Menyentuh isu perkahwinan, sudah pasti ada dalam kalangan kita yang masih tertanya-tanya tentang beberapa perkara. Antaranya adalah tentang status perkahwinan jika berkahwin bersama saudara sendiri sama ada saudara jauh atau dekat. Begitu juga dengan soalan yang dikemukakan kepada Mufti Wilayah Persekutuan ini, sama ada boleh atau tidak adik lelaki bongsu ingin mendirikan rumahtangga bersama anak perempuan tiri kakak. Ini jawapannya.
Baca juga: Tak Sengaja Runtuhkan Kabinet Dapur Mentua, Impian Jadi Menantu Idaman ‘Musnah’
BOLEH KE ADIK LELAKI BONGSU NAK KAHWIN DENGAN ANAK PEREMPUAN TIRI KAKAK?
Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Maaf menganggu ustaz. Saya ada soalan tapi soalan saya ini agak rumit sedikit ustaz. Suami saya ada 3 orang adik beradik. Adik yang pertama lelaki. Adik yang kedua perempuan. Adik yang bongsu juga lelaki. Adik perempuan saya berkahwin dengan seorang duda. Duda itu mempunyai tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Adik bongsu suami saya pula minat untuk berkahwin dengan salah seorang anak perempuan tiri adik kedua suami saya. Anak-anak tiri adik perempuan suami saya tu pula panggil adik bongsu suami saya Pak Su. Boleh atau tidak adik lelaki bongsu suami saya berkahwin dengan anak tiri sulung adik perempuan suami saya. Mereka macam suka sama suka. Boleh atau tidak dari segi hukum?. Mohon pencerahan ustaz. Kalau ustaz mahu saya lakarkan saya boleh lakarkan permasalahan saya ini.
Ringkasan jawapan :
Adik lelaki kepada suami puan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak tiri kepada adik perempuan suami. Ini kerana, anak tersebut dianggap bukan mahram kepada adik lelaki suami puan. Oleh kerana itu, dari sudut aurat perlu dijaga dan antara implikasi yang lain adalah dibenarkan untuk berkahwin dengannya.
Secara ringkasnya, mahram atau golongan yang diharamkan untuk berkahwin ada tiga keadaan. Antaranya mahram disebabkan perkahwinan. Imam Al-Nawawi menyatakan :
السَّبَبُ الثَّالِثُ: الْمُصَاهَرَةُ، فَيَحْرُمُ بِهَا عَلَى التَّأْبِيدِ أَرْبَعٌ. إِحْدَاهُنَّ: أُمُّ زَوْجَتِك وَأُمُّ زَوْجَتِكَ مِنْهَا كَأُمِّكَ مِنْكَ، وَسَوَاءٌ أُمَّهَاتُ النَّسَبِ وَالرَّضَاعِ. الثَّانِيَةُ: زَوْجَةُ ابْنِكَ وَابْنِ ابْنِكَ وَإِنْ سَفَلَ بِالنَّسَبِ وَالرَّضَاعِ، وَقَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى: (وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ) [النِّسَاءِ: ٢٣] الْمُرَادُ بِهِ أَنَّهُ لَا تَحْرُمُ زَوْجَةُ مَنْ تَبَنَّاهُ. الثَّالِثَةُ: زَوْجَةُ الْأَبِ وَالْأَجْدَادِ وَإِنْ عَلَوْا مِنْ قِبَلِ الْأَبِ وَالْأُمِّ جَمِيعًا، وَتَحْرُمُ زَوْجَةُ الْأَبِ مِنَ الرَّضَاعِ. الرَّابِعَةُ: بِنْتُ الزَّوْجَةِ، وَبِنْتُ زَوْجَتِكَ مِنْهَا كَبِنْتِكَ مِنْكَ، سَوَاءٌ بِنْتُ النَّسَبِ وَالرَّضَاعِ، وَتَحْرُمُ الثَّلَاثُ الْأُولَيَاتُ بِمُجَرَّدِ الْعَقْدِ، بِشَرْطِ أَنْ يَكُونَ صَحِيحًا. فَأَمَّا النِّكَاحُ الْفَاسِدُ، فَلَا يَتَعَلَّقُ بِهِ حُرْمَةُ الْمُصَاهَرَةِ، لِأَنَّهُ لَا يُفِيدُ حِلَّ الْمَنْكُوحَةِ، وَحُرْمَةُ غَيْرِهَا فَرْعٌ لِحِلِّهَا. وَأَمَّا الرَّابِعَةُ، وَهِيَ بِنْتُ الزَّوْجَةِ، فَلَا تَحْرُمُ إِلَّا بِالدُّخُولِ بِالزَّوْجَةِ
“ Sebab yang ketiga adalah perkahwinan. Yang diharamkan untuk berkahwin dengannya selama-lamanya ada empat golongan. Yang pertama adalah ibu kepada isteri kamu. Ibu isteri kamu adalah seperti ibu kamu sendiri. Sama ada ibu kandung dan susuan. Yang kedua, isteri kepada anak kamu atau isteri kepada cucu kamu dan ke bawah yang sabit dengan nasab dan susuan. Ini berdasarkan firman Allah : Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu[4]. Yang dimaksudkan adalah tidak diharamkan isteri kepada anak angkat.
