Teknologi

Ingat Bakal Temui Pasangan Hidup, Lelaki Ini Sanggup Redah 2,000 KM Sebelum Tahu Wanita Itu Cuma AI!

pasangan hidup

Selepas kehilangan insan tersayang, seorang lelaki berharap dapat menemui pasangan hidup yang mampu mengisi kesunyian dalam dirinya.

Namun, harapan itu bertukar menjadi kekecewaan apabila dia sanggup meredah perjalanan lebih 2,000 kilometer untuk bertemu seorang wanita yang dikenalinya menerusi media sosial, sebelum mengetahui bahawa individu tersebut sebenarnya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Baca juga: Sikit Lagi Nak Kena Sakau RM10K! Tindakan Pantas Pemandu E-Hailing Selamatkan Nenek Dari ‘Love Scam’

LELAKI TERKEDU BAKAL JADI PASANGAN HIDUP RUPANYA WANITA AI

pasangan hidup

Gambar Rádio Itatiaia: Edmar tiba di Belo Horizonte dengan harapan dapat bertemu wanita yang selama ini berinteraksi dengannya menerusi media sosial.

Lelaki berusia 49 tahun bernama Edimar Rocha Martins itu dilaporkan mengembara dari Imperatriz, Maranhão ke Belo Horizonte, Brazil selepas tertarik dengan seorang wanita bernama Jéssica Oliveira yang muncul dalam beberapa video di media sosial.

Perjalanan menaiki bas selama lebih 36 jam itu bagaimanapun berakhir dengan kejutan apabila Edimar mendapati wanita yang ingin ditemuinya tidak wujud di dunia nyata. Lebih menyedihkan, dia turut kehabisan wang sehingga terpaksa meminta bantuan untuk pulang.

Terpedaya dengan video wanita janji kehidupan senang

Menurut laporan CNN Brasil, wanita yang menggunakan nama Jéssica itu muncul dalam beberapa video dengan mendakwa dirinya mempunyai sebuah ladang.

Dalam salah satu rakaman, wanita berkenaan dilihat berada di ladang yang dikatakan miliknya sambil meluahkan hasrat supaya Edimar datang ke rumahnya.

Menerusi video lain pula, wanita itu menjanjikan kehidupan yang lebih selesa sehingga mengajaknya meninggalkan pekerjaan.

“Saya mahu awak datang ke ladang saya dan tidak perlu bekerja lagi sepanjang hidup awak,” kata wanita itu dalam video berkenaan.

Kata-kata tersebut dipercayai menimbulkan harapan kepada Edimar yang mahu memulakan kehidupan baharu bersama seseorang yang disangkanya boleh menjadi teman istimewa.

Kehilangan ibu buat Edimar kesunyian

Edimar meninggalkan Imperatriz pada 9 Oktober dan tiba di Belo Horizonte pada 11 Oktober. Namun, selepas bertanyakan tentang wanita yang ingin ditemuinya, dia akhirnya mengetahui bahawa Jéssica sebenarnya tidak wujud di dunia nyata.

Dalam temu bual bersama Rádio Itatiaia, Edimar mengakui kehilangan ibunya menyebabkan dia berasa sangat kesunyian sehingga mula berharap dapat membina kehidupan baharu bersama wanita dalam video tersebut.

“Saya tak mahu tinggal di Imperatriz lagi, saya tak suka tempat itu. Saya suka tinggal di sana ketika ibu saya masih hidup. Seluruh keluarga saya tahu perkara itu. Kadangkala, kesunyian di rumah akhirnya membawa banyak masalah dalam kehidupan seseorang. Sebab itulah saya datang mencarinya,” katanya.

Kehabisan wang, terpaksa minta bantuan untuk pulang

pasangan hidup

Gambar Rádio Itatiaia: Dalam video tersebut, “Jessica” berjanji bahawa mereka berdua boleh tinggal bersama (kiri). 2. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Jessica dalam video dan mendakwa memiliki sebuah ladang di Minas Gerais (kanan).

Selepas menyedari dirinya tertipu, Edimar berdepan masalah apabila tidak mempunyai wang untuk kembali ke tempat asalnya.

Dia kemudian mendapatkan bantuan menerusi perkhidmatan bantuan dan penerimaan migran di bawah pentadbiran bandar Belo Horizonte, yang membantunya mendapatkan tiket bas.

Bagaimanapun, destinasi kepulangannya bukanlah Imperatriz, tempat dia memulakan perjalanan, sebaliknya Araguatins di Tocantins, iaitu bandar tempat dia dilahirkan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kes berkenaan masih belum didaftarkan secara rasmi ketika laporan itu diterbitkan.

Pihak berkuasa beri amaran tentang kandungan AI

Susulan kisah Edimar mendapat perhatian ramai, pentadbiran bandar Belo Horizonte turut mengeluarkan peringatan di media sosial mengenai risiko kandungan yang dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan.

Mereka mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang dikenali di internet kerana gambar, video dan perbualan boleh dihasilkan secara buatan sehingga kelihatan meyakinkan.

“Maklumat juga merupakan satu bentuk perlindungan. Sebarkan amaran ini dan bantu kami mengelakkan orang lain daripada mengalami situasi yang sama,” menurut hantaran tersebut.

Kisah Edimar menjadi peringatan bahawa bukan semua yang dipaparkan di media sosial menggambarkan individu sebenar. Sebelum meletakkan harapan terhadap seseorang yang baru dikenali dalam talian, penting untuk menyemak identiti mereka dan berhati-hati dengan janji yang kedengaran terlalu indah untuk menjadi kenyataan.

Sumber: CNN Brasil

FT Image: CNN Brasil

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×