Famili

Jangan Terlalu Lega Jerebu Di Malaysia Makin Reda, Dijangka ‘Muncul’ Semula Awal Tahun Depan!

JEREBU MALAYSIA

Keadaan jerebu Malaysia yang semakin pulih ketika ini mungkin hanya bersifat sementara apabila akan berdepan kemungkinan mengalami episod jerebu sekali lagi pada awal tahun hadapan.

Risiko berkenaan dijangka meningkat menjelang penghujung Monsun Timur Laut (MTL) sekitar Mac depan susulan keadaan cuaca kering yang berpotensi berlaku akibat fenomena Super El Nino.

Baca juga: Ayah Cipta Alat Bantu Makan Khas Untuk Anak Hidap Penyakit ‘Rare’, Mahu Lihat Si Kecil Berdikari

MASALAH JEREBU MALAYSIA DIJANGKA BERLAKU AWAL 2027

JEREBU MALAYSIA

Keadaan lebih kering dikhuatiri meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut, sekali gus menyebabkan jerebu kembali menyelubungi negara meskipun bukan dalam tempoh kebiasaan berlakunya fenomena itu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, kemungkinan berlakunya jerebu pada awal tahun hadapan perlu diberi perhatian sekiranya langkah pencegahan dan kawalan kebakaran tidak dilaksanakan.

Menurut beliau, keadaan jerebu yang semakin berkurangan sejak minggu lalu dipengaruhi perubahan arah tiupan angin di rantau ini.

Permulaan Monsun Timur Laut pada 27 Oktober lalu juga dijangka membantu mengekalkan keadaan cuaca lebih baik buat sementara waktu apabila angin bertiup dari Laut China Selatan menuju ke Indonesia.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak bermakna Malaysia sudah bebas sepenuhnya daripada ancaman jerebu rentas sempadan.

Ini kerana perubahan arah angin boleh menyebabkan asap daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia kembali dibawa masuk ke negara ini sekiranya kebakaran berkenaan masih belum dipadamkan sepenuhnya.

“Perubahan arah pergerakan angin di rantau negara kita menyebabkan cuaca jerebu menghilang sejak hari minggu lalu.

“Keadaan itu dijangka berterusan berikutan bermulanya musim MTL pada 27 Oktober yang mana pergerakan angin adalah dari arah Laut China Selatan ke Indonesia.

“Cuaca jerebu berkemungkinan akan kembali pada awal tahun hadapan, iaitu pada penghujung musim MTL berikutan cuaca kering yang dijangka berlaku susulan daripada kesan fenomena Super El-Nino.

“Fenomena itu boleh mengakibatkan kebakaran hutan dan tanah gambut tempatan sekiranya langkah-langkah kawalan tidak dilaksanakan,” jelasnya.

Tiada kawasan catat IPU tidak sihat ketika ini

JEREBU MALAYSIA

Dalam perkembangan berkaitan, data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan tiada kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sejak semalam.

Sebahagian besar kawasan pula mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, iaitu antara 51 hingga 100.

Walaupun kualiti udara ketika ini menunjukkan perkembangan positif, Mohd Hisham mengingatkan bahawa risiko jerebu rentas sempadan masih wujud sekiranya arah angin berubah, terutama selagi kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia belum berjaya dikawal sepenuhnya.

Sehubungan itu, orang ramai perlu mengikuti perkembangan cuaca dan kualiti udara dari semasa ke semasa memandangkan keadaan jerebu berpotensi berubah mengikut faktor cuaca dan pergerakan angin.

Baca juga: Isi Rumah Berpendapatan RM750 Hingga RM5000 Layak Mohon Rumah Mesra Rakyat, Jangan Terlambat!

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×