Yang ketiga, isteri kepada ayah atau datuk dan keatas (moyang dan lain-lain) dari sebelah ayah dan ibu. Begitu juga, diharamkan untuk berkahwin dengan isteri kepada ayah susuan. Yang keempat, anak perempuan kepada isteri. Anak perempuan kepada isteri kamu adalah seperti anak kamu sendiri. Sama ada anak tersebut anak kandung (isteri) atau susuan. Tiga golongan yang pertama diharamkan berkahwin dengan sejurus selepas akad dengan syarat akad (nikah) itu adalah sah. Adapun akad yang fasid, iaitu tidak termasuk dalam mahram disebabkan perkahwinan. Ini kerana, akad yang fasid itu tidak menghalalkan wanita yang dinikahi. Pengharamkan untuk berkahwin dengan yang lain adalah cabang dari sahnya akad. Manakala yang keempat, iaitu anak perempuan kepada isteri. Tidak menjadi mahram melainkan setelah ibunya disetubuhi.”[5]
Di samping itu, ada juga wanita yang menjadi mahram disebabkan nasab kekeluargaan. Imam Al-Nawawi menjelaskan :
السَّبَبُ الْأَوَّلُ: الْقَرَابَةُ وَيَحْرُمُ مِنْهَا سَبْعٌ الْأُمَّهَاتُ وَالْبَنَاتُ وَالْأَخَوَاتُ وَالْعَمَّاتُ وَالْخَالَاتُ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْت
“Sebab yang pertama adalah nasab kekeluargaan. Ada tujuh golongan yang diharamkan berkahwin dengannya. Iaitu ibu, nenek, anak perempuan, saudara perempuan, mak cik sebelah ayah (saudara perempuan ayah),mak cik sebelah ibu (saudara perempuan ibu), anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.”[6]
DIBENARKAN KAHWIN, BUKAN MAHRAM
Kesemua golongan ini diharamkan untuk berkahwin dengan mereka selama-lamanya. Bagi mahram disebabkan nasab kekeluargaan, Imam Al-Ramli meletakkan garis panduan dalam menentukan perkara tersebut. Beliau menyatakan :
وَفِي ضَبْطِ ذَلِكَ عِبَارَتَانِ: إحْدَاهُمَا يَحْرُمُ عَلَى الرَّجُلِ أُصُولُهُ وَفُصُولُهُ وَفُصُولُ أَوَّلِ أُصُولِهِ وَأَوَّلُ فَصْلٍ مِنْ كُلِّ أَصْلٍ بَعْدَ الْأَصْلِ الْأَوَّلِ
“Dalam menentukan perkara tersebut adalah dua ibarah. Salah satunya haram kepada seorang lelaki untuk menikahi usulnya (ibu, nenek dan ke atas), anaknya (fusul), anak kepada usulnya (saudara perempuan dan anak perempuan kepada saudara lelaki atau perempuan) dan anak kepada setiap usul selepas usul yang pertama (iaitu mak cik sebelah ayah dan ibu).”[7]
Ada mahram disebabkan penyusuan. Kategori ini sama seperti mahram disebabkan nasab kekeluargaan. Ini bermakna seorang lelaki diharamkan untuk berkahwin dengan anak kandung kepada adik beradik termasuk cucu mereka. Justeru, dibenarkan untuk berkahwin dengan golongan selain daripada yang disebutkan.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, adik lelaki kepada suami puan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak tiri kepada adik perempuan suami. Ini kerana, anak tersebut bukan mahram kepada adik lelaki suami puan. Oleh kerana itu, dari sudut aurat perlu dijaga dan antara implikasi yang lain adalah dibenarkan untuk berkahwin dengannya.