Apakah alasan berhenti kerja yang anda akan berikan jika sudah tiba masanya untuk ucapkan selamat tinggal kepada tempat kerja sekarang?
Apabila anda sudah tekad untuk mencari kerja lain, anda perlulah berhenti dengan cara yang betul dan profesional bagi menjaga nama baik kita sendiri.
Biasanya majikan akan melihat alasan yang kita berikan supaya proses berhenti kerja lancar dan mudah diluluskan.
Kredit Foto : themuse.com
8 Contoh Alasan Berhenti Kerja Yang Menampakkan Sisi Profesional Anda
Jika anda bercadang untuk berhenti kerja, anda perlulah kemukakan alasan secara bertulis untuk rujukan majikan anda.
Antara alasan munasabah dan profesional yang anda boleh berikan adalah :
1. Ingin Mengembangkan Karier
Kadang kala, meninggalkan jawatan yang anda miliki adalah cara terbaik bagi membuka ruang bagi untuk mengembangkan perjalanan karier anda.
Setelah berkhidmat dalam jawatan yang anda pegang sekarang, anda bolehlah gunakan pengalaman dan kepakaran yang anda miliki bagi mencari pekerjaan yang selaras dengan matlamat kerjaya anda.
Anda boleh kemukakan alasan seperti “ Jawatan yang saya galas telah banyak mengajar saya. Kini saya sedang mencari peluang bagi memajukan lagi haluan kerjaya saya. “
2. Ikut Pasangan Berpindah
Walaupun anda sangat komited dalam kerjaya anda, sanggupkah anda berpisah dengan pasangan dan anak-anak?
Jika anda dapati sukar untuk penuhi tanggungjawab dalam keluarga apabila berjauhan, carilah kerja yang memudahkan anda hidup dekat dengan keluarga.
Anda boleh berikan alasan seperti “ Demi memnuhi komitmen keluarga, saya perlu mengikut suami/isteri saya berpindah ke bandar lain.”
3. Rombakan Tugas Dalam Syarikat
Sekiranya syarikat anda lakukan rombakan dengan membuang jabatan atau jawatan yang anda pegang, majikan mungkin akan tawarkan anda dengan jawatan dengan tanggungjawab yang berbeza.
Ini boleh menyebabkan anda sukar untuk bekerja dengan lebih efisien akibat skop pekerjaan yang serba baru dan anda kurang mahir.
Jika perkara ini berlaku, anda boleh mula cari kerja yang lebih sesuai dengan kemahiran anda. Anda boleh berikan alasan seperti ” Jawatan yang diberikan selepas rombakan didapati tidak mencapai matlamat kerjaya saya. Oleh itu, saya ingin mencari peluang di tempat lain yang menepati keperluan saya.”
Kredit Foto : themuse.com
4. Perlu Penuhi Tanggungjawab Dalam Keluarga
Jika ibu bapa atau adik beradik berdepan dengan situasi seperti sakit berpanjangan atau perlukan sokongan dari anda, ia sudah menjadi tanggungjawab anda untuk memberikan komitmen penuh pada mereka.
Bagi memenuhi keperluan ini, anda perlulah berpindah ke tempat kerja dengan waktu yang lebih fleksibel atau kawasan yang lebih dekat dengan keluarga.
Anda boleh berikan alasan seperti “ Saya perlu memberikan komitmen jangka panjang kepada keluarga saya. Oleh itu, saya perlulah mencari kerja yang berdekatan dengan keluarga saya serta waktu kerja yang lebih fleksibel bagi menguruskan mereka. “
5. Tawaran Peluang Pekerjaan Yang Lebih Baik
Peluang pekerjaan yang lebih baik juga merupakan rezeki yang sukar ditolak.
Jika syarikat yang anda kerja tidak dapat menawarkan gaji dan kelebihan yang lebih baik daripada tawaran baru yang diterima, memang wajar untuk anda berhenti.
Pekerjaan yang lebih stabil dengan peluang perkembangan karier yang lebih baik sudah tentu dapat menjamin kehidupan anda dalam jangka masa panjang.
Anda boleh berikan alasan seperti “ Saya ditawarkan dengan jawatan yang lebih baik untuk perkembangan karier dan memenuhi keperluan saya.”
6. Fokus Untuk Mengubah Haluan Karier
Bila anda sedar anda punya matlamat lain dalam hidup selain kerja di pejabat dari pagi hingga ke petang, anda juga boleh gunakannya sebagai alasan untuk berhenti kerja.
Jika selama ini anda banyak melakukan sesuatu di luar bidang tugas, dan anda masih tidak berpeluang melakukan sesuatu yang anda inginkan, anda boleh memberikan alasan untuk memfokuskan kepada matlamat karier anda.
Sesetengah orang juga memilih untuk bertukar tempat kerja untuk mengubah haluan karier.
Tak kiralah apa sekalipun matlamat anda, jika ia dapat membantu dalam meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang kepada self-improvement, apa salahnya?
Contoh alasan yang anda boleh berikan ialah. “Saya ingin mengubah haluan karier dan menimba pengalaman ke peringkat yang lebih tinggi” atau “Saya ingin fokus kepada matlamat karier yang telah lama saya idamkan.”
7. Kekangan / Limitasi Dalam Syarikat Sedia Ada
Tiada siapa yang ingin bekerja dengan jawatan dan tanggungjawab yang sama selama bertahun-tahun.
Jika anda terjerat dalam situasi ini, anda mungkin dapati jawatan anda sekarang tidak mencabar dan tidak memberikan kelebihan buat perkembangan karier anda.
Namun, anda tidak perlulah burukkan majikan. Sebaliknya, anda boleh berikan alasan yang munasabah untuk berhenti seperti “ Saya dapati peluang saya untuk berkembang dalam syarikat ini adalah terhad. Bagi mengembangkan karier saya secara profesional, sudah tiba masanya untuk saya mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.”
8. Anda Ingin Menambah Pengalaman
Kita semua pasti inginkan kerja yang sesuai dengan kelayakan yang dipegang. Namun, bagi sesetengah situasi, ada juga orang yang terpaksa mengambil jawatan dengan kelayakan yang jauh lebih rendah untuk meneruskan hidup.
Jika anda pernah alami situasi ini, anda pasti tidak bercadang untuk bekerja dengan kelayakan rendah dalam tempoh yang lama.
Untuk berhenti kerja, anda boleh berikan alasan profesional seperti “ Sepanjang saya berkhidmat di syarikat, saya sudah cukup mahir mengendalikan tugas yang diberikan. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk saya berpindah mencari pekerjaan yang dapat membantu saya berkembang dengan lebih profesional”.
Jangan Memburukkan Majikan, Kerana Ia Boleh Menampakkan Sisi Buruk Anda Juga
Apapun alasan yang anda ingin berikan, janganlah sehingga burukkan majikan.
Jangan kerana mulut anda sendiri, reputasi anda sebagai pekerja yang baik selama ini hancur.
Berbincanglah dengan majikan secara profesional dan berikan jawapan yang neutral dan jelas.
Sumber rujukan :
- 10 Good Reasons for Leaving a Job
https://www.snhu.edu/about-us/newsroom/career/good-reasons-for-leaving-a-job - 10 Good Reasons For Leaving A Job
https://theinterviewguys.com/10-good-reasons-for-leaving-a-job/