Euforia Bola 2026
Didik

Detik Bersejarah Pahang, UNIQSAAS Kini Rasmi Sebagai Universiti Al-Quran Pertama Negara!

universiti al-quran

Negeri Pahang mencipta sejarah baharu apabila memiliki sebuah Universiti al-Quran pertama negara menerusi Majlis Pemasyhuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) yang berlangsung di Kuantan, semalam.

Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Kampus UNIQSAAS.

Baca juga: [TERKINI] KPM Laksana Program Reformasi Sekolah Minggu Depan, Pilih 10 Sekolah Setiap Daerah Terima Hingga RM100,000

‘UNIQSAAS’ UNIVERSITI AL-QURAN PERTAMA NEGARA

universiti al-quran

Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Dalam sembah ucapan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar merangkap Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB), berkata pemasyhuran UNIQSAAS mencerminkan komitmen berterusan KDPB Sultan Pahang dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan berteraskan al-Quran, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.

“Penubuhan UNIQSAAS merupakan manifestasi visi jauh Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam memartabatkan pendidikan berteraskan al-Quran sebagai asas pembinaan modal insan yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.

“Selaras dengan aspirasi tersebut, Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkukuh pendidikan Islam melalui pembangunan prasarana, pemantapan akademik serta penerapan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

universiti al-quran

Peruntukan RM20 juta untuk pembangunan UNIQSAAS

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menyokong pembangunan UNIQSAAS supaya berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul.

Selain itu, peruntukan awal sebanyak RM150,000 turut disalurkan bagi melaksanakan gerak kerja penubuhan universiti tersebut.

“Transformasi ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membentuk hala tuju pembangunan universiti.

“Hasilnya, UNIQSAAS kini berkembang sebagai sebuah universiti yang meletakkan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu, penyelidikan, inovasi dan pembinaan tamadun, di samping terus menawarkan pelbagai program profesional yang memenuhi keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau berkata, pemasyhuran UNIQSAAS bukan sekadar perubahan nama atau status sebuah institusi, sebaliknya menjadi lonjakan besar dalam sejarah pendidikan tinggi Islam di Pahang serta membuka lembaran baharu ke arah pembentukan sebuah universiti unggul dalam pengajian al-Quran, penyelidikan dan pembangunan modal insan berteraskan nilai-nilai Islam.

Malah, universiti berkenaan diharap mampu menjadi pusat rujukan ilmu al-Quran yang dihormati serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan agama, bangsa, negeri dan negara.

“Patik juga menzahirkan harapan agar pemasyhuran yang penuh bersejarah ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan baharu pendidikan al-Quran di Negeri Pahang, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju pendidikan al-Quran di Malaysia dan di persada antarabangsa, insya-Allah,” katanya lagi.

UNIQSAAS universiti al-quran

Sultan Pahang lancar Al-Quran Kerajaan Negeri Pahang

Pada majlis sama, Sultan Pahang turut berkenan melancarkan Al-Quran Kerajaan Negeri Pahang serta mengisytiharkan pelantikan Canselor UNIQSAAS.

Baginda turut melantik YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAB Menteri Besar Pahang sebagai Pro-Canselor UNIQSAAS bagi memperkukuh tadbir urus universiti berkenaan.

Sumber: Pahang Media

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×