Rakyat

Fungsi Masa Di MySejahtera Pantau Had 2 Jam Maksimum Setiap Pelanggan

6.4K
SHARES

MySejahtera Dilengkapi Fungsi Masa

Putrajaya: Had maksimum dua jam untuk seseorang pelanggan berbelanja di semua premis peruncitan termasuk pusat beli belah dipantau menerusi aplikasi MySejahtera.

Tempoh masa berkenaan yang berkuatkuasa mulai esok antara prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk Sektor Perdagangan Pengedaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aplikasi MySejahtera sudah diletakkan masa yang boleh dirujuk pelanggan selain melakukan pematuhan secara kendiri.

Pemilik Premis Perlu Memantau Mengikut Had Masa Ditetapkan

Katanya, kementerian juga memohon kerjasama semua pemilik premis mengingatkan dan memantau pelanggan supaya patuh kepada had masa ditetapkan.

“Penguatkuasa KPDNHEP akan ditugaskan bagi memantau premis perniagaan yang dikenal pasti dan menjadi tumpuan ramai pembeli bagi mengekang pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya, hari ini.

Semalam, dalam satu kenyataan, Alexander mengumumkan KPDNHEP akan menguatkuasa SOP PKP 3.0 Sektor Perdagangan Pengedaran bermula esok susulan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan COVID-19 bagi memperketatkan pelaksanaan PKP 3.0.

Pelaksanaan itu antara lain, menetapkan waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Kanak-kanak Bawah 12 Tahun Tidak Digalakkan Masuk, Bukannya Tidak Dibenarkan

Pada masa sama, Alexander berkata, kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak digalakkan dan bukannya tidak dibenarkan dibawa masuk ke pasar raya bagi tujuan keselamatan.

Menurut beliau, kerajaan prihatin dan mengambil kira ada sebahagian penjaga terdiri ibu tunggal yang tiada tempat untuk meletakkan anak ketika membeli barangan di pasar raya.

Katanya, sekiranya ada saudara mara yang boleh menjaga kanak-kanak ini lebih baik ditinggalkan bersama mereka buat sementara waktu demi menjaga keselamatan kanak-kanak terbabit.

Park & Dine Tidak Dibenarkan

Selain itu, katanya, aktiviti premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta adalah tidak dibenarkan.

Jika ingin membeli makanan, pelanggan perlulah membungkus dan membawa pulang (take away).

*Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×