Nur

Betul Ke Syaitan Masuk Rumah Yang Tak Tutup Pintu Ketika Waktu Maghrib?

5
SHARES

Ramai dalam kalangan kita mengambil ringan dengan beberapa panduan yang telah diajar oleh Nabi SAW berdasarkan hadis-hadis yang Baginda SAW tinggalkan.

Antaranya adalah berkaitan perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika masuknya waktu senja. Ini kerana, dinyatakan di dalam hadith bahawa syaitan berkeliaran pada waktu tersebut.

Baca juga: [VIDEO] Haram Cerita Tentang Aurat Kawan Perempuan Dekat Suami

BETUL KE SYAITAN MASUK RUMAH YANG TAK TUTUP PINTU WAKTU MAGHRIB?

SOALAN:

Apakah benar syaitan akan masuk ke rumah yang terbuka ketika waktu Maghrib?

JAWAPAN:

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya kita tidak digalakkan untuk berada di luar rumah pada waktu senja disebabkan pada waktu syaitan sedang berkeliaran. Maka, di sini kami nukilkan sebuah hadith sahih yang menunjukkan petunjuk atau panduan daripada Nabi SAW kepada kita apabila tibanya waktu senja.

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari (3304) dan Muslim (2012)]

Perkara seperti ini, banyak dinyatakan oleh para ulama’ ketika mereka mensyarahkan atau memahami hadith ini. Antaranya ialah, Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) berkata bahawa hadith ini menunjukkan perintah (arahan) menutup pintu-pintu pada malam hari (apabila tibanya senja). Itu adalah sunnah yang diperintah akannya sebagai tanda kasih kepada manusia daripada (terkena kecelakaan atau keburukan) syaitan manusia dan jin. [Lihat: al-Istizkar, 363/8]

BANYAK KEBAIKAN SUPAYA TERHINDAR DARIPADA KECELAKAAN

Selain itu juga, Imam al-Nawawi (676 H) berkata bahawa hadith ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia. Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kecelakaan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kecelakaan atau keburukan syaitan ini.

Di samping itu juga, maksud menahan anak adalah melarang mereka daripada keluar pada waktu. Ini kerana, dibimbangi anak tersebut terkena kejahatan syaitan itu disebabkan banyaknya mereka (syaitan). [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 185/13]

Disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang-orang tua. Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×