Termometer merkuri mungkin kelihatan seperti alat biasa yang digunakan untuk mengukur suhu, namun di sebaliknya tersembunyi risiko yang ramai tidak sedar.
Apabila berlaku kerosakan atau pecah, bahan di dalamnya boleh mengundang bahaya serius jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul.
TERMOMETER MERKURI PECAH, JANGAN SAPU & VAKUM

Sekiranya berlaku tumpahan merkuri, perkara paling utama ialah memastikan keselamatan semua orang di sekeliling. Kanak-kanak, ibu hamil dan haiwan peliharaan perlu segera dijauhkan dari kawasan tersebut. Dalam masa sama, buka tingkap untuk meningkatkan pengudaraan dan, jika boleh, tutup ruang tersebut bagi mengelakkan pencemaran merebak.
Apa yang penting:
- Jangan sesekali menyentuh merkuri dengan tangan kosong.
- Elakkan juga daripada menyapu menggunakan penyapu, menggunakan vakum atau membersihkannya seperti tumpahan biasa.
Ini kerana merkuri mudah berpecah menjadi titisan kecil yang boleh bergolek ke celah lantai dan terus membebaskan wap berbahaya. Tindakan seperti menyapu atau menggunakan vakum hanya akan menyebabkan pencemaran menjadi lebih teruk dan tersebar ke udara dengan lebih cepat.
Dalam keadaan ini, langkah paling selamat adalah mendapatkan bantuan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Mereka mempunyai kepakaran dan peralatan yang sesuai untuk mengendalikan serta membersihkan tumpahan merkuri dengan cara yang betul dan selamat, terutamanya jika berlaku di dalam rumah, bilik tidur atau ruang berhawa dingin.

Pendedahan kepada merkuri bukan perkara kecil kerana dalam jangka pendek, ia boleh menyebabkan simptom seperti sakit kepala, pening, loya, batuk dan iritasi saluran pernafasan. Jika terdedah dalam tempoh lebih lama atau pada tahap tinggi, kesannya boleh menjejaskan sistem saraf, buah pinggang serta perkembangan kanak-kanak.
Walaupun nampak seperti perkara kecil, bahaya sebenar bukan pada kaca yang pecah, tetapi pada wap merkuri yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Jika berdepan situasi ini, dapatkan bantuan segera dan pastikan langkah yang diambil adalah betul demi keselamatan semua. Hubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mendapatkan bantuan serta memastikan proses pembersihan dan pelupusan merkuri dilakukan dengan cara yang selamat.
Baca juga: Hidung Anak Berdarah & Hingus Bau Busuk, Rupanya Ada Objek ‘Tersimpan’ Hampir 10 Tahun!
Sumber: Facebook Public Health Malaysia & Threads Nabilahmazalan
