Sempena bulan kemerdekaan ini, penulis ingin berkongsikan beberapa nama tokoh wanita Malaysia yang telah membanggakan kita semua, sama ada kejayaan di dalam mahupun di luar negara. Di mana, tokoh-tokoh ini datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza dan cemerlang dalam bidang masing-masing.
Mari lihat senarainya di bawah ini!
Baca juga: Dah 67 Tahun Malaysia Merdeka, Ini Senarai Logo & Tema Hari Kebangsaan 1970 – 2024!
TOKOH WANITA MALAYSIA
1. Yang Mulia Ungku Tan Sri Dr. Zeti Akhtar
Yang Mulia Ungku Tan Sri Dr. Zeti Akhtar merupakan anak kepada Almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Sharifah Azah Aziz.
Beliau sangat masyhur di Malaysia kerana jawatannya sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. Di mana, beliau memegang jawatan tersebut bermula 1 Mei 2000 sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh.
Malah, beliau juga dilihat sebagai salah seorang wanita yang begitu berkuasa di Malaysia.
Mengukuhkan lagi statusnya itu, pada 13 September 2010, Zeti terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance.
2. Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat
YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat ialah peguam Malaysia dan Ketua Hakim Negara yang kesepuluh. Di mana, beliau merupakan wanita pertama yang memegang jawatan di dalam jabatan kehakiman tertinggi di negara ini.
Tengku Maimun diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019, menggantikan Richard Malanjum yang bersara pada 12 April 2019.
Antara kes berprofil tinggi di bawahnya sebagai Ketua Hakim Negara adalah Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak.
Di mana, Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sebelum menjawat jawatan tersebut, Yang Amat Arif Tun telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada Januari 2013. Kemudian, November 2018, beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini.
Baca juga: Hero Kanchong Darat ‘Mendunia’, Anak-Anak Sidek Gah Takluki Pentas Badminton!
3. Datuk Dr (HC) Nicol Ann David
Peminat sukan skuasy dunia pasti mengenali identiti bernama Datuk Dr Nicol Ann David yang merupakan seorang pemain skuasy profesional Malaysia dan juga wanita Asia pertama menduduki tangga no.1 dunia dalam sukan skuasy wanita.
Beliau pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008 serta gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010. Selain itu, Nicol merupakan pemain skuasy pertama yang menjuarai Kejohanan Skuasy Junior Sedunia dua kali (1999 & 2001).
Antara pencapaian lain Nicol David termasuk Kejohanan Skuasy Asia yang dijuarainya tujuh kali (1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 dan 2010).
Beliau juga mempertahankan tempoh kejuaraan demi kejuaraan selama 13 bulan dan 51 perlawanan mulai Mac 2006, hingga tewas di tangan Natalie Grinham di Terbuka Seoul pada April 2007. Bagaimanapun, beliau sekali lagi membuat rentetan tanpa kalah selama Nicol turut meraih Pemain Terbaik WISPA enam kali berturut-turut, dari tahun 2005 hingga 2010.
Ketika di bangku sekolah, Nicol merupakan pelajar cemerlang yang memperoleh 7A dalam Penilaian Menengah Rendah dan juga 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Berkat baktinya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, Nicol dikurniakan Darjah Bakti (7 Jun 2008) sempena sambutan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjadikan beliau penerima pertama anugerah ini yang diasaskan pada 26 Jun 1975.
4. Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin
Kejayaan Dato’ Sri Siti Nurhaliza di dalam dunia industri muzik Malaysia bermula seusia 16 tahun apabila memenangi pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995.
Selepas 2 tahun beliau menjejak kaki di industri muzik Malaysia, beliau telah dipilih untuk mengadakan persembahan penutup bagi Sukan Komanwel 1998 di hadapan Ratu Elizabeth II. Kejayaan beliau di rantau Asia melayakkan beliau menerima gelaran Suara Asia dan Celine Dion Asia oleh peminat dan pakar muzik daripada dalam dan luar negara.
Tahun 2005 menjadikan Siti sebagai artis pertama dari Asia Tenggara dan ketiga dari Asia yang mengadakan konsert secara solo di Royal Albert Hall, London yang diiringi oleh kumpulan Orkestra Simfoni London.
Beliau merupakan antara artis yang paling berpengaruh di Kepulauan Melayu, Rantau Nusantara dan Asia Tenggara apabila memenangi sebanyak 10 kali berturut-turut anugerah bagi kategori Artis Serantau Paling Popular sehingga mengalahkan artis-artis lain dari Malaysia, Singapura dan Indonesia di Anugerah Planet Muzik bermula pada tahun 2001 sehingga 2011.
Sepanjang kerjayanya, Siti telah memenangi lebih 300 anugerah daripada dalam dan luar negara. Keunggulan beliau di persada seni telah menempa nama di industri muzik Malaysia sehingga telah mendapat pelbagai gelaran panggilan seperti Ratu Pop Malaysia, Diva Asia dan Ratu Pop Asia oleh peminat muzik di dalam negara mahupun di luar negara.
Sekaligus, Dato’ Sri Siti Nurhaliza muncul sebagai antara satu-satunya penyanyi dan anak seni yang paling berjaya, berpengaruh, banyak memenangi anugerah dan menerbitkan single dalam sejarah industri hiburan Malaysia.
Baca juga: Top 11 Atlet Jelita Olimpik Paris 2024, Yang No.5 Itu Bikin Hati Cair Bila Pandang!
5. Dr. Nur Amalina Che Bakri
Detik permulaan nama Nur Amalina Che Bakri menjadi terkenal apabila beliau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 2004 dengan memperoleh 17A1. Sekaligus, menjadi pemeroleh A terbanyak dalam sejarah peperiksaan tersebut.
Beliau merupakan anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan, seorang pengetua sekolah menengah dan bapanya Che Bakri, seorang jurutera, Timbalan Pengarah di DBKL.
Beliau menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Edinburgh pada Julai 2013.
Kemudian, melanjutkan pengajian dalam Masters of Philosophy (MPhil) in Translational Medicine and Therapeutics (TMAT) di Universiti Cambridge. Beliau menjalani latihan sebagai doktor junior di Hospital Universiti Cambridge selama 2 tahun, sebelum memulakan latihan sebagai seorang doktor pakar bedah.
Pada 2019, Dr Nur Amalina Che Bakri yang merupakan pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom (UK), telah terlibat dalam pembedahan membuang ketumbuhan di mulut bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di London.
6. Tan Sri Michelle Yeoh
Tan Sri Michelle Yeoh ialah seorang pelakon wanita Malaysia yang dikreditkan sebagai Michelle Khan dalam filem-filem terawalnya di Hong Kong. Beliau meniti kemasyhuran pada tahun 1990-an selepas membintangi dalam beberapa siri filem aksi Hong Kong yang mana beliau melakukan sendiri aksi ngerinya seperti Police Story 3: Supercop (1992).
Selepas berpindah ke Amerika Syarikat, Yeoh meraih pengiktirafan antarabangsa kerana membintangi filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997). Pada tahun sama, beliau telah dipilih oleh majalah People sebagai salah seorang daripada “50 Orang Paling Tercantik di Dunia” dan menyenaraikan beliau sebagai salah seorang “35 Jelitawan Layar Lebar Sepanjang Zaman”.
Kerjayanya berkembang dengan filem-filem seperti The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008), Kung Fu Panda 2 (2011) dan The Lady (2011) yang mana beliau melakonkan watak Aung San Suu Kyi. Laman web agregat ulasan filem Rotten Tomatoes menyenaraikan beliau, antara heroin aksi terhebat sepanjang zaman pada tahun 2008.
Beliau memenangi Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik yang menjadikan rakyat Asia pertama memenangi anugerah tersebut dan menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Akademi dalam sebarang kategori untuk peranannya di dalam Everything Everywhere All at Once (2022).
Kemudian tahun yang sama, Time menamakan beliau sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh dunia di dalam senarai tahunannya dan Ikon Tahun Ini.
Tahun 2023 melengkapkan lagi ‘portfolio’ beliau dalam dunia seni apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95, di Los Angeles.
Baca juga: Digelar Lelaki Melayu Terkaya Malaysia, Kenali Sisi Jutawan ‘Low Profile’ Ini!