di tempat yang sama.
Cara penggunaan cuka adalah seperti berikut :
- Bersihkan kawasan yang telah dicemari najis sehingga kering.
- Bilas kawasan tersebut dengan sedikit air dan cuka untuk menghilangkan bau najis dan air kencing.
6. Beli Toilet Train Kit Untuk Kucing
Kini terdapat ‘toilet train kit’ untuk anda latih kucing buang air di tandas. Ia berupa bekas pasir yang mempunyai bentuk khas supaya boleh dimuatkan pada ‘toilet seat’ di tandas rumah anda.
Ciri-ciri menarik ‘toilet Kit’ ialah ia dilengkapi dengan tahap-tahap yang berbeza untuk memudahkan kucing menyesuaikan diri sehinggalah kucing sudah biasa dan boleh buang najis terus ke dalam lubang tandas.
Ia juga diperbuat daripada bahan yang tahan lasak serta bebas toksik. Anda boleh dapatkannya di kedai haiwan peliharaan atau di laman membeli-belah online seperti Shopee.
Selamat Mencuba!
Dalam melatih kucing anda menggunakan tandas, anda perlu bersabar supaya kucing dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit. Anda juga perlu memastikan rumah sentiasa bersih dan bebas bau najis atau kencing kucing.
Ini bagi memastikan kucing anda dilatih untuk membuang hajat di tandas sahaja.
Jangan lupa juga untuk bertegas dan konsisten dalam latihan supaya latihan lebih cepat selesai dan anda juga tiada masalah lagi pada masa akan datang.
Selamat mencuba!