Sihat

Betul Ke Minum Susu Boleh Putihkan Kulit? Rupa-Rupanya…

2
SHARES

Sudah menjadi sebati dalam masyarakat terutama kepada ibu mengandung yang mengamalkan peminuman susu demi manfaat kepada bayi serta diri ibu mengandung itu sendiri.

Namun, masih terdapat segelintir daripada mereka yang mempercayai bahawa minum susu dapat melahirkan anak yang putih melepak. Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Dr. Imelda Balchin minum susu tidak membantu memutihkan kulit.

Baca juga: Menyusu Badan Boleh Kurangkan Risiko Anak Demam Selepas Vaksin?

BETUL KE MINUM SUSU BOLEH PUTIHKAN KULIT?

Oleh itu, mari kita tambah ilmu pengetahuan mengenai isu susu memutihkan kulit dari pakar Dr. Imelda Balchin yang telah mengupas dengan lebih jelas dan berkongsi di laman buku beliau.

Kenapa minum susu tidak boleh memutihkan kulit?

SAINS KENAPA SUSU PUTIH:

Di dalam susu ada protein yang dinamakan casein. Casein itu bergabung dengan calcium dan phosphate di dalam susu.

Gabungan ini menyebabkan cahaya dipantul balik maka ia kelihatan putih. Bila semua warna dalam cahaya dipantul balik dan tidak diserap oleh sesuatu, maka ia akan kelihatan putih.

SAINS KENAPA KULIT MANUSIA PUTIH:

Kulit manusia yang gelap ada pigmen melanin yang menyerap cahaya maka ia kelihatan gelap. Kulit manusia yang cerah tiada cukup melanin maka ia kelihatan cerah.

Lagi banyak pigmen melanin dalam kulit, lagi banyak cahaya yang diserap maka kulit yang ada lebih melanin lebih gelap dari kulit yang hanya sedikit melanin. Berapa banyak melanin yang badan anda ada ialah satu faktor genetik.

KEBAIKAN MELANIN DALAM KULIT MANUSIA

Bila anda duduk di bawah cahaya matahari, pendedahan kepada cahaya matahari juga menyebabkan badan anda membuat lebih melanin untuk melindungi kulit anda dari sunburn. Tetapi berapa banyak melanin yang badan anda boleh buat juga ialah faktor genetik.

Melanin menghalang kemasukan ultraviolet dari cahaya ke dalam kulit dan mencegah sunburn. Ia juga melindungi kulit dari kanser kulit. Sebab itulah baka Omputeh yang hidup di negara yang tak cukup cahaya matahari boleh buat sikit saja melanin dan senang dapat sunburn jika terdedah kepada cahaya matahari yang terik di Malaysia.

Orang yang keturunan bakanya dari negara tropika dan Negara khatulistiwa yang memang selalu dapat banyak cahaya matahari ada baka genetik yang boleh buat banyak melanin untuk perlindungan kulit yang lebih terdedah kepada cahaya matahari yang terik di negara mereka.

Jika anda hidup di negara panas terik seperti Malaysia, maka kulit yang gelap itu satu kelebihan atau satu kebaikan kurniaan Tuhan kepada anda untuk perlindungan anda dari sunburn dan kanser kulit.

SUSU MEMUTIHKAN KULIT ADALAH TIDAK BENAR

Tidak ada protein susu casein yang bergabung dengan calcium dan phosphate di atas kulit manusia yang putih. Mereka hanya tiada cukup melanin.

Kalau anda gelap dan anda nak jadi putih, saya cadangkan anda tepek bedak banyak-banyak atas kulit. Anda nampak putih sebab bedak itu juga partikel yang tidak menyerap cahaya dan memantulkannya balik. Sebab itulah kulit anda kelihatan putih melepak bila tepek banyak-banyak bedak.

Anda tak boleh jadi putih dengan cara minum susu banyak-banyak. Protein susu akan dihadamkan di dalam perut dan diserap ke dalam darah anda untuk digunakan. TAK ada yang ditepekkan oleh badan anda ke atas kulit anda.

MINUM SUSU TIDAK MEMBERI KESAN KEPADA WARNA KULIT BAYI

Bayi di dalam kandungan ibu hamil juga tak boleh jadi putih bila ibu minum susu banyak-banyak sebab susu yang ibu telan masuk ke dalam organ perut untuk dihadamkan bukan masuk ke dalam organ rahim.

Organ rahim itu organ peranakan. Bayi duduk di dalam rahim, bukan duduk di dalam perut. Tidak ada susu yang masuk ke dalam rahim dan tak boleh tepek protein casein atas kulit bayi.

SEBARKAN FAKTA YANG BENAR, HENTIKAN FAKTA YANG SALAH

Bila masih ada lagi kepercayaan yang karut-karut macam ini, ia mungkin berpunca dari anda kata bayi duduk dalam perut. Ramai orang yang tak pernah belajar Sains mungkin keliru dan sangka organ perut dan organ rahim itu satu organ yang sama.

Sebab inilah saya cadangkan anda semua bantu saya meningkatkan taraf pendidikan kesihatan anak-anak kita supaya anak-anak kita menjadi lebih pandai lagi. Mereka yang tak pandai pun boleh jadi pandai dan tak terpedaya dengan mitos dan auta.

Berhentilah kata bayi yang belum dilahirkan duduk dalam perut. Katalah bayi yang belum dilahirkan duduk di dalam rahim ibu.

Tak susah pun gunakan perkataan yang betul. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Kita boleh mendidik anak-anak kita dengan betul. Doktor dan misi juga boleh mendidik pesakit ibu hamil dengan perkataan yang betul.

Jika bayi dilahirkan dengan kulit yang gelap di negara Malaysia, katalah Alhamdulillah bayi ini diberikan satu perlindungan semulajadi untuk hidup di negara yang panas. Kulit yang gelap ada fungsi yang bagus.

Semoga anak-anak kita menjadi lebih pandai lagi dan masyarakat generasi masa depan tidak lagi percaya kepada mitos dan auta.
Amin!

Sumber: Facebook Dr. Imelda Balchin

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×