Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang kini berusia 50 tahun telah menganjurkan Majlis Pelancaran Jubli Emas 50 tahun sejak ianya mula dibangunkan pada 31 Mac 1972.
Majlis pelancaran pertubuhan yang diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua itu telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Pada awal penubuhannya, NAFAS yang dikenali sebagai Persatuan Peladang Kebangsaan hanya bertanggungjawab sebagai badan induk bagi semua persatuan peladang di seluruh negara.
Namun seiring dengan peredaran zaman, persatuan-persatuan peladang dan syarikat-syarikat kerjasama asas tani di seluruh negara telah disatukan dibawah NAFAS.
Kejayaan NAFAS Bantu Keluarga Peladang
Menteri Pertanian dan Industri Makanan di dalam ucapannya berkata, sepanjang 50 tahun penubuhan NAFAS, pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksana bagi memastikan industri ini bergerak seiring dengan kemodenan dunia.
Selain membantu memajukan industri pertanian negara, usaha dan inisiatif yang telah dijalankan juga turut membantu Keluarga Peladang dalam menaikkan taraf hidup serta sumber ekonomi mereka.
Hal ini menunjukkan bahawa NAFAS telah berjaya membawa perubahan yang lebih moden dan dinamik kepada industri pertanian di Malaysia.
Kekal Relevan Menjelang 2030
Bagi memastikan pertubuhan ini kekal relevan di era moden ini, 5 Tekad diperkenalkan sebagai fokus utama NAFAS menjelang 2030 iaitu:
- TEKAD PERTAMA: Pembangunan Industri Padi & Beras
Fokus tekad pertama ini adalah untuk melengkapkan lagi rantaian nilai industri padi dan beras Malaysia sekaligus merancakkan aktiviti pengeluaran beras negara.
- TEKAD KEDUA: Pemasaran Input Baja dan Kimia
Bagi membuka peluang pendapatan baharu, tekad ini memfokuskan penyelidikan, pengilangan dan pemasaran input baja dan kimia di pasaran terbuka.
- TEKAD KETIGA: Pemain Utama Industri Ayam
Tekad ketiga pula memfokuskan usaha Pertubuhan Peladang dalam memenuhi permintaan ayam diperingkat domestik dan antarabangsa.
- TEKAD KEEMPAT: Sumber Kekayaan Baharu
Fokus utama tekad keempat adalah untuk merancakkan pembangunan sektor pertanian baharu seperti nanas MD2 serta durian Musang King.
- TEKAD KELIMA: Kemakmuran Keluarga Peladang
Tekad terakhir ini memfokuskan untuk menjaga kebajikan Keluarga Peladang bagi memastikan NAFAS mampu kekal relevan di masa akan datang.
Pada usia 50 tahun, NAFAS kini lebih bersedia menghadapi cabaran dan meniti arus pemodenan.