Famili

6 Sebab Jangan Malu Belikan Nak Anak Barang ‘Bundle, Preloved & Second Hand’

57
SHARES

“Aduh, mahalnya barang-barang zaman sekarang ni. Hari tu dah janji dengan Iqram nak belikan basikal dia bulan ni… Tapi tengok akaun bank ni dah rasa macam ‘sesak’ pulak.”

Makin lama harga barang dah makin naik. Gaji pula bukan makin ‘liat’ nak naik. Golongan berkeluarga tentunya antara yang paling terkesan dengan tekanan ekonomi ini. Walaupun dah berjimat, poket masing-masing tetap ‘kempis’ lepas beberapa hari gaji.

Sebenarnya walaupun kita mahukan yang terbaik untuk anak, tak bermakna kita perlu habiskan wang yang paling banyak untuk mereka. Barang terpakai, preloved, atau bundle tak semestinya tak bagus. Kalau anda masih rasa teragak-agak dan serba salah, bacalah seterusnya.

6 Sebab Jangan Malu Nak Belikan Anak Barang Terpakai

1. Sangat Menjimatkan

Tak dinafikan, alasan paling utama yang menyebabkan makin ramai membeli barang terpakai adalah untuk berjimat. Dengan sedikit pengetahuan dan masa untuk survey, sekurang-kurangnya barang terpakai akan dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga asal. Biasanya peniaga juga akan memberi harga yang lebih murah kalau kita ‘borong’ banyak sikit.

Bukan itu saja, kalau pandai pilih kedai dan tawar-menawar, kita boleh berjimat sehingga 80-90%. Jadi, yang ada 4-5 orang anak tentu akan rasa sangat berbaloi.

Foto Kredit : straitstimes.com

2. Anak-anak Cepat Membesar

Anak-anak kecil terutamanya bayi memang begitu cepat membesar. Kalau anda perasan, mesti ada beberapa helai baju bayi yang dihadiahkan atau dibeli yang begitu jarang dipakai sebab dah tak muat.

Ini juga bermaksud ada banyak pakaian bayi yang masih elok dan cantik yang boleh dibeli di kedai barangan terpakai. Begitu jugalah dengan barangan lain seperti permainan, basikal, stroller, baby carrier, buku, dan macam-macam lagi.

Foto Kredit: kukuriku.ru

3. Ianya Unik

Sesetengah barangan terpakai adalah begitu unik dan sukar dijumpai di tempat lain. Malah, anda boleh menjumpai barangan berjenama yang original dan collector’s item yang mungkin hanya dijual secara ekslusif di luar negara.

Seronoknya, macam jumpa harta karun!

basuh baju bayi

Foto Kredit: syla.org.ua

4. Kurang Komitmen

Kalau beli barangan yang terpakai, kuranglah pening kepala. Sebabnya kebanyakan barangan yang dijual semula biasanya tahan lasak dan tak memerlukan cara penjagaan yang khusus.

Kita pun kurang rasa takut bila anak ‘ter’rosakkan pakaian, mainan, atau apa-apa sajalah. Anak kecil biasalah, lasak!

5. Sambil Membeli Boleh Menjual

Ada sesetengah kedai juga mengambil barangan terpakai untuk dijual semula. Atau, ada banyak saluran untuk kita menjual sendiri sama ada secara online mahupun offline.

Selain dapat menjana sedikit pendapatan, kita pun dapat mengorganisasikan ruang di rumah dengan lebih teratur tanpa perlu menyimpan lagi barang-barang yang tidak diperlukan.

Foto Kredit: ticket2u.com

6. Menyumbang Kepada Persekitaran

Tanpa disedari, di samping kita berjimat, kita juga dapat menyumbang kepada alam sekitar. Barangan terpakai semestinya lebih hijau kerana ia tidak menggunakan bahan mentah atau tenaga untuk membuatnya.

Selain itu, tiada pencemaran atau bahan buangan yang terhasil daripada proses pembuatannya.

Foto Kredit: theworldcounts.com

Barang Anak Yang Sesuai Dibeli ‘Second Hand’

Melalui internet kini, kita boleh menjumpai hampir apa saja barangan terpakai. Tetapi, ada sesetengah barangan yang lebih baik dibeli second hand berbanding baru, dan begitulah juga sebaliknya.

Antara barangan terpakai yang berbaloi dibeli untuk anak termasuklah:

  • Stroller / Kereta Sorong Bayi Jika anda jarang travel atau mencari stroller kedua untuk anak anda, tak salah jika memilih stroller terpakai. Ada banyak stroller terpakai yang berjenama dan masih berkualiti dengan harga yang jauh lebih murah.
  • Baju – Macam yang disebutkan di atas, anak-anak kecil memang cepat membesar. Kalau setakat nak cari baju untuk pakai di rumah, berbaloi sangatlah kalau beli yang terpakai saja. Bahkan kalau nak beli yang cantik dan berjenama, banyak sangat yang cantik dan masih elok.
  • Mainan – Anak-anak memang cepat bosan dengan mainan. Sesekali nak jimat, tak salah pun belikan mereka mainan yang terpakai. Ini termasuklah basikal, mainan elektronik, dan sebagainya.
  • Buku / Bahan Bacaan Kanak-kanak – Nak dapatkan buku jenis keras (board book) atau jenis kain (cloth book) boleh tahan mahal juga harganya. Tapi buku ini sangat berguna dan lebih seronok dipegang oleh anak kecil. Lagi best, ada banyak pilihan bahan bacaan kanak-kanak yang boleh kita beli – semuanya tetap relevan dan tak laput dek zaman.
  • Alat Muzik – Seronok juga kalau ajar anak main alat muzik seperti ukelele, dram, atau keyboard. Tapi yang kita takut kalau mereka ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja. Sebagai permulaan, boleh berlatih dengan alat muzik terpakai terlebih dahulu dan barulah bertukar kepada yang baru bila dah lebih serius nanti.

Memang Jimat, Tapi Jangan Sampai Kedekut

Tak perlu rasa rendah diri atau malu jika anda berbelanja dengan barangan terpakai. Memang satu kepuasan yang sukar digambarkan bila kita dapat membeli barangan sebegini dengan harga yang jauh lebih murah. Kalau ia berkualiti dan tetap cantik, apa salahnya bukan?

Apapun, janganlah sampai terlalu kedekut dan takut nak keluarkan wang untuk barang baru yang lebih berkualiti ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×