Euforia Bola 2026
Famili

“Hanya Tunggu Panggilan Ke Tanah Suci”– Penjaga Kunci Air Maut Tudung Terbelit, Suami Terkilan Tak Sempat Jumpa

kunci air

Seorang penjaga kunci air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam meninggal dunia selepas tudungnya dipercayai terbelit pada penggelek pintu air ketika menjalankan tugas susulan air pasang.

Lebih menyayat hati, suami mangsa, Basar Maslan, 63, mengakui masih terkilan kerana tidak sempat bertemu isterinya, Selaton Nuri, 55, sebelum kejadian berkenaan.

Baca juga: “Ceraikan Aku Sekarang”– Suka-Suka Buat Trend Lafaz Cerai Di Threads, Menteri Agama Beri Peringatan

PENJAGA KUNCI AIR MAUT, TUDUNG TERBELIT PENGGELEK KETIKA BEKERJA

kunci air

Basar yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam berkata, dia sedang tidur di rumah selepas bekerja pada sebelah malam selama dua hari apabila menerima panggilan daripada menantunya mengenai kejadian itu.

“Menantu minta saya pergi tengok isteri. Dalam keadaan mamai dan kaki kebas, saya gagahkan juga ke lokasi kejadian dengan memandu kereta.

“Sebaik tiba, saya naik ke kunci air dan melihat isteri sudah ‘tiada’. Tiada apa yang boleh dilakukan kecuali menunggu polis dan ambulans sampai,” jelasnya.

Menurut bapa kepada enam anak berusia antara 23 hingga 36 tahun itu, isterinya berada di lokasi berkenaan untuk melaksanakan tugas menutup pintu air susulan keadaan air pasang.

Lebih memilukan, Selaton ditemani anak kedua mereka ketika menjalankan tugas tersebut. Basar berkata, sebelum kejadian, arwah isterinya sempat berbual dengannya selepas dia pulang dari kerja pada waktu pagi.

“Pagi semalam, apabila saya balik kerja, saya telefon dan tanya dia di mana. Dia beritahu minum dengan anak sambil memaklumkan hendak ke pasar, melawat orang dan akhir sekali ke pintu air.

“Selepas itu, saya beberapa kali menghubungi arwah, namun gagal. Tak sangka umurnya tidak panjang dan Allah SWT lebih menyayanginya,” luahnya.

21 tahun berkhidmat penjaga pintu air

KUNCI AIR

Selaton difahamkan sudah 21 tahun berkhidmat sebagai penjaga pintu air JPS dan tugas tersebut sudah sebati dengan kehidupannya.

Menurut Basar, arwah juga pernah menyatakan hasrat untuk menunaikan ibadah haji dan ketika ini hanya menunggu panggilan untuk ke Tanah Suci.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda pelik sebelum kejadian dan masih menjalani rutin seperti biasa.

“Arwah seorang yang baik, pemurah dan suka membantu. Dia tidak boleh tengok orang susah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad mengesahkan mangsa merupakan kakitangan JPS berusia 55 tahun yang berada di lokasi bagi menutup pintu air susulan air pasang.

Polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 4 petang sebelum mayat mangsa dibawa ke HTAJ Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.35 petang.

Seramai lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam kemudian dikejarkan ke lokasi.

Baca juga: 9 Tahun Menanti Cahaya Mata, Allah Pinjamkan Faleeq Selama Setahun Saja… “Terlalu Cepat & Singkat”

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×