Seorang pelajar dari Kelantan mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya membawa pulang empat pingat emas dalam Kejohanan Jemputan Taekwon-Do Antarabangsa ITF 2026 yang berlangsung di Loudi, China.
Kejayaan membanggakan itu diraih oleh Muhammad Esyhan Izz Rifqi Badaliza, pelajar Maahad Pengajian Islam (MPI) yang mewakili Malaysia bersama Kelab High Kicks Taekwondo.
Baca juga: Misteri Dua Pelajar MRSM Alor Gajah Hilang Sejak 11 Ogos, Asyraf Wajdi Rayu Doa Orang Ramai
PELAJAR KELANTAN RAIH 4 PINGAT EMAS DALAM KEJOHANAN TAEKWONDO DI CHINA

Foto: Maahad Pengajian Islam
Menurut perkongsian di Facebook rasmi Maahad Pengajian Islam, Esyhan berjaya memenangi pingat emas menerusi empat kategori yang dipertandingkan, iaitu:
- Team Pattern
- Individual Pattern
- Individual Sparring
- Team Sparring
Pada hari pertama kejohanan, Esyhan meraih tiga pingat emas menerusi acara Team Pattern, Individual Pattern dan Individual Sparring.
Kejayaannya kemudian dilengkapkan pada hari kedua apabila berjaya menambah satu lagi pingat emas menerusi kategori Team Sparring, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan empat pingat emas.
Pihak sekolah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil usaha berterusan, disiplin tinggi serta semangat juang yang tidak pernah luntur.
“Tambahan pingat emas pada hari ini dirangkul menerusi kategori Team Sparring, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak empat pingat emas,” menurut kenyataan yang dikongsikan oleh MPI.
Jadi Inspirasi Buat Pelajar Lain
Dalam hantaran sama, pihak Maahad Pengajian Islam turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Malaysia, jurulatih dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang penyertaan Esyhan di kejohanan tersebut.
Menurut pihak sekolah, kejayaan berkenaan membuktikan bahawa usaha yang konsisten, disiplin yang tinggi serta tawakal kepada Allah SWT mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan.
Mereka turut berharap pencapaian Esyhan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga pelajar untuk terus cemerlang bukan sahaja dalam bidang sukan dan kokurikulum, malah dalam akademik serta pembentukan sahsiah diri.
Menteri Besar Kelantan Turut Ucap Tahniah

Foto: Facebook Mohd Nassuruddin Haji Daud
Kejayaan Esyhan turut mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud.
Menerusi hantaran di Facebook sebelum itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Esyhan selepas atlet muda tersebut berjaya meraih tiga pingat emas pada hari pertama kejohanan.
Beliau berharap kejayaan itu dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak Kelantan untuk berani mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Kelantan untuk berani membawa nama negeri ke peringkat yang lebih tinggi. Tahniah Esyhan! Demi Kelate Kito Lawe!”
Tidak lama kemudian, Esyhan berjaya melengkapkan pencapaiannya dengan memenangi satu lagi pingat emas menerusi acara Team Sparring, sekali gus membawa pulang empat pingat emas keseluruhan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Sumber: Facebook Maahad Pengajian Islam dan Facebook Mohd Nassuruddin Haji Daud
