Kejadian menyayat hati melibatkan seorang pelajar lelaki yang meninggal dunia di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 25 September lalu mengundang pelbagai persoalan, apatah lagi mangsa yang masih berada di Tingkatan 2 dipercayai dipukul oleh pelajar senior menggunakan getah paip.
PELAJAR TINGKATAN 2 MAUT DIPERCAYAI DIPUKUL DENGAN GETAH PAIP OLEH SENIOR

Gambar Sinar Harian: Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mendedahkan, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Maghrib sebelum dipanggil masuk ke bilik suspek yang terletak di tingkat dua asrama berkenaan.
Lebih mengejutkan, mangsa didakwa dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki sebelum diarahkan membuka baju dan dipukul menggunakan tangan sehingga rebah.
Mangsa dipanggil ke bilik senior selepas solat Maghrib
Menurut Alzafny, semua pelajar sepatutnya kembali ke bilik masing-masing untuk mengikuti sesi ulang kaji pelajaran selepas menunaikan solat Maghrib. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati mangsa telah dipanggil oleh suspek ke biliknya sebelum kejadian berlaku.
“Namun, hasil siasatan mendapati mangsa telah dipanggil oleh suspek ke biliknya yang terletak di tingkat dua.
“Di dalam bilik tersebut, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan getah paip,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada Selasa.
Sebelum dibawa masuk ke bilik berkenaan, mangsa dipercayai diarahkan mengambil getah paip dari bilik air. Alzafny berkata, mangsa kemudian dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki menggunakan objek tersebut.
“Sejurus masuk ke dalam bilik, mangsa dipukul beberapa kali pada bahagian tapak kaki menggunakan getah paip.
“Mangsa kemudian diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah,” katanya.
Suspek cuba beri bantuan pernafasan selepas mangsa rebah

Gambar Sinar Harian: Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad memberi penerangan kepada pengamal media berhubung kes mendatangkan kecederaan melibatkan seorang pelajar sehingga mengakibatkan kematian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Menurut Alzafny lagi, apabila mangsa terbaring, suspek membawa pelajar itu ke sebuah katil dan cuba memberikan bantuan pernafasan selepas mendapati keadaannya semakin kritikal.
“Suspek kemudian menghubungi warden asrama untuk memaklumkan keadaan mangsa sebelum pelajar itu dibawa ke hospital.
“Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang pendarahan luaran. Bagaimanapun, kecederaan sebenar yang dialami masih belum dapat dipastikan.
Keputusan bedah siasat juga belum dapat menentukan punca kematian sementara pihak polis menunggu keputusan analisis sampel spesimen yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.
Polis ambil keterangan 68 saksi, tahan seorang lagi pelajar
Dalam perkembangan sama, polis telah mengambil 68 keterangan saksi yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan kejadian tersebut.
Daripada jumlah itu, 51 pelajar, empat guru dan lima warden telah memberikan keterangan kepada pihak polis.
“Seramai 51 pelajar, empat guru dan lima warden telah memberikan keterangan yang konsisten mengenai kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa lagi saksi yang akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Polis turut menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama bagi membantu siasatan lanjut dan direman selama enam hari.
Pelajar lain tampil mendakwa pernah dibuli suspek pertama

Gambar BERNAMA: Barangan kes yang dikongsikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar sehingga mengakibatkan kematian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Mengulas dakwaan kejadian buli sebelum ini, Alzafny memaklumkan bahawa pihak polis tidak pernah menerima laporan berkaitan kejadian buli atau insiden seumpamanya di sekolah berkenaan berdasarkan rekod sedia ada.
Bagaimanapun, siasatan lanjut menemukan beberapa pelajar yang tampil mendakwa pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.
“Namun, hasil siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa pelajar yang tampil mendakwa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan.
“Polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul keterangan berhubung dakwaan tersebut,” katanya.
Siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai dipanggil oleh suspek kerana didakwa menghisap vape. Tindakan yang diambil pula dipercayai berbentuk hukuman yang dikenakan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Perbuatan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
FT Image: Sinar Harian
