40 Minggu

7 Tips Banyakkan Susu Ibu. Biar Bertambah Pekat!

75.3K
reads
Tips banyakkan susu ibu

Tips Banyakkan Susu Ibu

Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Kolostrum yang dihasilkan oleh payudara ibu pada beberapa hari terawal akan membekalkan antibodi yang baik untuk bayi melawan jangkitan. Penyusuan pertama bayi akan dimulakan dengan menjilat, hisap dan berhenti sebentar. Pola hisapan sebegini biasanya berlaku beberapa jam dan adakalanya beberapa hari. Bayi akan pandai menghisap susu dan melekap pada payudara ibu dengan sendirinya. Ibu yang pertama kali melahirkan pasti teruja melihat dan merasai keadaan ini.

Proses penyusuan merupakan satu kepuasan kepada si ibu. Namun begitu, sesetengah ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi masalah kekurangan susu. Hal ini biasanya terjadi kepada ibu yang berkerjaya. Pelbagai punca yang dikhuatiri mempengaruhi penghasilan susu. Apabila puncanya dapat dikenalpasti, cara mengatasinya akan jadi lebih mudah.

Oleh itu, kenalpasti punca susu badan anda merudum dan cari penyelesaiannya segera demi bayi tersayang.
Di sini saya senaraikan beberapa cara yang boleh dipraktikkan oleh para ibu untuk menambah susu badan. Mari kita semak satu persatu:

 

1. Jangan panik, bawa bertenang

Tips banyakkan susu badan

Solat ialah terapi yang sangat mujarab

Ya! Anda perlu bertenang. Tekanan merupakan salah satu punca penghasilan susu terganggu. Ramai yang tidak sedar akan perkara ini, namun anda perlu tahu bahawa semasa anda bertenang, tindakbalas hormon akan meneutralkan dan membantu dalam pengeluaran susu.

Tak percaya? Cubalah!

Anda boleh cuba buat begini. Semasa memerah atau menyusukan bayi, cuba bayangkan perkara yang indah-indah. Contohnya, mengimbas kembali kenangan manis bersama suami atau orang tersayang. Bayangkan detik-detik perkenalan dan percintaan kalian sehingga membawa hingga ke jinjang pelamin. Anda juga boleh mengangankan percutian yang diimpikan seperti bercuti di pulau peranginan yang mendamaikan dan sebagainya.

Selain itu, alunan muzik atau mendengar ayat-ayat al-quran juga bisa membantu anda untuk bertenang. Akhir sekali, yang paling mudah boleh dipraktikkan ialah, semasa memerah susu, bayangkan wajah dan keletah bayi anda yang comel itu. Ini pasti sangat membantu dalam pengeluaran susu anda. Anda pasti teruja melihat susu mengalir laju ketika memerah susu.

 

2. Sentiasa berfikiran positif

Tips banyakkan susu ibu

Foto Kredit: acupofknow.com

Ramai ibu yang gusar tentang penghasilan susu badan mereka. Para ibu panik apabila susu yang dipam semakin hari semakin berkurangan. Bayi yang disusukan pula sering merengek dikhuatiri tidak cukup susu. Bagaimana dan kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya ialah ‘mindset’. Otak merupakan organ utama yang mempengaruhi tindakan manusia. Setiap fikiran atau idea yang dijana oleh otak akan dihantar ke anggota badan yang lain untuk bertindak.

Sebagai contoh, perut yang berkeroncong kelaparan akan menghantar isyarat ke otak lalu otak akan menjana sesuatu idea untuk membolehkan perut diisi. Kemudian otak akan menghantar isyarat ke anggota badan yang lain sama ada untuk memasak atau membeli sesuatu untuk dimakan. Demikianlah juga perihal menyusu ini.

Berfikiran positiflah wahai ibu sekalian. Apabila anda berfikiran positif, otak akan menghantar isyarat ke kelenjar payudara untuk menghasilkan susu yang lebih banyak dan melancarkan pengeluaran susu anda. Sentiasalah berfikir bahawa susu badan anda cukup untuk si comel.

 

3. Belajar ilmu ‘supply and demand’

Ini bukan mata pelajaran ekonomi. Ini adalah tentang susu badan. Namun ia sangat penting, dan kami masukkan sebagai salah satu tips banyakkan susu badan.

