Pemain boling padang negara, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman membuktikan kehamilan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan apabila berjaya menghadiahkan pingat perak buat Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Lebih mengagumkan, atlet berusia 32 tahun itu turun beraksi ketika kandungannya sudah memasuki usia lima bulan. Bersama gandingannya, Aleena Ahmad Nawawi, mereka mara sehingga ke pentas final sebelum tewas 0.5-1.5 kepada pasangan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor di Scottish Event Campus (SEC).
Baca juga: Jumpa ‘Surat Cinta’ Dari Polis Thailand Tahun 1990 Buat Mama, Tapi Jodohnya Tetap Bersama Arwah Abah
PEMAIN BOLING PADANG NEGARA, SYAFIQA RAIH PINGAT PERAK

Bagi Syafiqa, kejayaan tersebut mempunyai makna yang cukup besar kerana ia hadir pada fasa istimewa dalam hidupnya, selain mendapat sokongan penuh daripada keluarga, jurulatih dan suami, Nizam Yusof.
“Pingat perak ini sangat bermakna kerana kali ini saya mendapat sokongan paling kuat. Perjalanan untuk memenangi pingat ini bukan mudah, jadi Alhamdulillah saya sangat bersyukur.
“Berkat ini juga milik bayi saya. Kehadiran anak dalam kandungan memberi saya kekuatan untuk terus berjuang,” katanya.
Syafiqa memaklumkan pasukan kejurulatihan sudah mengetahui mengenai kehamilannya sejak awal lagi. Sepanjang tempoh latihan dan pertandingan, keadaannya sentiasa dipantau bagi memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi.
Malah, dia mengetahui dirinya sedang hamil ketika proses pemilihan atlet ke temasya tersebut berlangsung. Namun, perkara itu tidak menghalangnya daripada meneruskan hasrat mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Jurulatih tahu dari awal. Saya bernasib baik kerana tidak mengalami masalah alahan pagi dan walaupun hamil, saya masih boleh bermain seperti biasa,” jelasnya.
Kejayaan itu turut didedikasikan kepada suami, ahli keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan memburu pingat.

Sementara itu, Aleena menyifatkan pingat perak tersebut sebagai satu pencapaian yang membanggakan memandangkan ia merupakan penampilan sulungnya di Sukan Komanwel. Walaupun sasaran utama adalah emas, dia percaya masih ada peluang untuk mencapainya pada edisi akan datang.
“Kami mungkin perlu tunggu empat tahun lagi. Siapa tahu, insya-Allah mungkin masa itu kami mampu meraih emas,” katanya.
Kejayaan pasangan Syafiqa dan Aleena turut melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat kedua Malaysia dalam acara pasangan wanita boling padang di Sukan Komanwel, selepas emas yang dimenangi Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad pada edisi Gold Coast 2018.
Pada masa sama, pingat perak tersebut turut menjadi pingat pertama yang disumbangkan oleh skuad boling padang negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Sumber: Harian Metro
