Keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini bukan sahaja membuatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika berada di luar, malah turut memberi kesan kepada sesi persekolahan.
Baca juga: [VIDEO] Permata Seni Koir Cipta Kejutan Di Jerman, Raih Juara Keseluruhan Dengan 29/30 Mata!
SYARAT PENUTUPAN SEKOLAH SUSULAN KEADAAN JEREBU

Gambar BERNAMA: Semua sekolah di Johor ditutup selama dua hari bermula hari ini susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh daerah.
Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan ketetapan baharu bagi sekolah dan institusi pendidikan susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan serta kesihatan murid dan warga pendidikan.
Dalam kenyataan media bertarikh 8 Oktober 2026, KPM memaklumkan penutupan institusi pendidikan akan ditentukan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing.
Bila sekolah akan ditutup?
Penutupan sekolah bukan bermaksud semua institusi pendidikan di seluruh negara akan ditutup serentak. Sebaliknya, terdapat dua keadaan berdasarkan bacaan IPU yang ditetapkan KPM:
- IPU melebihi 180: Semua institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026.
- IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut: Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, sekolah dan institusi pendidikan terlibat hendaklah ditutup bermula Isnin, 12 Oktober 2026.
Jadi, bacaan IPU antara 150 hingga 180 tidak bermaksud sekolah terus ditutup. Ia perlu melebihi 150 secara berterusan selama tiga hari berturut-turut sebelum ketetapan penutupan bermula pada 12 Oktober.
Murid akan terus belajar dari rumah
Bagi sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas dengan penutupan, proses pembelajaran tidak dihentikan begitu sahaja. KPM menetapkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan.
Pihak sekolah perlu memastikan kelangsungan pembelajaran murid menerusi kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira:
- kemampuan murid;
- akses kepada pembelajaran;
- keperluan murid; dan
- kesiapsiagaan guru.
Pendekatan ini penting bagi memastikan murid masih dapat mengikuti pembelajaran walaupun tidak hadir secara fizikal ke sekolah.
Baca juga: Dulu Sekitar RM12,000 Saja…Kini Gaji Graduan TVET Boleh Cecah RM16,000 Sebulan, Makin Laku!
Guru dan AKP turut dibenarkan BDR

Gambar BERNAMA: Ruang udara diselubungi jerebu tebal sehingga menjejaskan jarak penglihatan ketika tinjauan setakat 8 pagi tadi. IPU di pusat bandar Kuala Lumpur merekodkan bacaan tidak sihat pada paras 172.
Bukan murid sahaja yang tidak perlu hadir ke sekolah apabila institusi pendidikan terlibat dengan penutupan. Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan.
Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah KPM perlu melakukan pemantauan secara berterusan terhadap bacaan IPU.
Tindakan sewajarnya hendaklah diambil apabila bacaan di sesuatu kawasan melebihi paras yang telah ditetapkan.
KPM turut memaklumkan bahawa perkembangan keadaan jerebu akan terus dipantau dari semasa ke semasa dengan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan.
Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan KPM susulan titah Yang di-Pertuan Agong.
Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia
