Akibat banjir di Pantai Timur, seorang pemuda yang tinggal di Kampung Chapu, Kuala Berang Terengganu tular di media sosial kerana tindakannya mengikat tiga tong dram di bawah katil boleh laras milik bapanya.
Tindakan itu dilakukan demi keselesaan ayah ketika banjir ini yang hanya terbaring akibat sakit. Selain itu, mengikat tong dram turut dapat membantu memudahkan warga emas itu untuk solat.
Baca juga: Ucapan Graduan Terbaik Ini Buat Ramai Sebak, “Terima Kasih Atas Pengorbanan Opah & Arwah Atuk…”
ANAK IKAT TONG DRAM DI KATIL AYAH DEMI KESELESAAN
Zulkifli Che Noh, 37, menjelaskan bahawa idea mengikat tong dram dengan menggunakan tali itu dicadangkan penduduk kampung memandangkan bapanya, Che Noh Che Hassan, 79, tidak mampu untuk bangun atau duduk sejak awal tahun ini akibat penyakit saraf.
“Ayah sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini, dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tetapi tahun ini, ayah tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya terlantar di atas katil.
“Sebelum ini, apabila rumah dinaiki air, ayah akan duduk di atas kerusi yang ada pemegang dan saya bersama penduduk kampung akan angkat ayah bersama kerusi itu untuk naik ke atas loteng rumah. Tahun ini, saya memikirkan cara supaya tidak perlu lagi mengangkat ayah naik ke atas loteng,” jelasnya.
Dia turut menjelaskan pelbagai kaedah penyusunan tong dram dilakukan agar katil tersebut terapung selain mudah dipusing ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat.
Usahanya itu ternyata membuatkan hasil apabila katil tersebut berjaya diapungkan walaupun air sudah mula memasuki rumah sehingga paras paha.
“Selama ini pun ayah biasanya hanya tinggal di loteng rumah kalau banjir kerana dia tidak selesa untuk tinggal di PPS berikutan keadaan kesihatannya itu.
“Jadi, saya bersama ibu (Zainab@Halimah Ismail, 77) dan adik-beradik bergilir menjaga ayah di rumah sepanjang banjir ini sementara ahli keluarga lain berada di PPS,” katanya.
Walau bagaimanapun, jika keadaan banjir semakin teruk dan kami diarahkan pindah, mereka sekeluarga akan berikhtiar untuk memujuk dan membawa ayahnya ke PPS.
Dia turut memberitahu bahawa kawasan rumahnya akan dinaiki air setiap kali musim tengkujuh kerana terletak berhampiran sungai.
Baca juga: Panduan Gred Markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), Rupanya Markah 80% Dalam Gred B
Sumber: Sinar Harian