Sup kaki ayam bukan sahaja sedap dan penuh khasiat, malah bila dimasak dengan teknik yang betul hasilnya lebih cepat lembut dan menjimatkan gas. Baru-baru ini, NurulAin Alaui berkongsi cara memasak sup kaki ayam menggunakan teknik 5 : 30 : 7 yang tular kerana mudah, ringkas dan praktikal.
Dia sendiri mengakui resipi ini sangat menjadi serta berterima kasih kepada mereka yang berkongsi teknik tersebut sebelum ini. Katanya, “Alhamdulillah, memang menjadi. Jimat gas Kak Ain!”
Baca juga: Jangan Terpedaya Kulit Cantik, Ini 7 Rahsia Pilih Buah Naga Manis Yang Penjual Tak Pernah Bagitahu!
RESIPI SUP KAKI AYAM TEKNIK 5:30:7

Gambar: NurulAin Alaui
Cara-caranya:
- Masukkan air dalam periuk pastu panaskan sampai menggelegak.
- Bila air dah menggelegak, masukkan kaki ayam, halia dan sup bunjut. Lepastu amik penutup periuk, tutup.
- Rebus kaki ayam selama 5 minit.
- Cukup 5 minit, tutup api.
- Rehatkan ayam dalam periuk tu selama 30 minit. Jangan bukak langsung penutup periuk ok. Kalau bukak, confirm tak jadi dah.
- Cukup 30 minit, hidupkan api semula.
- Masak lagi selama 7 minit.
- Dah selesai cuba periksa dah lembut ke belum kaki ayam itu.
Teknik ini katanya boleh juga digunapakai untuk daging, tulang, ayam pencen dan sebagainya.
Proses memasak tetap mengambil masa 42 minit, tapi kelebihannya adalah jimat gas sebab menghidupkan api cuma 12 minit sahaja. Teknik ini juga sesuai kepada yang belum ada pressure cooker.
Resipi sup kaki ayam NurulAin Alaui
- Kaki ayam yang dah lembut tadi tambah garam dan serbuk perasa.
- Dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih yang dimayang, bunga lawang dan kayu manis sikit.
- Tumis sampai garing.
- Masukkan tumisan bawang tadi bersama dengan minyak bawang ke dalam sup kaki ayam.
- Taburkan daun sup.
- Nak makan nanti, tabur lagi bawang goreng, cili api dan perah limau nipis kalau suka masam.
Itu sahaja perkongsian hari ini. Kalau ada kebaikan di posting ini boleh sedekahkan buat arwah abah dan abang Kak Ain, Haji Alaui bin Nor dan AmreyFaizal bin Alaui.
Apa-apa pun ini resipi cara Kak Ain, kalau tak kena dengan cara anda jangan kecam. Lain padang lain belakang.
Baca juga: Mee Kuah Turun-Temurun Yang Istimewa, Umur Abah Sudah Masuk 72 Tahun Baru Dapat Resipi!
Testimoni warga maya yang pernah guna teknik 5 : 30 : 7
Ramai yang pernah cuba teknik ini turut berkongsi pengalaman mereka:
“Saya pun selalu guna teknik ini, Alhamdulillah boleh jimat gas! Nak buat bubur kaccang pun jadi juga dengan teknik ini tau.
“Ayah saya dah dekat 19 tahun kena makan bubur. Macam ini lah masak bubur bagi tak membazir gas.
“Saya baru sahaja buat semalam untuk ubi keledek dengan ubi keladi. Teknik 5:30!
“Betul memang jadi teknik ini. Saya dah buat untuk rebus ayam pencen dan daging.
“Saya buat bubur kacang hijau pun begini. Buat bubur nasi pun, apatah lagi nasi impit,” kongsi warga maya.
Ternyata, teknik memasak 5 : 30 : 7 bukan sahaja sesuai untuk sup kaki ayam, malah boleh diaplikasikan pada pelbagai jenis masakan lain. Paling penting, ia menjimatkan tenaga, masa dan kos dapur.
Baca juga: Resipi Golden Egg Ball Ala Kedai Sushi Terkenal, Rangup Luar Tapi Leleh Dalam!
Sumber: NurulAin Alaui
FT Image: NurulAin Alaui
