Pilihan Editor

Binaan LEGO serlah bakat, 11 pasukan cilik raih anugerah LEGOLAND School Challenge 2023

Sebut saja LEGOLAND Malaysia Resort, pasti ramai yang teruja untuk berkunjung ke sana. 

Mana tidaknya, tidak kira hari biasa atau hujung minggu, LEGOLAND sentiasa sesak dengan pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Selain menjadi destinasi pilihan untuk beriadah, LEGOLAND juga terkenal dengan persekitaran yang mengetengahkan konsep pembelajaran kreatif di luar bilik darjah. 

Jadi, bagi anda yang belum berkesempatan ke destinasi popular ini, cepat-cepat bawa seisi keluarga ke sana tau!

LEGOLAND School Challenge 2023

Kalau anda nak tahu, setiap tahun LEGOLAND komited menganjurkan pelbagai program yang berupaya menarik minat ramai kanak-kanak untuk menyerlahkan bakat mereka. 

Paling popular, program tahunan LEGOLAND School Challenge (LSC) yang mencabar kreativiti serta kemahiran pelajar untuk menghasilkan binaan LEGO mengikut tema diberikan. 

Tahun ini, Sirap Limau sempat berkunjung ke LEGOLAND bagi menyaksikan sendiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang LEGOLAND School Challenge 2023.

Siapa sangka, tahun ini LSC menerima sambutan luar biasa dengan rekod penyertaan meningkat sehingga 80% melibatkan lebih 370 pasukan sekolah dari seluruh rantau ASEAN. 

Menurut LEGOLAND, ini adalah sambutan LSC paling hebat dalam sejarah dengan penyertaan pelajar mewakili pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. 

10 Pembina LEGO Terbaik

Daripada ratusan penyertaan yang diterima, panel penilai akhirnya memilih 10 Pembina LEGO terbaik. Ini bermakna 10 pasukan yang terpilih tu bukan calang-calang hebat ye!

Kami difahamkan penilaian oleh panel penilai mengambil kira keaslian idea, reka bentuk inovatif, penggunaan tema secara imaginatif dan gabungan elemen mampan.

Selain 10 pemenang binaan LEGO terbaik, LSC juga menyediakan anugerah kategori khas iaitu Anugerah Pemangkin Perubahan IIB ditaja oleh Iskandar Pelaburan Berhad. 

Kategori istimewa ini pula meraikan kreativiti dalam reka bentuk struktur bandar yang futuristik dengan tumpuan kepada teknologi baru dan elemen kemampanan. 

Dekat bawah ni kami senaraikan pasukan yang berjaya di LSC 2023, memang terbaiklah!

Kategori Sekolah Rendah

  1. Tempat Pertama: SJKC Keat Hwa K, Alor Setar, Kedah
  2. Tempat Kedua: SK Kubang Kerian 3, Kelantan.
  3. Tempat Ketiga: SK Tunku Azizah, Kuantan, Pahang.
  4. Tempat Keempat: SK Medini Nusajaya, Johor Bahru.
  5. Tempat Kelima: SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Kategori Sekolah Menengah

  1. Tempat Pertama: Campus Rangers International School, Kuala Lumpur.
  2. Tempat Kedua: Ateneo de Manila Junior High School, The Philippines.
  3. Tempat Ketiga: SMK Medini, Iskandar Puteri, Johor.
  4. Tempat Keempat: SM St Dominic Lahad Datu, Sabah.
  5. Tempat Kelima: Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Kuala Lumpur

Anugerah Pemangkin Perubahan IIB

  1. Sri Kuala Lumpur International School (Primary), Kuala Lumpur

Hadiah bernilai sehingga RM100,000!

Anda nak tahu kenapa LSC setiap tahun terus jadi rebutan? 

Haa… salah satu sebabnya adalah hadiah yang ditawarkan untuk pemenang LSC bukan biasa-biasa tau. 

Tahun ini, pasukan yang berjaya dalam cabaran LSC berpeluang membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM100,000! 

Hadiah-hadiah ini termasuk perjalanan pendidikan ke LEGOLAND Malaysia Resort, sebuah trofi yang dihasilkan menggunakan LEGO dan peluang eksklusif untuk mengambil bahagian dalam salah satu program pendidikan STEM LEGOLAND Malaysia. 

