Seorang guru mencuri perhatian di media sosial selepas berkongsi pendekatan yang dilakukan terhadap murid-muridnya bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan tunaikan solat Subuh sebelum memulakan rutin persekolahan.
Perkongsian Mohd Haizul Arny menerusi laman TikTok itu memaparkan beliau menahan beberapa orang murid sebelum mereka masuk ke sekolah untuk bertanyakan sama ada mereka sudah menunaikan solat Subuh pada pagi berkenaan.
Baca juga: “Ingatkan Paip Bocor”– Bil Makin Mencanak, Rupanya Wanita Rohingya Guna Air Kedai Basuh Pakaian!
TUNAIKAN SOLAT SUBUH SEBELUM MULA SESI DI SEKOLAH

Murid yang memaklumkan bahawa mereka belum menunaikan solat Subuh kemudian diminta untuk menunaikannya terlebih dahulu di atas tikar yang telah disediakan.
Pendekatan tersebut dilakukan sebagai salah satu usaha untuk membiasakan murid dengan kepentingan mendahulukan solat sebelum memulakan aktiviti harian.
Dalam video berdurasi kurang dua minit itu, guru berkenaan turut memberi penghargaan kepada murid yang memaklumkan bahawa mereka sudah menunaikan solat Subuh di rumah.
“Ada yang dah solat di rumah, tahniah kepada ibu bapa yang berjaya bangunkan anak awal pagi dan solat Subuh,” ujarnya.
Tarik perhatian warganet

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila video berkenaan mencatatkan sekitar 1.8 juta tontonan di TikTok.
Rata-rata pengguna media sosial turut memberikan respons positif terhadap pendekatan yang dikongsikan guru berkenaan.
Antara komen yang ditinggalkan menyatakan kaedah tersebut dapat membantu membentuk pemahaman dalam diri kanak-kanak bahawa solat Subuh perlu didahulukan sebelum pergi ke sekolah.
Seorang pengguna turut berkongsi bahawa dia mengamalkan pendekatan sama di rumah dengan mengejutkan anak untuk menunaikan solat Subuh, bukannya sekadar membangunkan mereka kerana perlu ke sekolah.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung mencetuskan perbincangan mengenai peranan ibu bapa dan guru dalam membentuk rutin serta disiplin solat dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Usaha seperti ini juga menunjukkan bahawa pendidikan agama bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya boleh diterapkan melalui amalan harian dan contoh yang konsisten.
Baca juga: Geram Sangat Radio Jiran Terlalu Bising, Warga Emas 77 Tahun Didakwa Bakar Depan Rumah!
Sumber: TikTok Mohd Haizul Arny
