Kadang-kadang jodoh datang daripada arah yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran. Begitulah kisah sebuah keluarga ini, apabila hubungan sebagai besan akhirnya berubah menjadi pasangan hidup selepas dua insan, Syed Saifudeen Syed Mansoor, 63, dan Nor Azura Md Yusof, 55, yang pernah kehilangan orang tersayang disatukan dalam perkahwinan.
DULU BESAN, KINI PASANGAN HIDUP TIDUR SEBANTAL

Gambar Kosmo!: Puteri Nazratul Amirah bersama ibu, Nor Azura dan bapa mentua, Syed Saifudeen serta suami Syed Mohd Baihaqi.
Bermula selepas ibu mentua meninggal dunia
Kisah itu dikongsikan oleh Puteri Nazratul Amirah Mohd Azman, 33, yang merupakan menantu kepada Syed Saifudeen dan anak kepada Nor Azura.
Menurutnya, dia berkahwin dengan suaminya, Syed Mohd Baihaqi Hilmi, 36, pada 2018. Setahun kemudian, ibu mentuanya, Allahyarham Kembang Abd Rahman, disahkan mengalami masalah buah pinggang sebelum menjalani rawatan dialisis selama lebih dua tahun.
Allahyarham kemudian meninggal dunia pada April 2022.
Pada ketika itu, anak-anak Syed Saifudeen juga sudah mempunyai keluarga masing-masing. Keadaan tersebut menyebabkan bapanya lebih banyak menghabiskan masa sendirian di rumah, walaupun anak-anak sering pulang ke kampung.
Puteri Nazratul Amirah berkata, dia sendiri kerap keluar bersama ibu atau bapa mentuanya ketika mereka berada di Kuantan.
Daripada situlah tercetus cadangan yang pada awalnya mungkin kedengaran agak janggal untuk sebuah keluarga.
“Saya berkahwin dengan suami pada 2018 dan pada 2019, ibu mentua Allahyarham Kembang Abd Rahman didiagnosis masalah buah pinggang dan dua tahun lebih menjalani dialisis.
“Pada April 2022, ibu mentua meninggal dunia dan dalam masa sama, anak-anak ayah mentua (adik-beradik suami) semua sudah berkahwin dan berkeluarga. Jadi dia sunyi di rumah. Tetapi kami kerap balik kampung.
“Balik kampung, saya sering keluar dengan mak atau ayah mentua di Kuantan. Benda tu macam tak sedap (apabila keluar bersama-sama), jadi bolehlah (cadangan berkahwin) dan ayah mentua pun sunyi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Kedua-dua belah keluarga beri restu, mereka disatukan

Syed Saifudeen Syed Mansoor dan Nor Azura Md Yusof yang dulunya berstatus besan, kini sebagai pasangan hidup.
Rupa-rupanya, kedua-dua keluarga sememangnya sudah lama saling mengenali.
Puteri Nazratul Amirah berkata, ibunya juga sudah bertahun-tahun hidup sendirian selepas suaminya, Allahyarham Mohd Azman Mohd Nordin, meninggal dunia ketika dia masih di sekolah rendah.
Malah, hubungan rapat keluarga itu membuatkan cadangan perkahwinan tersebut tidak menjadi perkara yang sukar untuk diterima.
Menurutnya, Syed Saifudeen sendiri datang ke rumah untuk menyampaikan hasratnya kepada Nor Azura sebelum meminta Puteri Nazratul Amirah mendapatkan pandangan ahli keluarga yang lain.
“Sebelum saya dan suami berkahwin, keluarga memang rapat dan kami kenal lama sejak saya kecil. Bila bapa mentua datang ke rumah, ibu saya tak biasa sebab sudah berbelas tahun ibu seorang diri selepas arwah ayah, Allahyarham Mohd Azman Mohd Nordin meninggal dunia ketika saya sekolah rendah.
“Dia tanya saya dan minta tanya keluarga. Saya telefon setiap adik-beradik, mak saudara, sepupu yang rapat dan mereka berikan respons positif. Mereka memang kenal rapat bapa mentua,” katanya.
Akhirnya, Nor Azura dan Syed Saifudeen disatukan sebagai suami isteri pada September 2022.
Selepas perkahwinan itu, hubungan mereka sekeluarga juga berubah menjadi semakin rapat.
Puteri Nazratul Amirah mengakui jika dahulu dia lebih rapat dengan arwah ibu mentuanya, kini hubungan dengan bapa mentua pula semakin akrab selepas lelaki itu menjadi ayah tirinya.
“Selepas ibu dan ayah mentua berkahwin, hubungan kami menjadi rapat. Dahulu saya rapat dengan arwah ibu mentua, ayah macam garang, tegas sikit dan ketika itu dia masih bekerja.
“Saya rapat dengan ibu mentua, hantar pergi dialisis ketika kami masih tinggal di Kuantan, manakala ayah mentua tak rapat sangat. Tapi sekarang lebih rapat apabila sudah jadi ayah tiri,” katanya.
Puteri Nazratul Amirah turut berkongsi bahawa bapanya meninggal dunia pada 2004 ketika berusia 35 tahun akibat kanser usus.
Kisah Nor Azura dan Syed Saifudeen itu sebelum ini dikongsikan Puteri Nazratul Amirah menerusi TikTok dan menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai.
Apa yang pada mulanya mungkin kelihatan seperti hubungan yang sukar dibayangkan akhirnya menjadi satu kisah keluarga yang menunjukkan bahawa jodoh boleh hadir dalam keadaan yang tidak pernah dirancang.
Sumber: Kosmo!
