Ruqyah Jibril merupakan antara doa yang dianjurkan dalam Islam sebagai ikhtiar memohon kesembuhan dan perlindungan daripada Allah SWT.
Doa ini pernah dibacakan oleh Malaikat Jibril AS kepada Rasulullah SAW ketika Baginda sedang sakit, sekali gus menjadi amalan yang boleh diamalkan oleh umat Islam di samping mendapatkan rawatan perubatan.
Baca juga: Semakan Keputusan Prasekolah KPM 2027 Dibuka Mulai 5 Ogos! Ini Cara Semak & Buat Rayuan
BACA DOA RUQYAH JIBRIL MALAIKAT JIBRIL AS UNTUK DIRI SENDIRI

Menerusi satu perkongsian di Facebook, pendakwah, Ustazah Asma’ Harun berkongsi doa ruqyah yang pernah dibacakan oleh Malaikat Jibril AS kepada Rasulullah SAW ketika Baginda sedang sakit.
Ustazah Asma’ Harun memetik sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Ustazah Asma’ Harun menjelaskan bahawa lafaz doa boleh diubah mengikut individu yang diruqyah kerana dalam bahasa Arab, penggunaan kata ganti nama adalah berbeza.
Baca untuk diri sendiri
بِسْمِ اللهِ أَرْقِي نَفْسِي، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِينِي، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ، اللهُ يَشْفِينِي، بِسْمِ اللهِ أَرْقِي نَفْسِي
Bismillahi arqi nafsi, min kulli syai’in yu’dzini, min syarri kulli nafsin au ‘aini hasidin, Allahu yasyfini, bismillahi arqi nafsi.
Maksudnya: “Dengan nama Allah aku meruqyah diriku daripada setiap sesuatu yang menyakitiku, daripada kejahatan setiap jiwa atau pandangan mata orang yang dengki. Allah menyembuhkanku. Dengan nama Allah aku meruqyah diriku.”
Untuk pesakit lelaki (Ganti nama: Ka)
بِسْمِ اللهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ، اللهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللهِ أَرْقِيكَ
Bismillahi arqika, min kulli syai’in yu’dzika, min syarri kulli nafsin au ‘aini hasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika.
Maksud: “Dengan nama Allah aku meruqyahmu, daripada setiap sesuatu yang menyakitimu, daripada kejahatan setiap jiwa atau pandangan mata orang yang dengki, semoga Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.”

Baca pesakit perempuan (Ganti nama: Ki)
بِسْمِ اللهِ أَرْقِيكِ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكِ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ، اللهُ يَشْفِيكِ، بِسْمِ اللهِ أَرْقِيكِ
Bismillahi arqiki, min kulli syai’in yu’dziki, min syarri kulli nafsin au ‘aini hasidin, Allahu yasyfiki, bismillahi arqiki.
Maksud: “Dengan nama Allah aku meruqyahmu, daripada setiap sesuatu yang menyakitimu, daripada kejahatan setiap jiwa atau pandangan mata orang yang dengki, semoga Allah menyembuhkanmu, dengan nama Allah aku meruqyahmu.”
Menurut Ustazah Asma’ Harun, doa ruqyah ini boleh diamalkan dengan penuh keyakinan dan keikhlasan hati kerana hanya Allah SWT yang berkuasa memberikan kesembuhan.
Dia turut mengingatkan bahawa amalan doa dan ruqyah tidak menggantikan rawatan perubatan, sebaliknya menjadi ikhtiar rohani yang dianjurkan Islam sebagai pelengkap usaha mendapatkan kesembuhan.
Semoga doa yang diamalkan menjadi asbab perlindungan daripada penyakit, gangguan, pandangan hasad (‘ain) serta menguatkan hati untuk terus bergantung harap kepada Allah SWT dalam setiap ujian kehidupan.
Baca juga: Pelajar Latihan Industri Dalam Bahaya? IPT Boleh Tarik Serta Merta Penempatan – Adam Adli
Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun
