Tular di media sosial satu video memaparkan perdebatan antara pemain skateboard dan seorang bapa yang membawa anak-anaknya bermain di sebuah skatepark.
Menerusi beberapa video yang dikongsikan orang awam, lelaki berkenaan dipercayai membawa anak-anaknya ke skatepark tersebut untuk bermain kasut roda sebelum berlaku pertengkaran dengan sekumpulan pemain skateboard.
AYAH ‘SOUND’ PEMAIN SKATEBOARD DI SKATEPARK

Difahamkan, situasi mula tegang apabila lelaki terbabit menegur salah seorang pemain skateboard dan meminta agar ruang tersebut diberikan kepada anak-anaknya untuk bermain.
Permintaan itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan apabila beberapa pengunjung berpendapat skatepark merupakan kawasan khas yang dibina untuk aktiviti papan selaju dan sukan ekstrem yang berkaitan.
Menurut rakaman yang tular, pemain skateboard terbabit menjelaskan bahawa semua pengunjung boleh menggunakan kemudahan tersebut, namun setiap individu perlu mengambil kira faktor keselamatan serta aktiviti yang sedang berlangsung di kawasan berkenaan.
Perbincangan kemudiannya bertukar menjadi pertengkaran mulut apabila beberapa pemain skateboard lain turut menyuarakan pandangan bahawa skatepark bukanlah lokasi yang sesuai dijadikan kawasan permainan untuk kanak-kanak kecil.
Undang risiko kecederaan pada kanak-kanak

Mereka berpendapat pergerakan papan selaju yang laju serta aksi yang dilakukan di kawasan tersebut boleh mengundang risiko kecederaan sekiranya kanak-kanak berada terlalu dekat dengan laluan pemain.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila kedua-dua pihak terus mempertahankan pendirian masing-masing sehingga menyebabkan sebahagian pengunjung menghentikan aktiviti mereka.
Berdasarkan dakwaan beberapa individu yang berada di lokasi kejadian, lelaki terbabit dipercayai masih meneruskan perdebatan walaupun telah diberikan penjelasan oleh para pemain skateboard.
Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang, terutama kerana terdapat ramai kanak-kanak di kawasan tersebut ketika kejadian berlaku, kumpulan pemain skateboard akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan lokasi.
Setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kerosakan harta benda susulan insiden berkenaan. Namun, kejadian itu telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai penggunaan kemudahan awam mengikut fungsi dan tujuan asal yang disediakan.
Sumber: Threads Cikfakitchen
