Tempoh permohonan UPUOnline bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi akademik 2026/2027 kini dilanjutkan sehingga 12 April 2026.
Sebelum ini, tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 23 Mac 2026, namun ia dilanjutkan susulan pengumuman tarikh keputusan peperiksaan SPM 2025 yang dikeluarkan pada Isnin.
PERMOHONAN UPUONLINE LEPASAN SPM DILANJUTKAN SEHINGGA 12 APRIL

Gambar hiasan: Fail NSTP.
Perkembangan ini memberi peluang tambahan kepada pelajar yang masih belum membuat permohonan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui sistem UPUOnline.
Lebih 300 program pengajian ditawarkan kepada lepasan spm
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada calon lepasan SPM melalui pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
Antara institusi yang terlibat termasuk:
- Universiti Awam (UA)
- Politeknik
- Kolej Komuniti (KK)
- MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT)
Jumlah program yang ditawarkan ini merangkumi pelbagai bidang pengajian dan memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar untuk menentukan laluan kerjaya mereka selepas tamat sekolah.
Pada masa sama, KPT memaklumkan bahawa tarikh tutup permohonan bagi fasa pertama lepasan STPM atau setaraf kekal pada 23 Mac 2026 dan tidak mengalami sebarang perubahan.
Bagi lepasan STPM atau kelayakan setaraf, sebanyak 1,146 program pengajian ditawarkan oleh institusi yang sama di seluruh negara.
Baca juga: [TERKINI] KPM Umum Pengambilan 20,000 Guru Baharu, Permohonan Dibuka 2 Mac Ini!

Gambar: KPT
Cara beli nombor pin UPUOnline di BSN
Dalam kenyataan sama, KPT turut mengingatkan bahawa calon lepasan SPM yang masih belum membuat permohonan UPUOnline perlu membeli nombor pin terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan.
Nombor pin tersebut boleh dibeli melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM10.60 termasuk caj perkhidmatan.
Antara kaedah pembelian yang disediakan ialah:
- 387 kaunter cawangan BSN di seluruh negara
- 843 mesin ATM BSN
- Perbankan internet myBSN
Selepas pembayaran dibuat, pihak BSN akan mengeluarkan nombor pin UPUOnline bersama resit pembayaran sebagai rujukan calon.
Calon digalak buat permohonan lebih awal
Kementerian Pendidikan Tinggi turut menasihatkan semua calon yang layak supaya tidak menangguhkan permohonan sehingga saat akhir.
Sebaliknya, pelajar digalakkan melengkapkan permohonan lebih awal bagi mengelakkan masalah seperti gangguan sistem atau kesesakan trafik pada laman web UPUOnline.
Dalam masa sama, semua calon yang memenuhi syarat kelayakan dipelawa mengambil peluang ini untuk menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi dan merancang masa depan akademik mereka dengan lebih baik.
Baca juga: [TERKINI] PM Anwar Setuju TIADA Ujian Diagnostik Untuk Kemasukan Ke Darjah Satu
Sumber: BERNAMA
FT Image: Harian Metro / KPT
