Famili

6 Sebab Anda Bertuah Mempunyai 4 Orang Adik-Beradik

2.6K
SHARES

Sejak zaman kanak-kanak lagi, adik-beradiklah yang menjadi teman bermain, teman bergaduh. Walaupun ada harinya kita merajuk , lama kelamaan akan berbaik semula.

Walau apa pun terjadi, hubungan adik beradik amat istimewa dalam hidup kita. Lebih bertuah jika dapat adik-beradik berempat. Kenapa? Ada banyak sebabnya.

6 Sebab Anda Bertuah Mempunyai 4 Orang Adik-Beradik

1. Kehidupan Paling Bahagia – Menurut Kajian Sains

Empat beradik ini tidaklah begitu ramai, dan tidak juga begitu sedikit. Bila terlalu sedikit, mungkin ada kecenderungan untuk berasa sunyi, manakala kalau terlalu ramai pula mungkin ada yang rasa tersisih kerana terasa kurang mendapat perhatian.

Menurut kajian Dr. Bronwyn Harman, Pensyarah Psikologi dan Sains Sosial, setelah lima tahun menemu bual ibu bapa daripada pelbagai kategori dan latar belakang, beliau mendapati ibu bapa yang miliki lebih daripada 4 orang anak mempunyai kehidupan yang lebih bahagia berbanding keluarga yang miliki anak kurang daripada empat orang.

Foto Kredit: theaustralian.com.au/

2. Cukup Berpasang-pasangan

Salah satu keistimewaan kalau ada 4 orang adik-beradik, kebanyakan permainan berkumpulan boleh dimainkan bersama dalam pasangan. Contohnya bermain badminton, pingpong, kejar-kejar, mahupun video game. Pembahagian begini lebih adil dan memudahkan.

Nak naik bas atau tren pun lebih senang nak menempatkan anak-anak. Begitu juga dengan kebanyakan permainan di taman tema seperti roller coaster dan sebagainya. Tak adalah seorang yang ‘tersisih’ dan menjadi pengadil saja nanti!

hubungan adik beradik

Foto Kredit: rivendell-school.org

3. Karakter Yang Berbeza

Setiap adik-beradik biasanya memiliki personaliti yang berbeza – ada yang kuat ‘sentap’, ada yang ‘pak lawak’, ada yang suka buat hal sendiri, ada yang banyak cakap, ‘bossy’, dan sebagainya.

Sungguhpun mungkin wujud persaingan antara satu sama lain, tetapi ia secara tak langsung mengajar kita berdikari dan menghargai. Dengan kata-kata rangsangan yang tidak pernah putus, masing-masing tentu lebih bersemangat meneruskan perjuangan untuk mencapai apa yang dihajati. Ia memberi peluang kepada setiap anak untuk saling memahami dan menerima seadanya.

4. Belajar ‘Kemanisan’ Berkongsi

Kalau ada anak 1 atau 2, mungkin kebanyakan ibu bapa akan membeli seorang satu. Kalau anak 4 pula, jaranglah ibu bapa nak beli 4 benda yang sama, bukan?

Oleh sebab itu, mahu atau tidak kita perlu belajar untuk berkongsi. Dengan berkongsi, kita dapat mempelajari cara bertoleransi dan berunding secara berkesan.

Lebih menarik juga bila dapat berkongsi pada usia dewasa. Sangat bertuah rasanya jika saiz pakaian kita dan adik beradik lain lebih kurang sama, boleh tukar-tukar pakaian bila bosan. Kalau tak muat baju, boleh pinjam aksesori mereka seperti tudung, topi, atau cermin mata hitam.

Foto Kredit: themalaymailonline.com

5. Keluarga Yang Meriah!

Orang zaman sekarang mungkin terpaksa bawa anak untuk sesi playgroup dan sebagainya untuk mengajar anak bermain dengan ‘kawan’. Tapi kalau dah ada adik-beradik di rumah, tak perlu lagi. Malah, tentu lebih seronok dan meriah – menjerit dan gelak ketawa sampai boleh dengar dari luar rumah.

Bukan setakat bergurau, adik-beradik kita inilah juga yang akan menjadi teman setia kita sejak kecil hingga dewasa. Mereka yang paling senang dibawa berbincang walaupun ada perbezaan umur. Bila bertegang urat sesama sendiri, yang lain pasti ada untuk kita berbicara dan menyelesaikan masalah.

Foto Kredit: pinterest.com

6. Menyumbang Kepada Ekonomi

Selain disebabkan faktor psikologi, penting juga untuk kita tahu bahawa jumlah 4 orang anak turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Laporan Astro Awani pada tahun 2016 menyarankan setiap keluarga di negara ini agar memiliki 4 orang anak. Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata bahawa 4 orang anak mampu meluaskan sumbangan asas domestik dalam merancakkan ekonomi negara.

Bukan apa, kini purata bilangan anak rakyat Malaysia semakin menurun. Menurut statistik terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata kelahiran yang dicatatkan penduduk negara ini menurun kepada 2.0 orang anak bagi setiap keluarga pada tahun 2014, berbanding 4.0 orang anak pada 1980, 3.0 orang anak pada 2000 dan 2.1 orang anak pada 2010.

Penurunan kadar kesuburan ini sebenarnya akan memberi implikasi kepada struktur umur penduduk pada masa hadapan. Bila terlalu ramai warga emas berbanding belia dan golongan bekerja, ia mampu menjejaskan keseimbangan ekonomi – seperti yang berlaku di negeri China selepas mengamalkan Polisi Satu Anak.

Jaga Hubungan Adik-Beradik

Apapun yang terjadi, kita tetap akan kembali kepada mereka. Tak kiralah berapa ramai pun adik-beradik anda, jagalah hubungan dengan mereka selagi mereka masih di sisi. Mereka ini bagai pelukan hangat yang kita sering rindukan bila berjauhan.

Walaupun lawak mereka selalunya hambar, tapi lawak itu jugalah yang kita ingat, kan? Walaupun asyik bertekak, mereka jugalah yang kita percaya untuk berkongsi segala ‘top secret’ yang tak pernah diberitahu pada orang lain, kan?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×