Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang lebih dikenali lebih dikenali sebagai Siti Hasmah pada usia 100 tahun bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarga, malah turut dirasai ramai tokoh dan masyarakat yang mengenali jasa serta keperibadian beliau.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang dilihat tidak dapat menahan sebak ketika berada di sisi Siti Hasmah sebelum mengucup jenazah Allahyarhamah.
Baca juga: Puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ Nukilan Tun Abdullah Kembali Tular, Beri Aspirasi Buat Ramai Tersentuh!
SITI NURHALIZA BERI PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT TUN DR SITI HASMAH

Tangkap layar video hantaran Datuk Seri Siti Nurhaliza di Instagram beliau.
Momen menyentuh hati itu dikongsikan menerusi video di Instagram milik Siti pada Isnin, memperlihatkan penyanyi berusia 47 tahun berkenaan mengenakan persalinan serba hitam ketika menziarahi kediaman Allahyarhamah di The Mines Residence, Seri Kembangan, Selangor.
Lebih meruntun hati, Siti turut meluangkan masa bersalaman dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan insan tersayang.
Siti Nurhaliza tahan sebak, kucup jenazah Tun Siti Hasmah
Menerusi video yang dikongsikan, Siti dilihat sugul ketika berada di sisi jenazah Allahyarhamah sebelum memberikan kucupan terakhir sebagai tanda penghormatan.
Penyanyi lagu Cindai itu kemudian dilihat bersalaman dengan Tun Mahathir yang ketika itu berada di kerusi roda, selain melemparkan senyuman kepada negarawan berkenaan sebelum beredar.
Video berkenaan mendapat perhatian ramai apabila meraih lebih lebih 2 juta tontonan dan lebih 100,000 tanda suka.
Momen tersebut nyata menyentuh hati warga maya, lebih-lebih lagi apabila melihat Tun Mahathir setia berada di sisi isteri tercinta dalam suasana penuh hiba.
Siti Nurhaliza sifatkan pemergian Tun kehilangan besar buat Malaysia

Gambar dari hantaran Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Selain hadir memberikan penghormatan terakhir, Siti turut menitipkan ucapan takziah menerusi hantaran Instagram miliknya.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia, mengambil kira sumbangan dan jasa yang dicurahkan sepanjang hayatnya.
“Innalillahi wainnailaihiroji’un. Al- Fatihah.
“Saya menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia, memandangkan jasa dan sumbangan Tun Dr. Siti Hasmah yang begitu banyak dalam bidang kesihatan, kebajikan dan pembangunan wanita sepanjang hayatnya.
“Saya turut mendoakan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah diberikan ketabahan, kesabaran dan kekuatan jiwa dalam menghadapi dugaan berat ini.
“Allahyarhamah adalah seorang tokoh wanita yang sangat penyayang, lemah lembut dan mempunyai sifat keibuan yang tinggi,” tulisnya di kapsyen hantaran yang berasingan.
Tun Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun
Untuk rekod, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi Isnin 28 September di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Berita pemergian isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu dimaklumkan oleh anakanda mereka, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Jenazah Allahyarhamah kemudian dibawa pulang ke kediaman keluarga di The Mines Residence, Seri Kembangan, sebelum disemadikan di Pusara Negara, Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar.
Pemergian tokoh wanita yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan, kebajikan dan pembangunan wanita itu pastinya meninggalkan kenangan tersendiri buat keluarga serta masyarakat yang menghargai jasa beliau.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
View this post on Instagram
Sumber: Instagram @ctdk
