Euforia Bola 2026
Inspirasi

Inspirasi! Dr. Siti Hawa Pejuang Penyakit Genetik Ukir Sejarah, Terima Pengiktirafan Malaysia Book of Records

penyakit genetik

Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Siti Hawa Apandi, 36, mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pejuang penyakit genetik pertama yang berjaya menamatkan pengajian tinggi secara berterusan daripada Diploma sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di universiti yang sama.

Baca juga: Ibu Ayah, Jangan Lepaskan Peluang! Kem Rakan Muda 2026 Kini Dibuka, Isi Cuti Sekolah Anak Dengan Aktiviti Menarik

PEJUANG PENYAKIT GENETIK TERIMA MALAYSIA BOOK OF RECORDS

penyakit genetik

Foto: UMPSA Malaysia

Majlis penyerahan pengiktirafan telah berlangsung pada 6 Ogos 2026 di kediamannya di Taman Mahkota Aman, Kuantan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd. Noh dan turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Dalam majlis sama, pihak universiti turut mengadakan sesi simbolik pemakaian jubah konvokesyen kepada Dr. Siti Hawa sebagai tanda penghargaan atas pencapaian akademiknya yang luar biasa.

Berjaya Tamatkan Pengajian Dari Diploma Hingga PhD

Dr. Siti Hawa menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA), iaitu penyakit genetik yang menyebabkan otot semakin lemah secara progresif sehingga menjejaskan pergerakan dan memerlukannya menggunakan kerusi roda.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran kesihatan, dia berjaya menamatkan pengajian secara berterusan di UMPSA bermula daripada:

  • Diploma
  • Ijazah Sarjana Muda
  • Ijazah Sarjana
  • Ijazah Doktor Falsafah (PhD)

Kesemua pengajian tersebut diselesaikan di universiti yang sama dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Pengorbanan Ibu Jadi Sumber Kekuatan

penyakit genetik

Foto: UMPSA Malaysia

Di sebalik kejayaan Dr. Siti Hawa, terselit kisah pengorbanan ibunya yang sanggup mengorbankan masa dan kehidupan demi menemani anaknya sepanjang pengajian.

Sejak Dr. Siti Hawa memulakan pengajian diploma pada tahun 2007, ibunya berpindah dan tinggal berhampiran kampus, menjadikan kolej kediaman UMPSA sebagai rumah kedua selama lebih sedekad.

Kesetiaan seorang ibu yang sentiasa berada di sisi menjadi antara faktor penting yang membantu Dr. Siti Hawa meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Tidak Sempat Hadir Konvokesyen PhD

Walaupun berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun lalu, Dr. Siti Hawa tidak dapat menghadiri Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 kerana menjalani rawatan rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru.

Ketika itu, anugerah bagi pihaknya diterima oleh ibu bapanya daripada Pro-Canselor UMPSA.

Sesi simbolik pemakaian jubah yang diadakan baru-baru ini menjadi detik istimewa bagi menghargai segala usaha dan pengorbanannya sepanjang menempuh perjalanan akademik.

Inspirasi Kepada Golongan OKU

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pencapaian Dr. Siti Hawa membuktikan bahawa kecemerlangan tidak diukur berdasarkan kekangan fizikal, sebaliknya melalui semangat, usaha dan keazaman yang tinggi.

Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU), bahawa setiap individu mampu mencapai impian jika diberikan peluang, sokongan serta akses kepada pendidikan yang inklusif.

Kisah Dr. Siti Hawa bukan sekadar rekod baharu dalam Malaysia Book of Records, malah menjadi bukti bahawa semangat yang tidak pernah mengalah, kasih sayang keluarga dan sokongan institusi pendidikan mampu mengubah cabaran menjadi satu kejayaan yang membanggakan negara.

Baca juga: Betul Ke Czer Kali Kedua Lagi Sakit? Ramai Ibu Kongsi Pengalaman Sama, Ini Penjelasannya

Sumber: UMPSA Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×