Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian jirannya yang didakwa merogol anak perempuan berusia 12 tahun.
Kejadian yang berlaku pada Ogos 2024 itu dipercayai tercetus selepas tertuduh yang merupakan seorang buruh ladang berusia 34 tahun, mengetahui dakwaan membabitkan anaknya sebelum bertindak mengejar dan melibas mangsa menggunakan parang.
Baca juga: Tular Dakwaan Perlakuan Tak Wajar, Program Sekolah Libatkan Penceramah Bebas Dihentikan Serta-Merta
BAPA DIPENJARA 13 TAHUN SEBABKAN KEMATIAN PEROGOL ANAK

Gambar hiasan.
Bapa mengamuk selepas anak dakwa dirogol jiran
Memetik laporan media tempatan, kejadian berlaku apabila anak perempuan tertuduh memberitahu ibunya bahawa dia telah dirogol oleh jirannya di kawasan semak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Berang dengan perkara tersebut, tertuduh kemudian mengambil sebilah parang sebelum mengejar mangsa yang berusia 33 tahun. Lelaki itu bertindak melibas mangsa beberapa kali selepas dia mengaku tidak merogol anak perempuan tertuduh.
Susulan kejadian, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Tawau untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat koyakan baharu pada bahagian sulit mangsa, selain ujian forensik menemukan asid deoksiribonukleik (DNA) si mati pada kuku kanak-kanak itu. Air mani yang ditemukan pada seluar dalam mangsa turut sepadan dengan DNA lelaki berkenaan.
Baca juga: Bawa Mercun Ke Sekolah, Murid Lelaki Tahun 6 Cedera Melecur! Dipercayai Terpengaruh Kandungan Ganas
Mahkamah jatuhkan hukuman penjara 13 tahun

Gambar hiasan: Gemini AI
Tertuduh yang juga warga asing sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan tersebut kemudiannya digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa antara jam 7.30 malam pada 31 Ogos hingga tengah hari 1 September 2024 di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung.
Ketika rayuan, peguam tertuduh, Jhasarry P Kang memohon mahkamah mempertimbangkan beberapa perkara termasuk ketiadaan rekod jenayah, kerjasama sepanjang prosiding serta tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga yang menyara isteri dan enam orang anak.
Peguam turut menjelaskan kejadian tersebut tidak dirancang, sebaliknya berlaku secara tiba-tiba ketika tertuduh berada dalam keadaan emosi selepas mengetahui dakwaan membabitkan anak perempuannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif menegaskan hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. Hal ini kerana kejadian tersebut disifatkan sebagai sangat kejam dan mengerikan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 2 September 2024. Selepas selesai menjalani hukuman, tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian
