Keselamatan pelajar ketika menjalani latihan industri menjadi perhatian selepas beberapa insiden tidak diingini berlaku melibatkan pelajar di tempat latihan.
Susulan itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) kini diberi kuasa untuk mengambil tindakan termasuk membatalkan penempatan latihan atau memanggil pulang pelajar sekiranya terdapat risiko yang boleh membahayakan keselamatan mereka.
Baca juga: Pelajar Umur 12 Tahun Meninggal Dunia Secara Mengejut, Mengadu Sakit Kepala Ketika Latihan Silat
IPT BOLEH NILAI SEMULA PENEMPATAN LATIHAN INDUSTRI PELAJAR

Kredit: Magnific
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, tindakan tersebut boleh dibuat berdasarkan penilaian pihak universiti atau maklumat yang diterima daripada pelajar berkaitan keadaan di tempat latihan.
Menurut beliau, aspek pemantauan dan sistem pelaporan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar sentiasa diberi keutamaan.
“Kita tentu sekali kesal apabila berlaku sebarang kemalangan melibatkan pelajar yang mengikuti latihan industri. Sebab itu kita sentiasa mantapkan terutama sekali dari sudut pemantauan dan pelaporan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai langkah pemantauan terhadap syarikat yang menawarkan tempat latihan industri supaya mematuhi tahap keselamatan ditetapkan.
Isu tersebut dibangkitkan susulan kejadian seorang pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia (UPM) meninggal dunia akibat lemas ketika melakukan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lalu.
Adam Adli menjelaskan, pihak universiti perlu menjalankan penilaian lebih menyeluruh sebelum meluluskan mana-mana organisasi sebagai lokasi latihan, termasuk menyemak rekod keselamatan, pengalaman terdahulu serta reputasi syarikat.
“Bagi bidang berisiko tinggi, hanya organisasi yang memenuhi keperluan keselamatan dan mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang sesuai dipilih sebagai lokasi untuk latihan industri bagi pelajar-pelajar kita,” jelasnya.
Pelajar bidang berisiko perlu ikuti latihan keselamatan

Tambah beliau, pelajar yang ditempatkan dalam bidang berisiko tinggi juga perlu menjalani kursus persediaan atau mendapatkan sijil keselamatan berkaitan sebelum memulakan latihan industri.
Antara aspek yang diberi penekanan termasuk:
- Keselamatan dan kesihatan pekerjaan
- Pengurusan risiko di tempat kerja
- Penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE)
- Prosedur ketika berlaku kecemasan
- Kaedah melaporkan sebarang insiden
Langkah tersebut bertujuan memastikan pelajar mempunyai pengetahuan asas sebelum berdepan situasi sebenar di tempat kerja.
Dari segi pemantauan, keselamatan pelajar akan dipantau secara berkala oleh penyelia akademik daripada universiti serta penyelia di pihak industri.
Pemantauan boleh dilakukan melalui lawatan ke lokasi latihan, pertemuan secara dalam talian, semakan laporan kemajuan serta komunikasi berterusan antara pelajar dan pihak berkaitan.
Selain itu, semua pelajar yang menjalani latihan industri turut dilindungi menerusi Skim Perlindungan Insurans Berkelompok Universiti sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini sepanjang tempoh latihan.
Baca juga: Trend Susukan Anak & Selfie Di Tempat Awam Jadi Isu, Ramai Kata Perbuatan Tak Manis… Apa Kata Islam?
Sumber: BERNAMA
