Famili

Kanak-Kanak Dua Tahun Maut Dipercayai Ditinggalkan Lebih Tujuh Jam Dalam Kereta

27
SHARES
Budak perempuan

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan maut selepas dipercayai ditinggalkan lebih tujuh jam di dalam kereta di Ara Damansara, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.49 petang selepas ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di rumah.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati pada 7 pagi hari yang sama, ibu bayi itu menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika berhampiran untuk menghantar kanak-kanak perempuan itu.

“Apabila sampai di tadika, ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.

“Ibu mangsa terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada di dalam kereta pada 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— LAGI

BAYI-MAUT 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Mohamad Fakhrudin berkata bapa kanak-kanak itu telah memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian, namun disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka, lebih bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan anak di bawah jagaan masing-masing.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu agar menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×