Resepsi perkahwinan merupakan antara detik paling bermakna dalam kehidupan setiap pasangan yang melangkah ke alam rumah tangga. Ia bukan sekadar meraikan cinta, tetapi juga menjadi peluang untuk menghargai budaya, tradisi dan warisan keluarga sama ada mengikut adat sendiri atau menerapkan unsur budaya lain sebagai simbol perpaduan dan penghormatan
Perkara ini sama seperti dilakukan pasangan pengantin berbangsa India ini yang tampil berani dan unik apabila memilih untuk meraikan majlis resepsi mereka dengan penuh gaya tradisional Melayu.
Baca juga: Tak Perlu Tergesa-Gesa, Bantuan SARA RM100 Boleh Digunakan Sampai 31 Disember!
PENGANTIN INDIA PILIH ADAT MELAYU UNTUK RESEPSI PERKAHWINAN

Pemilihan konsep ini bukan sekadar satu pilihan estetika, tetapi lahir daripada hasrat seorang ibu yang ingin melihat anaknya diraikan dalam suasana yang berbeza dan istimewa.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh pengguna bernama @thamayanthi._, dia memaklumkan bahawa konsep resepsi berunsurkan adat Melayu ini sebenarnya merupakan hasrat ibunya sejak sekian lama.
Menurutnya, ibunya amat meminati elemen-elemen tradisional dalam perkahwinan Melayu dan menganggap ia sebagai satu bentuk penghormatan terhadap budaya lain.
Dalam video yang dimuat naik, kelihatan majlis tersebut diserikan dengan elemen-elemen tradisional Melayu antaranya paluan kompang, perarakan masuk pasangan mempelai diiringi pengapit, serta hiasan pelamin yang menampilkan reka bentuk klasik Melayu.
Pasangan pengantin juga tampil anggun dan segak mengenakan busana songket lengkap dengan tanjak dan bunga tangan, menjadikan suasana majlis seolah-olah satu perkahwinan tradisional Melayu yang sebenar.
Menurut @thamayanthi._ lagi, ibunya sangat berhasrat untuk melihat anaknya diraikan dalam suasana adat Melayu dan kini impian itu akhirnya tercapai.
Ia bukan sahaja satu kenangan manis, malah menjadi lambang penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Menariknya, selain majlis bertemakan adat Melayu, dia juga berkongsi video lain yang memaparkan majlis perkahwinan ahli keluarganya yang diraikan mengikut tradisi India, menunjukkan keindahan dalam meraikan kedua-dua warisan budaya tersebut.
Baca juga: “Mama Nangis Rindu Ammar”- Anggota Tentera Dilaporkan Hilang Sejak Seminggu Lalu
Sumber: TikTok
