Famili

Bukannya ‘Demand’ Pun, Ini 5 ‘Me Time’ Yang Isteri Anda Paling Perlukan

772
SHARES

Dalam sebuah laporan Daily Mail menunjukkan bahawa seorang ibu hanya mempunyai 17 minit sehari untuk diluangkan bagi kepentingan diri sendiri. Tak hairanlah survei juga mendapati isteri lebih cepat stres berbanding suami. Bukan nak berat sebelah, namun realitinya seorang isteri tak pernah berhenti dengan kerja rumah, kerja di pejabat, lepas tu pula nak menguruskan anak dan suami.

Ibu-ibu yang jadi surirumah lagilah jarang ada masa untuk diri sendiri. Dibuatnya anak kecil tak mahu berenggang, kadang-kadang sampai tengah memasak pun kena berhenti separuh jalan atau sambil dukung anak sekali.

Bila dah nampak ibu-ibu mula bertukar jadi ‘mommy monster’, itulah maknanya mereka perlukan sedikit masa untuk bersendiri. Kadang-kadang, bukannya mudah nak pergi bercuti, nak balik kampung, atau nak pergi berjumpa kawan-kawan. Selalunya benda yang kita rancang-rancang semua tak jadi. Lagipun, asal kita pakai baju elok atau seluar jeans saja mulalah anak-anak tanya nak ke mana.

Sebenarnya ada beberapa cara Encik Suami boleh bantu isteri untuk dapatkan ‘me time’ mereka di rumah saja. Walaupun simple, tapi ia cukup berharga.

5 Perkara Simple Ini Boleh Jadi ‘Me Time’ Yang Sangat Berharga Untuk Isteri

1. Tidur

Pertama sekali, faham-fahamlah bahawa isteri anda memang tak pernah dapat tidur yang cukup sejak bayi anda lahir ke muka bumi. Malam-malam bangun menyusukan, mengepam, tengok anak menangis, tukar lampin, dan sebagainya. Keadaan ini biasanya berterusan sampailah anak dah bercerai susu. Itupun kalau tak ada anak kecil yang seterusnya.

Jadi, kalau dapat masa beberapa minit untuk tidur tanpa gangguan dah tentulah isteri-isteri akan amat menghargainya. Tak kiralah ketika waktu hujung minggu atau hari-hari biasa. Sesekali dapat masuk tidur lebih awal sementara suami menguruskan anak-anak atau menghabiskan kerja-kerja rumah yang masih tersisa mesti seronok. Esok pun dapat bangun dengan lebih bertenaga!

Foto Kredit: www.ithacajournal.com/

2. Mandi

Bila dah jadi ibu ni, rasanya macam tak ingat bila kali terakhir kita betul-betul dapat mandi dengan tenang. Selalunya mandi sekadar cukup syarat saja, ala-ala ‘mandi kerbau’ macam tulah.

Mana taknya, sebaik kita melangkah ke dalam bilik air, ada saja suara-suara dan ketukan dari luar pintu. Ada yang tanya barang yang hilanglah, ada yang mengadu laparlah, ada tu sengaja nak dengar suara kita. Betul tak?

Bagi yang ada anak kecil, kita cuma boleh mandi bila dia tidur. Kadang-kadang tengah-tengah mandi tu, terdengar pula macam suara tangisan. Aduh, kita pun tergesa-gesa keluar pakai tuala dan keluar. Tapi bila tengok rupanya baby tengah sedap tidur…..

Foto Kredit: http://www.rd.com/

3. Makan

Kalau dulu, kitalah yang paling excited bila suami ajak makan di luar. Tapi itu dulu. Sekarang isteri mungkin lebih suka makan di rumah sebab lebih mudah mengawal keadaan.

Walaupun makan di rumah, bukan mudah nak dapat masa untuk menikmati makanan macam dulu lagi. Kadang-kadang isteri nak habiskan sepinggan nasi pun berjam-jam sebab berkejaran dengan anak. Ada masanya isteri cuma makan makanan lebihan anak-anak sebab tak mahu membazir.

Sesekali, cuba ‘tapau’kan isteri makanan yang sedap-sedap dan berilah sedikit masa untuk dia makan perlahan-lahan. Suami pula suapkanlah anak atau ajak mereka bermain di tempat lain sementara ibu habis makan. Taklah asyik tersedak saja nanti.

Foto Kredit: www.ratemds.com

4. Guna Handphone

Kadang-kadang isteri nak tengok handphone bukan sebab tak nak bersosial dengan suami atau anak-anak. Tapi isteri nak cari resepi, nak tengok ilham deko, dan tips-tips wanita gitu.

Beri isteri masa untuk call mak ayah atau adik-beradik lain. Sesekali berbual dengan ahli keluarga yang jauh dapat juga melepaskan rindu dan meredakan rasa letih.

Foto Kredit: canadianbusiness.com

5. Solat & Meditasi

Kadang-kadang bila isteri terlampau stres, mereka tak perlukan apa-apa pun, cuma nak luangkan masa lama sikit masa solat. Nak berzikir, berdoa, mengaji, dan sebagainya. Inilah punca kekuatan mereka. Doa mereka pun, untuk anak dan suami juga.

Sebenarnya ‘me time’ beginilah yang paling penting buat isteri anda. Mereka perlu masa dengan Pencipta mereka. Mereka mahu mengadukan masalah, mereka mahu mengucapkan syukur padaNya, sebab ketenangan hati yang sebenar hanya akan lahir dengan rahmatNya.

Foto Kredit : islamhouse.muslimthaipost.com

‘Pinjamkanlah’ Beberapa Minit Saja Buat Isteri

Bukannya susah sangat permintaan ‘me time’ seorang isteri, kan? Tak sampai sejam pun, isteri mesti akan rasa recharged dan dapat ‘berfungsi’ semula.

Ada suami yang baik hati akan galakkan isteri pergi bercuti atau keluar dengan kawan-kawan atau balik kampung. Tapi sebenarnya kalau dapat ‘me time’ begini pun dah cukup membantu. Walaupun banyak tugas di rumah, insha Allah akan tetap luas senyumnya dan hilang rasa kecamuknya. Cubalah!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×