Pada mulanya, tindakan belanja aiskrim kepada dua orang kanak-kanak itu dianggap sebagai bantuan kecil kerana bapa mereka tidak dapat membuat bayaran. Namun, pekerja part-time tersebut tidak menyangka tindakan itu membawa kepada satu momen yang membuatkan dirinya menitiskan air mata.
Baca juga: Tragedi Pagi Nan Pilu… Bapa & Anak Rentung Dalam Kebakaran, Ditemui Berpelukan Dalam Bilik Tidur
PEKERJA MENANGIS LEPAS BELANJA AISKRIM KEPADA 2 BERADIK

Gambar hiasan: Gemini AI
Menerusi perkongsian di Threads, individu dikenali sebagai softglitchh_ mengimbas pengalaman ketika bekerja sambilan di sebuah kedai aiskrim yang masih diingatinya sehingga kini.
Menurutnya, seorang lelaki datang bersama dua anaknya untuk membeli aiskrim berharga RM2 setiap satu.
Namun, lelaki tersebut tidak dapat membuat pembayaran kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri. Pada ketika itu, dia turut tidak dapat menggunakan kad dan hanya mempunyai pilihan bayaran tunai atau kod QR.
Lelaki berkenaan kemudian meminta pekerja di kaunter meminjamkan kabel pengecas.
Pekerja bantu bayarkan aiskrim dua beradik
Melihat keadaan tersebut, pekerja berkenaan menawarkan diri untuk membayar aiskrim bagi pihak keluarga itu. Katanya, jumlah keseluruhan hanya RM4 untuk dua anak tersebut, jadi dia tidak kisah menghulurkan bantuan.
Selepas menerima aiskrim, kedua-dua kanak-kanak itu duduk menikmati makanan tersebut di kerusi yang disediakan di kedai.
Tidak lama kemudian, bapa mereka datang semula untuk mengucapkan terima kasih kepada pekerja berkenaan. Namun, apa yang disampaikan selepas itu membuatkan suasana berubah.
“Anak saya sakit kanser”
Lelaki tersebut memberitahu salah seorang anaknya menghidap kanser dan sangat teringin untuk menikmati aiskrim berkenaan.
Sambil mengusap dan mencium kepala anaknya, dia mengucapkan terima kasih kerana membantu memenuhi keinginan kecil anaknya pada hari tersebut.
Pekerja itu mengakui tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata berkenaan selain mengucapkan sama-sama.
“Saya senyum je cakap sama-sama, sebab tak tahu nak cakap apa dah, sebak dengan mata pun dah kabur. Saya lari ke belakang dan menangis,” katanya.

Gambar hiasan: Gemini AI
Pengalaman tersebut membuatkan individu itu menyedari bahawa setiap orang mungkin sedang melalui ujian yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Dia turut menitipkan doa agar keluarga berkenaan diberikan kesihatan dan dipermudahkan dalam menghadapi segala cabaran.
“Kita tak pernah tahu apa yang orang hadap tapi mungkin boleh jadi sebab rezeki akan terus mengalir, kita tak tahu. Jadi, selalu bersangka baik dengan rezeki Allah. Kita tak tahu nanti Allah gantikan lebih lagi. Saya doa keluarga abang itu sihat-sihat selalu,” katanya.
Perkongsian itu mengingatkan bahawa sesuatu yang kelihatan kecil bagi seseorang mungkin mempunyai makna yang sangat besar buat insan lain, terutama ketika mereka sedang berdepan waktu sukar.
Baca juga: Threads – softglitchh_
Sumber: Threads – softglitchh_
