Seorang wanita Afrika Selatan menyambut ulang tahun kelahirannya minggu ini dan dipercayai menjadi manusia tertua di dunia. Komuniti di negara itu kini berusaha untuk membantu meletakkan nama Johanna di dalam Rekod Dunia Guinness (GWR).
Johanna Mazibuko, yang menetap di wilayah Barat Laut Afrika Selatan, dilaporkan menyambut hari lahirnya yang ke-128 pada hari Rabu, 11 Mei dan mengikut kad identitinya, wanita itu dilahirkan pada 1894.
WANITA USIA 128 TAHUN KONGSI RAHSIA PANJANG UMUR
Memetik laporan Metro UK, dia diilahirkan di ladang jagung dan merupakan anak sulung daripada 12 beradik, tiga daripadanya masih hidup sehingga kini.
“Kami hidup gembira di ladang berkenaan dan tidak menghadapi sebarang masalah,” ujarnya.
Wanita itu juga berkongsi pengalaman berdepan dengan serangan belalang sehingga keluarganya menemui cara baharu untuk mengawal serangga itu.
“Ada belalang yang boleh kami tangkap dan makan kerana rasanya seperti daging selepas digoreng,” katanya.
Johanna menjelaskan dia membesar dengan meminum susu segar bersama bayam liar dan tidak sesekali mencuba masakan moden. Johanna berkahwin dengan seorang duda yang lebih tua bernama Stawana Mazibuko pada usia yang tidak dapat diingatinya.
“Saya berkahwin dengan seorang lelaki berusia selepas kematian isteri pertamanya. Dia seorang yang berdikari dan mempunyai kuda serta lembu.
“Saya boleh memerah susu lembu segar dan membuat mentega untuk dijual. Dia melayani saya dengan baik sehingga kisah silam kehidupan sebelum berkahwin dapat dilupakan,” jelasnya.
Dia mempunyai tujuh anak dengan Stawana, dua daripadanya masih hidup hari ini. Selain dua anaknya, Johanna mempunyai kira-kira 50 cucu dan cicit.
Johanna mengatakan dia juga tidak pasti bagaimana boleh mencapai usia yang begitu lanjut.
“Apabila saya mati, mereka mesti menyembelih seekor lembu untuk saya. Mereka mesti menguburkan saya dengan baik, supaya saya tidak pernah mengganggu mereka.” ujarnya sekali lagi.
Sumber: Metro UK