Setiap pemenang juga mendapat keistimewaan untuk menghadiri bengkel eksklusif dengan LEGO Master Model Builders, di mana mereka boleh memperhalusi kemahiran mereka dan mendalami minat untuk terus mencipta menggunakan LEGO.

Paling best, pemenang yang hadir ke majlis penyampaian hadiah di LEGOLAND Malaysia Resort baru-baru ini berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan peserta dari negara lain, berkongsi idea sekali gus dapat belajar antara satu sama lain. 

Bahagi masa demi kejayaan

Guru pengiring, Eugene Nandakumar (kiri) menyatakan rasa bangga dengan kejayaan pelajar bimbingannya. – Kredit LEGOLAND

Selesai saja majlis penyampaian hadiah, kami sempat menemu bual beberapa pasukan pemenang untuk mengetahui serba sedikit rahsia kejayaan mereka.

Tapi, apa yang mengejutkan jawapan daripada adik-adik ni betul-betul buat kami speechless tau!

Menurut Nanthanael Yap Zheng dan Ryan Chong Jian Heng mewakili pasukan mereka dari Campus Rangers International School, Kuala Lumpur, proses menyiapkan binaan LEGO mengambil masa lebih kurang satu bulan saja. 

“Paling mencabar adalah tempoh untuk menyiapkan tugasan ini terlalu singkat, ditambah pula  ketika itu kami sibuk dengan peperiksaan di sekolah. 

“Kami terpaksa membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran dan memberi tumpuan lebih pada hujung minggu untuk membuat kajian sekali gus menyiapkan projek LSC,” katanya. 

Kalau anda nak tahu, pasukan Campus Rangers International School, KL ni sebenarnya berjaya merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut tau. 

Menurut mereka, tahun hadapan mereka akan hantar lagi pasukan baru dengan misi untuk merebut gelaran juara sekali lagi. 

Tuah kali pertama sertai LSC

Pasukan SMK Medini bergambar dengan binaan LEGO mereka yang akan dipamerkan secara eksklusif di LEGOLAND – Kredit LEGOLAND

Bagi pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, Johor pula, cabaran untuk berjaya sampai ke tahap ini tidak mudah. 

Mengikut perancangan awal, mereka mempunyai tempoh lebih kurang dua bulan untuk menyiapkan binaan LEGO, tapi entah bagaimana ada bahagian binaan yang mengalami masalah dan mereka terpaksa merobohkan binaan dan bermula dari awal. 

“Ketika itu tarikh tutup penyertaan hanya tinggal lebih kurang sebulan saja. Tekanan memang tak tahu nak cakap. Bagaimanapun, saya bersyukur pasukan pelajar memberi komitmen yang sangat baik dan kami berjaya menyiapkan projek ini tepat waktu,” kongsi Guru Pengiring, Siti Fadhilatun Aisyah binti Abdul Nifa 34

Ditanya mengenai konsep dan idea yang dibawa menerusi binaan LEGO, Muhammad Affan Salleh dan Wan Daniel Eiman bin Wan Shyrell Zaydy antara pelajar yang mewakili pasukan SMK Medini menyatakan mereka tidak bergantung dengan maklumat dan carian melalui internet sahaja.

“Kami bahagikan tugas kepada semua ahli pasukan, ada pelajar yang pergi mengikuti kursus serta seminar, dan sebahagian lagi membuat kajian di lapangan termasuk mendapatkan pandangan awam serta mencari data di perpustakaan,” katanya.

Walaupun baru kali pertama menyertai LSC, pasukan SMK Medini berjaya mendapat tempat ketiga daripada ratusan penyertaan. Memang terbaiklah!

Rebut peluang untuk tahun hadapan!

Selepas dengar kisah kejayaan daripada pemenang LSC 2023, kami di Sirap Limau berharap program LSC ni dapat diteruskan lagi setiap tahun. Yelah, benda baik kita wajib sokong!

Kalau suatu ketika dulu bila dengar perkataan LEGO je mesti ramai yang fikir ia sekadar mainan semata-mata.

Tetapi menerusi LSC, ramai teruja kerana program ini tidak hanya mencabar minda peserta tetapi mengasah pelbagai kemahiran termasuk kerjasama dalam pasukan, pengurusan masa dan yang paling penting mendidik peserta untuk kekal berdisiplin.

Bagi sekolah yang belum pernah menyertai LSC, jangan lepaskan peluang untuk acara tahun hadapan.

Tahniah LEGOLAND Malaysia!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×