Tahukah anda apa itu ‘supply and demand’?

Para ibu perlu tahu bahawa lebih banyak susu dikeluarkan, lebih banyak lagi susu akan dihasilkan. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘supply and demand’. Susukanlah bayi anda sekerap mungkin. Bayi seharusnya disusukan mengikut kehendak mereka. Tiada waktu dan jumlah susu yang tetap untuk seseorang bayi. Perut bayi sangat kecil semasa lahir dan susu yang diperlukan juga memadai untuk perut mereka.

Susu yang dihasilkan oleh payudara anda sebenarnya cukup untuk bayi anda mengikut umurnya. Jadi jangan bimbang jika bayi kerap merengek walaupun sudah menyusu beberapa kali. Naluri bayi ingin selalu didakap dan dibelai terutamanya oleh ibu mereka. Adakalanya bayi yang merengek bukan mahu menyusu tetapi hanya inginkan bau ibu serta sentuhan kulit ke kulit (skin contact) yang menenangkan mereka. Mereka akan mudah terlena di dalam dakapan ibu.

Salah satu hikmahnya menyusukan bayi iaitu dapat mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi. Bermula dari dalam rahim bayi dikendong oleh ibu dan setelah lahir mereka masih ingin berasa selesa seperti di dalam kandungan. Maka dakaplah bayi anda dan berikanlah anak anda susu pada bila-bila masa yang mereka mahu. Selain mendapat khasiat dari susu ibu, bayi juga akan gembira dan tidak meragam.

 

4. Perah susu badan

Tips banyakkan susu ibu

Pilih breastpump yang selesa

Ini tidak perlu diberitahu lagi. Jika mahu banyak simpanan, kena perah banyak-banyak. Inilah antara tips banyakkan susu badan yang banyak diamalkan oleh ibu bekerja.

Para ibu yang bekerja dan menghantar bayi mereka untuk dijaga oleh pengasuh perlu memerah susu badan untuk diberi kepada bayi semasa ketiadaan ibu. Susu perahan disimpan dengan baik di dalam peti sejuk sebagai stok. Latihlah diri anda memerah susu badan sejak di dalam pantang lagi. Buatlah stok seawal yang boleh.

Ibu yang bekerja disarankan agar memerah susu di tempat kerja. Ambillah sedikit masa untuk memerah susu sama ada menggunakan pam ataupun tangan. Buatlah satu jadual memerah yang ringkas untuk membantu anda dalam proses penyusuan ini. Perahlah susu secara konsisten. Set jam penggera jika perlu. Jadual memerah ini sangat membantu khususnya kepada ibu yang berkerjaya. Memerah susu secara konsisten akan membantu penghasilan semula susu selepas diperah.

Selain dari ibu yang bekerja, surirumah juga digalakkan memerah dan menyimpan stok susu kerana jika berlaku kecemasan terhadap si ibu, bayi masih mendapat susu ibu. Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’.

 

5. Kosongkan payudara

Tips banyakkan susu ibu

Foto Kredit: globalnews.ca

Satu lagi cara yang disarankan untuk ibu menyusu ialah sentiasa mengosongkan payudara. Apa yang dimaksudkan dengan mengosongkan payudara adalah kerap menyusukan bayi atau memerah susu badan. Payudara tidak seharusnya dibiarkan membengkak dipenuhi susu. Malah jika payudara membengkak, ibu akan dikhuatiri mendapat demam secara tiba-tiba. Jika payudara kosong, susu akan dihasilkan semula dengan lebih cepat dan kembali memenuhi payudara.

Sebaliknya, payudara yang penuh dan membengkak akan menyebabkan penghasilan susu semakin berkurangan. Untuk lebih mudah difahami, lebih banyak ruang kosong di kantung payudara, lebih banyak susu yang akan dihasilkan. Semakin lambat payudara dikosongkan, semakin kurang potensi susu akan dihasilkan.

Satu cara yang cepat untuk mengosongkan payudara ialah dengan memerah susu pada bahagian sebelah payudara semasa bayi menyusu pada payudara sebelah lagi dengan menggunakan pelbagai kaedah yang ibu selesa. Contohnya, bayi menyusu di payudara kanan, manakala payudara di sebelah kiri diperah menggunakan pam elektrik.

