Setiap ibu bapa pasti mempunyai cara masing-masing untuk mendidik, mengajar dan bermain dengan anak-anak supaya anak kekal mesra dengan ibu bapa hingga besar. Sebenarnya cara ibu dan bapa melayan anak-anak adalah berbeza. Berbeza di sini bukanlah membezakan kasih sayang. Tapi, si ibu mungkin akan lebih berlembut dengan anak manakala si bapa akan lebih tegas dengan anak. Jadi, ‘consulatant’ ini kongsi perbezaan otak si ayah dan ibu yang mempengaruhi cara didik anak.
PERBEZAAN OTAK AYAH DAN IBU.
1.PERTAUTAN EMOSI DENGAN ANAK
Apabila Imbasan MRI dibuat ke atas otak para ibu dan para bapa dalam satu kajian oleh University of Denver pada tahun 2014, didapati bahawa bahagian otak yang dikaitkan dengan:
1.Perapatan (attachment)
2.Pemupukan (nurturing)
3.Empathy
4.Keupayaan untuk menterjemah dan bertindakbalas terhadap tingkah laku bayi, telah pun aktif pada para ibu sejak bayi lahir lagi. Bagi para bapa pula, bahagian otak ini lebih aktif ketika bayi berusia 12-16 minggu.
Otak para bapa menyesuaikan diri dengan cara yang berbeza daripada otak para ibu untuk memastikan bapa boleh tetap merapat (bond) dengan anak. Disebabkan para bapa tidak melalui perubahan dan peningkatan hormon ketika mengandung dan melahirkan anak sepertimana para ibu, maka para bapa perlu SENTIASA BELAJAR DAN MENGAMBIL BAHAGIAN dalam penjagaan bayi supaya para bapa dapat bertaut dengan emosi anak. Pertautan ini berlaku secara semulajadi pada ibu-ibu disebabkan oleh pengaruh hormon ini.
2.PERBEZAAN PERANAN MENDIDIK ANAK
Kajian yang dibuat pada tahun 2012 pula mendapati bahawa bahagian otak yang paling aktif pada seorang ibu adalah bahagian PENJAGAAN, pemupukan dan mengenalpasti bahaya pada anak. Manakala bahagian otak yang paling aktif pada ayah pula adalah bahagian FUNGSI KOGNITIF seperti penetapan matlamat, perancangan, penyusunan strategi dan penyelesaian masalah.
3.AKTIVITI DAN RUTIN BERSAMA ANAK
Hormon ‘oxytocin’ atau hormon kasih sayang didapati lebih tinggi dalam otak ibu apabila ibu MEMBELAI dan menjaga anak-anak. Manakala hormon ‘oxytocin’ pada para ayah pula berada pada tahap yang tinggi apabila ayah terlibat dengan ‘ROUGH-AND-TUMBLE PLAY’ atau pun permainan lasak dengan anak-anak.
Oleh kerana tahap ‘oxytocin’ ibubapa boleh menjadi indikasi kepada tahap oxytocin anak, ini bermakna anak-anak sangat gembira apabila BERMAIN DAN MELASAK DENGAN AYAH. Anak-anak pula sangat gembira apabila DIBELAI OLEH IBU. Jika inilah yang membuatkan anak gembira dan bertaut, maka anak-anak akan berterusan mengajak ayah bermain dan melasak supaya mereka dapat ‘bond’ dengan ayah. Ibu pula perlu menjadi tempat luahan dan mendengar bagi anak-anak.
Berdasarkan 3 fakta ini sahaja jelaslah kedua-kedua ayah dan ibu melengkapi di antara satu sama lain dalam mendidik dan membesarkan anak. Kedua-duanya perlu memainkan peranan masing-masing kerana tanggungjawab terletak di bahu kedua-duanya. Ayah yang mempunyai keupayaan kognitif yang lebih baik perlu menjadi ketua keluarga yang berfungsi dan efektif bukannya meletakkan kesemuanya di pundak para ibu sahaja.
Sumber: Noor Afidah Abu Bakar