Euforia Bola 2026
Suami Isteri

[FOTO] Christiano Ronaldo & Georgina Rodríguez Nikah Di Ruang Tamu, Majlis Sederhana Di Kediaman Mewah Raih Pujian

Georgina Rodríguez

Pilihan Georgina Rodríguez dan Cristiano Ronaldo untuk mengikat tali perkahwinan secara sederhana di ruang tamu rumah mencuri perhatian warga maya, apatah lagi pasangan itu mempunyai kemampuan untuk mengadakan majlis mewah.

Pendedahan tersebut mengundang pelbagai reaksi selepas diketahui bahawa majlis pernikahan pasangan itu hanya berlangsung di kediaman mereka di Cascais, Portugal, dengan lima anak menjadi antara satu-satunya tetamu pada hari bahagia berkenaan.

Baca juga: “Saya Langsung Tak Terlintas Di Fikirannya”- Isteri Kecewa, Suami Menang Hamper Makeup Mahal Tapi Bagi Dekat Rakan Sekerja Wanita!

CRISTIANO RONALDO & GEORGINA RODRÍGUEZ NIKAH DI RUANG TAMU

Georgina Rodríguez

Pendedahan tersebut dibuat Ronaldo dan Georgina menerusi wawancara bersama majalah Vogue yang diterbitkan baru-baru ini, sekali gus menjelaskan bahawa hari bahagia mereka tidak berlangsung di lokasi eksklusif seperti yang disangka ramai.

Malah, kesederhanaan majlis itu membuatkan warga maya Malaysia mula membandingkannya dengan budaya majlis perkahwinan yang menelan belanja puluhan ribu ringgit.

Nikah dekat ruang tamu rumah adalah pilihan terbaik

Antara komen yang mencuri perhatian ialah pandangan warga maya yang melihat pilihan Ronaldo sebagai contoh bahawa kemewahan tidak semestinya perlu diterjemahkan menerusi majlis perkahwinan besar-besaran.

“Nikah dekat ruang tamu dalam rumah pun ok… Tak membazir,” tulis Melati.

Seorang lagi warga maya, Zie, secara berseloroh mengaitkan pilihan Ronaldo itu dengan situasi pasangan yang berdepan tuntutan majlis besar.

“Lepas ini boleh cakap dekat bakal mak mertua CRISTIANO RONALDO yang kaya raya pun buat majlis dekat ruang tamu rumah je mak. Tapi perempuan kepamist mesti tak setuju mesti grand,” katanya.

Fauzi pula melihat majlis pasangan itu sebagai perbandingan dengan kecenderungan sesetengah masyarakat membelanjakan jumlah besar untuk majlis yang hanya berlangsung sehari.

“Ronaldo pun buat dekat rumah dan ringkas je… Orang kita sibuk nak habiskan 50K untuk majlis sehari je,” komennya.

Tidak kurang juga yang menyentuh kesan kewangan selepas majlis perkahwinan.

“Sangat berbeza dan orang kita hantaran puluh ribu, majlis besar-besar. Hakikatnya, lepas itu susahkan diri sendiri sampaikan anak dah tak boleh berdikari,” tulis Hazali.

Maz pula berkata, kekayaan pasangan berkenaan tidak menghalang mereka daripada memilih majlis yang sederhana.

“Yang kaya raya makan tak habis sampai berapa keturunan simple saja buat majlis,” katanya.

Ronaldo dan Georgina pilih keluarga sebagai saksi

Ronaldo, 41, dan Georgina, 32, memilih 11 Ogos sebagai tarikh pernikahan mereka, iaitu tarikh yang turut mempunyai nilai sentimental kerana genap 10 tahun sejak mereka pertama kali bertemu di sebuah kedai Gucci di Madrid, Sepanyol.

Pasangan yang mula bersama sejak 2016 itu hanya meraikan pernikahan bersama lima anak mereka iaitu Cristiano Jr., kembar Eva Maria dan Mateo serta Alana dan Bella.

Georgina sebelum ini dikatakan pernah mengimpikan sebuah majlis perkahwinan besar seperti dalam cerita dongeng. Namun, selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, keutamaan wanita itu berubah dan dia lebih menghargai momen yang dekat dengan keluarga.

Untuk hari istimewa tersebut, Georgina tampil dalam sut putih daripada Gucci bersama kasut satin, manakala Ronaldo mengenakan sut kapas berwarna kuning air cerah serta kasut khas.

Kelima-lima anak mereka pula mengenakan pakaian dalam rona putih dan kuning air, menjadikan keseluruhan majlis kelihatan cukup kemas dan serasi walaupun berlangsung secara tertutup.

Ronaldo dan Georgina sebelum ini mengumumkan pertunangan pada Ogos tahun lalu selepas hampir sedekad menjalin hubungan.

Menariknya, pasangan itu tidak merancang untuk berbulan madu selepas pernikahan kerana Ronaldo perlu kembali memenuhi komitmen kerjayanya bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.

Malah, Ronaldo menyifatkan setiap hari yang dilalui bersama Georgina sebagai satu bentuk bulan madu, menggambarkan bagaimana mereka lebih mengutamakan kehidupan berkeluarga berbanding kemeriahan sebuah majlis.

Pasangan itu bagaimanapun dilaporkan merancang untuk mengadakan sambutan lebih besar bersama keluarga dan kenalan rapat pada masa akan datang.

Dokumen perkahwinan mereka turut sebelum ini mendedahkan bahawa Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodríguez menandatangani perjanjian praperkahwinan sehari sebelum majlis, dengan aturan pemilikan harta secara berasingan.

Biarpun mempunyai kemampuan untuk mengadakan majlis penuh kemewahan, pasangan itu memilih meraikan detik tersebut secara lebih tertutup.

KOLEKSI FOTO PERNIKAHAN RONALDO & GEORGINA

Cristiano Ronaldo Georgina Rodríguez

 

Cristiano Ronaldo Georgina Rodríguez

Ronaldo Georgina

Sumber: Kosmo!

FT Image: Vogue (1) (2)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×