Seorang bayi lelaki berdepan keadaan kesihatan yang jarang berlaku apabila dia boleh berhenti bernafas setiap kali emosinya terganggu seperti ketika menangis, kesakitan, ketakutan atau marah.
Bayi berkenaan, Muhammad Khabib Rayyan Muhammad Syahidee yang kini berusia sembilan bulan disahkan mengalami masalah breath holding spells (BHS), satu keadaan yang memerlukan pemantauan rapi daripada ibu bapanya.
Baca juga: Belum Kahwin Tapi Dah Bayar Zakat Fitrah Untuk Tunang? Memang ‘Sweet’ & Ini Penjelasan Mufti…
BERHENTI BERNAFAS BILA MENANGIS, ADIK INI HADAPI MASALAH BHS

Keadaan itu menyebabkan ibu bapanya, Nurul Shaheera Mohd Razi, 37, dan Muhammad Syahidee Zulkiffli, 40, perlu sentiasa memastikan emosi anak mereka berada dalam keadaan stabil bagi mengelakkan kejadian tersebut berlaku.
Menurut Nurul Shaheera, masalah itu mula disedari ketika Khabib berusia tujuh bulan selepas anaknya terjatuh dan menangis sehingga tidak mengeluarkan sebarang suara.
“Hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan anak kami mengalami BHS. Kami juga semakin risau kerana Khabib turut mempunyai masalah jantung berlubang.
“Disebabkan itu dia perlu dipantau dengan sangat teliti. Doktor juga memaklumkan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga dia berusia sekitar enam atau tujuh tahun, iaitu apabila dia sudah mampu mengawal emosinya,” jelasnya
Tambahnya lagi, komitmennya yang bekerja dalam bidang pentadbiran menyebabkan Khabib perlu dijaga oleh pengasuh ketika dia berada di tempat kerja.
“Saya memang sentiasa bimbang tentang keadaannya, sebab itu saya kerap mengingatkan pengasuh supaya sentiasa memerhatikan Khabib.
“Jika dia tidak sihat, saya akan mengambil cuti kecemasan untuk menjaganya kerana keadaannya perlu dipantau sepanjang masa, terutamanya apabila dia sakit, merajuk atau meragam. Alhamdulillah suami banyak membantu menguruskan anak-anak di rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga tidak mampu berhenti kerja kerana perlu menampung komitmen kewangan keluarga.
Nurul Shaheera yang mempunyai dua lagi anak berkata, setakat ini Khabib tidak mempunyai masalah untuk makan dan minum, namun masih belum boleh berjalan seperti kebanyakan bayi seusianya.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, dia dan suami tetap berusaha melakukan yang terbaik untuk membesarkan anak mereka.
“Saya sudah reda dengan keadaan Khabib. Pada mulanya saya sangka hanya anak saya yang mengalami situasi begini. Namun selepas berkongsi video Khabib di TikTok, rupanya ramai lagi ibu bapa yang melalui pengalaman sama.
“Bila tahu perkara itu, saya rasa lebih tenang dan tidak lagi berasa keseorangan. Mungkin ini ujian buat saya dan suami. Setiap hari kami berdoa agar Khabib membesar dengan sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro & TikTok Eyrarazi
