Perubahan penggredan sekolah menengah memberi kesan kepada kelayakan Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) yang diterima ribuan Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) di seluruh negara.
BAYARAN ELAUN TUGAS PENTADBIRAN SEKOLAH KEPADA 2,504 GURU KANAN DIHENTIKAN MULAI BULAN INI

Gambar fail NSTP: Bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bayaran elaun kepada 2,504 guru yang tidak lagi memenuhi syarat akan dihentikan mulai November ini.
Dalam masa sama, kementerian itu turut mengesahkan tunggakan elaun kepada 1,356 GKMP yang bertugas di sekolah menengah yang dinaik taraf kepada Gred A akan dibayar pada tahun hadapan.
Kenapa elaun 2,504 guru kanan dihentikan?
Menurut KPM, perubahan kelayakan itu susulan penggredan semula sekolah menengah yang berkuat kuasa pada 11 Januari lalu. Penggredan tersebut dibuat berdasarkan tiga kriteria utama, iaitu:
- Enrolmen murid.
- Bilangan penghuni asrama.
- Peringkat pendidikan.
Hasil penggredan semula itu menyaksikan 339 sekolah menengah dinaik taraf daripada Gred B kepada Gred A, manakala 626 sekolah menengah mengalami penurunan daripada Gred A kepada Gred B.
“Kementerian memahami kebimbangan GKMP sekolah menengah berhubung ETPS susulan penggredan semula sekolah yang berkuat kuasa 11 Januari lalu.
“Penggredan semula sekolah dilaksanakan berdasarkan tiga kriteria iaitu enrolmen murid, bilangan penghuni asrama dan peringkat pendidikan.
“Berdasarkan penggredan ini, sekolah menengah kini terdiri daripada Gred A dan Gred B. Sebanyak 339 sekolah menengah naik kepada Gred A daripada Gred B, manakala 626 sekolah menengah turun daripada Gred A kepada Gred B,” katanya.
Hanya guru kanan di sekolah Gred A layak menerima RM120 sebulan
Berdasarkan peraturan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa, ETPS sebanyak RM120 sebulan hanya diberikan kepada GKMP yang bertugas di sekolah menengah Gred A.
Perubahan taraf sekolah itu memberi kesan kepada keseluruhan 3,860 penyandang jawatan GKMP.
Bagi 2,504 guru yang tidak lagi layak menerima elaun berkenaan, KPM memaklumkan penyelarasan bayaran balik akan dilaksanakan secara berhemah bagi mengelakkan beban berlebihan kepada guru terbabit.
Tunggakan elaun 1,356 guru akan dibayar tahun hadapan
Dalam perkembangan sama, KPM memaklumkan tunggakan ETPS kepada 1,356 GKMP yang bertugas di sekolah menengah yang bertukar taraf kepada Gred A akan dibayar pada tahun hadapan.
Sebelum ini, kementerian mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak kesatuan dari Mac hingga Julai bagi membincangkan isu berkenaan.
Dalam sesi tersebut, pihak kesatuan mencadangkan supaya rayuan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan GKMP di sekolah menengah Gred B turut layak menerima elaun berkenaan.
Bagaimanapun, rayuan itu tidak mendapat kelulusan JPA.
“Berdasarkan cadangan itu, KPM mengemukakan surat rayuan pada 13 Ogos lalu. Bagaimanapun menerusi surat bertarikh 23 September lalu, JPA memaklumkan rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan,” katanya.
Mengakhiri kenyataan itu, KPM menghargai peranan GKMP dalam menyelia mata pelajaran serta membantu meningkatkan pencapaian akademik sekolah.
“KPM juga komited memelihara kebajikan guru dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kesatuan dan agensi berkaitan, demi kesejahteraan warga pendidik,” katanya.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Arkib NSTP
