Seringkali kita mendengar perkataan ‘halusinasi’ dikaitkan dengan orang yang mabuk, khayal atau ada masalah mental bukan? Namun, ia tidak dipandang secara serius dan mendapat perhatian yang sepatutnya kerana mudah untuk melabel seseorang itu ‘gila’. Rupanya, ramai yang masih tidak tahu dengan jelas apa itu halusinasi?
Berdasarkan laman Twitter dari MedTweet, menyenaraikan lima jenis halusinasi yang seringkali terjadi kepada manusia. Perhatikan tanda-tanda ini kerana anda mungkin sering menghadapinya!
Baca juga: 4 Ciri Orang Perangai ‘Toksik’ Yang Anda Kena Elak Di Tempat Kerja, Jaga Mental Kita!
APA ITU HALUSINASI? ADA 5 JENIS YANG ANDA KENA TAHU
Halusinasi adalah suatu gangguan persepsi tanpa sebarang rangsangan objek, atau dengan pemahaman yang mudah, ianya adalah persepsi palsu namun dilihat sebagai sesuatu yang nyata bagi seseorang individu.
1. Halusinasi pendengaran
Gangguan persepsi deria pendengaran di mana seseorang itu mendengar suara-suara bisikan ghaib sebagai contohnya. Gangguan ini sering dialami oleh mereka yang menghidapi masalah psikiatri seperti skizofrenia, bipolar, kemurungan atau pun dibawah pengaruh dadah psikoaktif seperti pil kuda dan syabu.
2. Halusinasi penglihatan
Gangguan persepsi deria penglihatan di mana seseorang itu boleh melihat imej ghaib yang orang lain tidak dapat menglihatnya. Gangguan ini biasanya disebabkan oleh penyakit-penyakit organik seperti migrain yang teruk, epilepsi atau pun di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
3. Halusinasi hidu/bau
Gangguan persepsi deria bau di mana seseorang itu boleh bau haruman atau bau busuk yang hanya mereka sahaja dapat membaunya. Gangguan ini biasanya disebabkan oleh penyakit-penyakit organik seperti barah otak, epilepsi atau trauma pada bahagian otak.
4. Halusinasi sentuhan
Gangguan persepsi deria sentuh di mana seseorang itu dapat berasa disentuh oleh sesuatu walaupun sebenarnya tiada yang menyentuhnya. Rasa sentuhan itu biasanya dikatakan seperti serangga merayap di kulit sebagai contohnya. Gangguan ini biasanya disebabkan oleh pengambilan dadah atau alkohol berlebihan.
5. Halusinasi rasa
Gangguan persepsi deria rasa di mana seseorang itu dapat merasa manis, pahit, masam, masin dilidahnya walaupun itu bukan rasa yang sebenarnya. Ia juga biasanya disebabkan oleh penyakit-penyakit organik seperti barah otak.
*Pastikan anda mendapat rawatan pakar kalau mempunyai segala jenis tanda halusinasi yang disenaraikan di atas ya. Tapi, selalunya orang yang senang berhalusinasi ini adalah kerana sedang ‘mabuk cinta’…
Sumber: Twitter @MedTweetMY