Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada jam 9.20 pagi tadi (28 September 2026) di Institut Jantung Negara (IJN). Berita pemergian Allahyarhamah itu dilaporkan Bernama yang memetik perkongsian terkini anaknya, Mokhzani Mahathir.
Baca juga: Rabies Ragut Nyawa Lelaki Usia 31 Selepas Digigit Anjing Terbiar, Kes Pertama Di Kedah Sejak 1998!
TUN DR SITI HASMAH MENINGGAL DUNIA

Allahyarhamah berusia 100 tahun dan baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada 12 Julai lalu. Pada Ogos lalu, Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir turut menerima pengiktirafan rekod berkaitan usia mereka sebagai pasangan yang mencapai usia lebih 100 tahun.
Sebelum dikenali sebagai isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah mempunyai kerjaya tersendiri dalam bidang perubatan dan kesihatan awam.
Beliau melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura dengan biasiswa dan merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya ketika itu. Beliau menamatkan pengajian sebagai doktor pada 1955 sebelum menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur.
Selepas berkahwin dengan Tun Dr Mahathir pada 1956, beliau berpindah ke Alor Setar dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Kerjayanya dalam bidang kesihatan kemudiannya berkembang apabila beliau dilantik sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada 1965.
Pada 1974 pula, beliau mencatat satu lagi sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah menutup perjalanan panjang seorang doktor, tokoh kesihatan awam, ibu dan isteri yang turut menjadi sebahagian daripada sejarah negara selama beberapa dekad.

Foto: Fahmi Padzil
Terkini: Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, untuk disolatkan, petang ini.
Difahamkan, jenazah akan disolatkan selepas solat Asar di masjid berkenaan petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan, Selangor dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 10.48 pagi tadi.
*Salam takziah diucapkan…Al-Fatihah.
Sumber: Berita Harian, Harian Metro
