Euforia Bola 2026
Famili

Ajak Bapa Solat Isyak Bersama, Tak Sangka Itu Jadi Detik Terakhir Putri Sebelum Maut Dicampak Sungai

kenangan terakhir

Tiada siapa menyangka ajakan Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, kepada bapanya untuk solat Isyak bersama pada malam sebelum kejadian menjadi kenangan terakhir mereka bersama sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut di sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili.

Baca juga: Pantai Di Kelantan Bersepah Mata Kail Pemancing, Budak Terpijak Boleh Cedera!

AJAK BAPA SOLAT ISYAK BERSAMA JADI KENANGAN TERAKHIR PUTRI

kenangan terakhir

Mahani Mad Som menunjukkan gambar cucunya, Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa yang maut di sungai.

Malam sebelum Putri ditemukan maut

Nenek mangsa, Mahani Mad Som, 63, berkata pada malam berkenaan, cucunya meminta untuk makan mi segera bersama telur cair sebelum mengajak bapanya solat Isyak berjemaah.

Menurutnya, Putri sebelum ini tidak pernah mengajak bapanya untuk menunaikan solat bersama.

“Semalam (Ahad), dia berkelakuan lain sangat daripada biasa. Dia minta nak makan Maggi dengan telur cair, lepas itu dia ajak ayahnya sembahyang Isyak bersama-sama, sedangkan sebelum ini dia tak pernah ajak ayahnya sembahyang sekali.

“Cucu saya memang budak yang sangat baik dan bijak. Kalau kita ajar apa-apa, dia cepat sangat tangkap,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, semalam.

Kehilangan Putri hanya disedari keluarga kira-kira jam 9 pagi selepas Mahani selesai bersarapan dan mendapati cucunya sudah tiada di buaian.

Dia kemudian meminta bapa mangsa mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum mereka menemukan Putri di alur sungai.

“Hati saya rasa tak sedap apabila panggil dia dekat buaian tetapi tak ada sahutan. Kami terus cari dan jumpa dia dalam keadaan tertiarap. Ayahnya terus bergegas tarik dia keluar dari air,” katanya.

Sungai berkenaan terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mangsa dan laluan ke lokasi perlu melalui kawasan kebun yang tidak berturap.

Mahani berkata kanak-kanak di kawasan itu juga tidak pernah ke sungai berkenaan bersendirian kerana lokasinya jauh dari rumah dan perlu melalui kawasan kebun.

Pulang ke kampung untuk ambil ubat

kenangan terakhir

Gambar Ihsan Muszaidi Makmor: ADUN Sedili, Muszaidi Makmor menziarahi bapa kanak-kanak perempuan maut dicampak ke dalam sungai di Klinik Kesihatan Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaidi Makmor, memaklumkan Putri pulang ke Tanjung Sedili bersama bapanya yang berusia 40 tahun.

Bapanya dilaporkan menetap dan berniaga kedai makan di Muar sebelum pulang ke kampung berkenaan untuk mengambil ubat. Suspek yang juga saudara kepada mangsa turut bersama mereka ketika pulang ke Tanjung Sedili.

“Suspek turut bersama mereka pulang ke Tanjung Sedili, malangnya suspek yang dipercayai kurang kewarasan bertindak di luar jangkaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya, semalam.

Muszaidi yang menziarahi bapa mangsa di Klinik Kesihatan Tanjung Sedili pada petang semalam turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.

“Moga keluarga ini diberikan ketabahan atas ujian yang sangat berat ini,” katanya.

Lelaki 37 tahun ditahan polis

kenangan terakhir

Gambar BERNAMA: Nenek kepada Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, Mahani Mad Som, 63, menunjukkan lokasi cucunya ditemukan.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun selepas disyaki mencampak Putri ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematiannya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.30 pagi hari Isnin, berhubung seorang lelaki yang mengamuk sambil bersenjatakan parang.

Suspek dipercayai terlebih dahulu mencampakkan mangsa ke dalam sungai sebelum bertindak mengejar bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 40 tahun.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

“Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan yang menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan, namun suspek dapat ditahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian kanak-kanak terbabit. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat.

Polis turut memaklumkan suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Tampoi. Dia juga dijadualkan mengambil bekalan ubat di Hospital Kota Tinggi pada pagi kejadian.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro (1) (2) (3)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×