Persediaan ujian PKSK memerlukan perancangan rapi agar calon benar-benar bersedia dari segi mental, fizikal dan logistik. Fly High Education Centre (FHEC) melalui hantaran Facebook mereka berkongsi panduan berguna untuk membantu calon Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 menghadapi Ujian Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Berikut ialah 17 langkah penting yang perlu diberi perhatian oleh calon serta ibu bapa.
Baca juga: [TERKINI] KPM Perintahkan 12 Jenis Makanan & Minuman Ini Dilarang Jual Di Sekolah!
17 PERSEDIAAN UJIAN PKSK UNTUK CALON & IBU BAPA

Gambar: FHEC
1. Pakai uniform sekolah lengkap
Pastikan calon memakai pakaian seragam sekolah lengkap dan kemas. Ini menunjukkan disiplin serta kesediaan menghadapi ujian penting seperti PKSK.
2. Bawa MyKad / MyKid asal
Hanya dokumen asal diterima, bukan salinan fotokopi. Letakkan kad pengenalan dalam lanyard yang mudah dibuka sekiranya pemeriksa memerlukan semakan.
3. Cetak slip panggilan ujian
Jangan lupa cetak dua salinan slip panggilan ujian. Selain untuk rujukan, slip ini boleh digunakan untuk catatan atau kira-kira sekiranya kertas tidak disediakan oleh pihak sekolah.
4. Sediakan kertas A4
Bawa beberapa helaian kertas A4 kosong sebagai persediaan untuk membuat pengiraan atau catatan tambahan.
5. Lengkapkan alat tulis
Bawa alat tulis yang mencukupi untuk bahagian Artikulasi Penulisan. Gunakan pensil berkualiti dan pastikan sudah diasah dari rumah. Bawa sekurang-kurangnya dua batang untuk berjaga-jaga.
6. Sediakan pen sebagai pilihan
Ada sesetengah bahagian memerlukan penggunaan pen. Jika tersilap tulis, potong satu garisan sahaja dan tulis di tepi, jangan guna cecair pemadam (liquid paper) kerana boleh menyebabkan tulisan menjadi comot.
7. Boleh guna kalkulator biasa
Calon dibenarkan menggunakan kalkulator asas sahaja. Namun, jika belum mahir, disarankan mengira secara manual supaya tidak tersilap menekan nombor.
8. Elakkan jam pintar (Smartwatch)
Pemakaian jam pintar tidak dibenarkan. Gunakan jam biasa untuk melihat masa.

Gambar hiasan: Utusan
9. Bawa telefon dalam mood senyap
Telefon bimbit boleh dibawa tetapi mesti disimpan dalam beg dan diaktifkan dalam mod senyap atau dimatikan sepanjang ujian berlangsung.
10. Dilarang guna aplikasi Google
Jangan sekali-kali menggunakan sebarang aplikasi carian atau bantuan semasa menjawab ujian. Tindakan ini boleh dianggap meniru atau menipu.
11. Datang awal ke pusat ujian
Rancang perjalanan dengan baik. Sampai sekurang-kurangnya pukul 7.15 pagi untuk elak kesesakan. Pendaftaran bermula antara 7.30 hingga 8.00 pagi. Jika jauh, tempah penginapan berhampiran seperti homestay atau hotel.
12. Maklumkan jika anak sakit
Jika calon tidak sihat atau demam, maklumkan segera kepada pusat ujian. Nombor telefon sekolah tertera di slip panggilan ujian. Jika tidak berfungsi, boleh semak melalui laman web sekolah.
13. Ibu bapa tak boleh tunggu
Kebanyakan pusat ujian hanya membenarkan hantar dan terus keluar. Ada sekolah benarkan parkir dan turun di pintu pendaftaran, manakala ada juga sistem drive-thru. Ucapkan semangat kepada anak di dalam kereta sebelum berpisah.
14. Baca soalan dengan teliti
Ingatkan anak supaya membaca setiap soalan dengan cermat dan menjawab dengan tenang. Satu soalan yang tertinggal boleh memberi kesan kepada keputusan keseluruhan.
15. Jangan gelabah bila orang lain keluar awal
Setiap calon mempunyai tempo tersendiri. Jangan terpengaruh jika rakan keluar awal — fokus pada masa yang diberikan dan pastikan jawapan lengkap.
16. Bahagian Artikulasi Penulisan
Untuk bahagian ini, calon perlu menulis sekitar 100 patah perkataan. Lebih sedikit tidak mengapa, tetapi elakkan tulisan terlalu panjang atau berulang.
17. Berdoa dan berzikir
Mulakan dan akhiri ujian dengan zikir, selawat dan doa. Ibu bapa disarankan mendoakan anak sebelum, semasa dan selepas ujian, doa mereka sangat mustajab.
Semoga semua calon PKSK dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan hati dan ilham ketika menjawab soalan. Moga juga diberikan rezeki untuk menempatkan diri di sekolah idaman masing-masing. Selamat maju jaya buat semua calon PKSK!
Sumber: Fly High Education Centre (FHEC)
FT Image: FHEC / Freepik
