“Dah lama anak aku ni selsema tak baik baik lagi…”
Jika anak-anak selsema, penting untuk ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan rawatan supaya tidak melarat. Namun, ada situasi dimana anak-anak selsema dalam tempoh yang lama dan paling merisaukan adalah nafas mereka pun turut berbau. Tapi kenapa berbau?
Berikut merupakan penjelasan dari Dr Ahmad Luqman Bukhairi di laman Facebooknya dimana ibu bapa perlu ‘alert’ dengan situasi ketika anak sedang bermain. Ada kemungkinan bahawa barang mainan yang kecil dimain oleh anak-anak tersebut dimasukkan ke dalam hidung atau telinga mereka!
KENAPA ANAK TIBA-TIBA NAFAS BERBAU?
Memang tak senang hati bila tengok si kecil tu asyik duk merengek sebab hidung berhingus, selsema tak baik-baik. Lately ni pulak perasan yang nafasnya mula berbau busuk tak macam selalu.
“Sebab tu lah saya bawa dia ke mari. Tak tahan dah hari-hari saya tengok keadaan dia macam tu. Doktor tolong periksa ya.”
Nah, mengucap panjang sampai ternganga mulut mak ayah budak bertuah tu akibat terlampau terkejut bila dimaklumkan hasil penemuan selepas kedua-kedua belah hidungnya diperiksa. Rupa-rupanya ada sepasang patung mainan yang tersangat kecil dah jadi penduduk tetap kat dalam tu.
Patutlah selsema tak sembuh bahkan sampai lendir hingus pun berbau busuk. Kalaulah dibiarkan lama lagi, tak mustahil budak tu berisiko untuk terkena jangkitan yang lebih teruk. Tapi nak buat macam mana, nak marah pun tak guna sebab memang dah fitrah anak kecil, imaginasi dia orang ni sangat hebat.
BAHAYA KALAU ANAK MASUKKAN BENDA DALAM HIDUNG & TELINGA
Tiap kali jumpa benda baru mesti nak bereksperimen. Kacang, mainan, butang baju, mata pensil, span, kertas, bateri dan macam-macam lagi. Benda-benda ni kalau tak masukkan kat hidung, boleh jadi disumbat ke dalam telinga. Sebab tu saya nak mintak tolong sangat-sangat kat mak ayah semua supaya berhati-hati dan lakukan 4 perkara ni selalu:
1. Tolong cek kat seluruh pelusuk rumah kita tu. Kalau ada barang atau mainan yang terlampau kecil, simpan kat tempat tersorok dan jangan berikan kat si kecil kita.
2. Perhatikan si kecil tu tiap kali dia bermain. Kadang tu bukan setakat disumbatnya objek kat dalam hidung atau telinga, kes telan objek masuk mulut pun selalu je kami jumpa.
3. Kalau perasan anak kita tu asyik selsema je, lepas tu baunya pulak busuk dan pelik, bawak je untuk pemeriksaan.
Jangan terkejut pulak ye kalau tiba-tiba nanti terjumpa benda yang tak terjangkau langsung kat dalam fikiran kita ni.
4. Dalam kes foreign body tersumbat dekat lubang hidung macam ni, boleh jadi jugak anak kita tu akan mengadu sakit hidung tersumbat, susah nak bernafas dan pergerakan nafasnya berbunyi. Jika terjadi macam ni, dapatkan bantuan di fasiliti kesihatan segera. Paling menakutkan kalau si kecil tu tersedut objek tadi lalu termasuk ke saluran paru-paru sebab risiko kematian mengejut akan jadi sangat tinggi! Jangan main-main ye.
Tolong #share artikel ni dengan pasangan masing-masing ye. Wajib kena ingatkan antara satu sama lain lagi-lagi kalau kat rumah kita tu ada anak kecil supaya kita dapat elakkan benda tak elok ni dari berlaku kat dalam rumah kita sendiri.
Sumber: Dr Ahmad Luqman Bukhari