Euforia Bola 2026
Inspirasi

Wan Sharmila Tinggalkan Dunia Seni, Kini Bergelar Mutawif Demi Menyantuni Tetamu Allah SWT

WAN SHARMILA

Nama pelakon Wan Sharmila tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Namun, selepas lebih dua dekad menghiasi dunia seni, dia kini memilih membuka lembaran baharu apabila menceburi bidang haji dan umrah sebagai seorang mutawif.

Perjalanan Wan Sharmila menjadi mutawif bukanlah sesuatu yang pernah dirancang. Malah, pelakon berusia 45 tahun itu mengakui pada awalnya dia berasa tidak layak kerana tiada latar belakang dalam bidang tersebut.

Baca juga: Tular Pelancong Mat Salleh Setia Duduk Lebih Sejam Di Masjid Negara Dengar Penerangan Tentang Islam, “Hidayah Itu Milik Allah”

WAN SHARMILA PILIH JADI MUTAWIF, TINGGALKAN DUNIA SENI

WAN SHARMILA

Namun, hasil pertemuan dengan seorang sahabat serta dorongan untuk menuntut ilmu akhirnya membuka jalan buatnya menyantuni tetamu Allah di Tanah Suci.

Menerusi perkongsian mengenai perjalanan baharunya, Wan Sharmila atau nama penuhnya Wan Sharmila Wan Muhamed mengakui dia bermula tanpa sebarang pengetahuan dalam bidang haji dan umrah.

Keputusan untuk mendalami bidang tersebut hadir selepas Wan Sharmila mula mengurangkan aktiviti lakonan dan mencari ruang baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, malah menjadi sumber rezeki yang lebih dekat dengan nilai keagamaan.

“Saya zero. Jawapan paling tepat yang saya boleh kongsi ialah semua ini kerana pengaruh rakan sebaya,” jelasnya.

Menurut Wan Sharmila, segala-galanya bermula ketika dia berada di Brunei apabila dipertemukan dengan seorang sahabat yang merupakan alumni Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU).

Wan Sharmila mengakui pada awalnya dia berasa ragu-ragu apabila diajak menyertai pengajian berkaitan haji dan umrah kerana bidang tersebut sangat asing baginya.

Tambahnya, perkara pertama yang bermain di fikirannya ialah persoalan mengenai kelayakan diri untuk menyertai bidang tersebut.

“Saya tertanya-tanya, boleh ke saya nak join? Latar belakang saya jauh sangat. Saya tak pernah kenal industri ini. Ini bidang yang benar-benar baharu untuk saya,” luahnya.

Namun, Wan Sharmila percaya seseorang tidak perlu menunggu diri menjadi sempurna untuk menuntut ilmu dan berubah ke arah lebih baik.

Sahabat baik jadi asbab perubahan hidup

WAN SHARMILA

Bagi Wan Sharmila, pertemuan dengan sahabat yang sering membantu dan menyantuni orang lain menjadi salah satu faktor yang membuka hatinya untuk mengenali bidang haji dan umrah.

Dia tertarik dengan niat sahabatnya yang mahu mempelajari ilmu tersebut bukan semata-mata untuk kerjaya, tetapi bagi membantu jemaah yang menunaikan ibadah di Tanah Suci.

“Saya nak menyantuni jemaah. Saya nak menyantuni tetamu Allah. Masya-Allah… kenapa aku tak fikir benda itu?,” ujarnya.

Menurutnya, tugas mutawif bukan sekadar membimbing jemaah dari segi ibadah, tetapi turut melibatkan tanggungjawab menjaga kebajikan dan memudahkan urusan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Wan Sharmila turut berkongsi bahawa pengalaman menunaikan umrah membuka matanya tentang pentingnya sifat prihatin terhadap orang lain.

Baginya, perkara kecil seperti membantu seseorang mendapatkan tempat duduk juga merupakan satu bentuk khidmat kepada tetamu Allah yang mempunyai nilai besar.

Hijrah jadi inspirasi

Selepas membina nama dalam industri seni menerusi pelbagai drama popular termasuk 7 Hari Mencintaiku, Wan Sharmila kini memilih perjalanan baharu yang lebih dekat dengan khidmat kepada masyarakat.

Penghijrahannya membuktikan bahawa perubahan dalam kehidupan boleh berlaku pada bila-bila masa, tanpa mengira latar belakang seseorang.

Daripada rasa tidak layak untuk menyertai bidang haji dan umrah, kini Wan Sharmila melangkah sebagai seorang mutawif yang mahu berkongsi ilmu serta menyantuni tetamu Allah dengan penuh keikhlasan.

Kisah Wan Sharmila menjadi inspirasi bahawa setiap langkah kecil menuju kebaikan boleh menjadi permulaan kepada perubahan yang lebih besar dalam kehidupan.

Baca juga: “Utamakan Fatima”– Fazura Minta Semua Pihak Berhenti Campur Tangan, Pilih Co-Parenting Dengan Fattah Amin

Sumber: Facebook Pengurusan Haji & Umrah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×