 

6. Makanan perangsang susu badan (milkbooster)

Tips banyakkan susu ibu

Foto Kredit: likes.com

 

Susu ibu yang pekat adalah susu yang paling berkualiti dan mengenyangkan bayi walaupun kuantitinya sedikit. Di dalam usaha menambah dan memekatkan susu badan, para ibu perlu menitikberatkan makanan perangsang susu badan dalam pemakanan seharian. Makanan perangsang susu badan ini lebih terkenal dengan nama ‘milkbooster’. Terdapat pelbagai sumber makanan dan minuman yang boleh bertindak sebagai ‘milkbooster’.

Setiap ibu akan berlainan ‘milkbooster’ yang diperlukan bergantung kepada kadar hormon masing-masing. Anda perlu mencuba beberapa jenis makanan atau minuman dan menilai tahap penghasilan susu badan anda kemudiannya. Jika anda merasakan payudara seakan cepat penuh, berkemungkinan apa yang diambil sebelum itu merupakan ‘milkbooster’ anda. Setiap ibu biasanya mempunyai lebih dari satu ‘milkbooster’. Selain itu, anda juga boleh mengambil makanan tambahan (supplement) dalam bentuk pil, serbuk atau cecair yang terdapat di pasaran sebagai perangsang susu badan.

Biasanya para ibu yang sibuk akan mengambil makanan tambahan untuk membantu dalam penghasilan susu badan. Walaubagaimanapun, anda digalakkan mengambil ‘milkbooster’ semulajadi kerana ianya lebih selamat dan menjimatkan. Carilah ‘milkbooster’ anda dan nikmatilah hasilnya!

 

7. Banyakkan minum air masak

Tips banyakkan susu ibu

Foto Kredit: bmore.net

Kita tidak dapat menyangkal bahawa air merupakan elemen penting dalam sistem tubuh badan manusia. Minumlah air sekurang-kurangnya 8-10 gelas atau 3 liter sehari. Air adalah ejen yang akan membantu dalam melancarkan proses pengeluaran susu badan. Kurangnya air di dalam badan akan menyebabkan kulit menjadi kering terutamanya kepada ibu menyusu yang sedang dalam proses memperbaiki sistem tubuh badan selepas melahirkan bayi.

Air juga diperlukan dalam proses perkumuhan. Badan yang kekurangan air akan mudah dijangkiti penyakit kerana bahan toksik tidak dapat dikeluarkan dari badan melalui proses perkumuhan. Amalkan minum air kosong lebih banyak. Minum secara kerap dalam kuantiti yang sedikit akan lebih efektif untuk mencapai target 3 liter sehari.

Jadikan air kosong sebagai teman rapat anda seperti juga anda membawa telefon bimbit dan kad pengenalan anda ke serata tempat. Bawalah bekal air minuman ke pejabat dan letakkan di atas meja atau di tempat yang mudah dilihat. Nescaya alasan lupa atau tiada air minuman tidak boleh digunapakai lagi selepas ini.

 

Teknik penyusuan susu ibu

Kini anda sudah tahu bagaimana cara dan tips banyakkan susu ibu. Namun, tahukah anda, bagaimana cara penyusuan yang betul? Ikut video dari Kementerian Kesihatan ini.

 

Akhir kata

Tips banyakkan susu ibu

Foto Kredit: istockphoto.com

Demikian beberapa cara yang dapat dikongsi kepada para ibu untuk membantu dalam menambah susu badan. Semoga saranan yang disenaraikan ini dapat memberi manfaat kepada anda demi mengekalkan kuantiti dan kualiti susu badan untuk bayi comel anda. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Kesimpulannya, pokok pangkalnya ialah usaha oleh para ibu sekalian.

Bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Setelah pelbagai usaha dilakukan, bertawakallah dan panjatkanlah doa kepada yang Maha Berkuasa. Semoga bayi yang disusui dilimpahkan rezeki untuknya membesar dengan sihat dan sempurna. Sesungguhnya semua ibu pasti menginginkan yang terbaik untuk bayi mereka. Tanamkanlah azam untuk menyusukan bayi secara eksklusif sejak mengandung.

In Shaa Allah, proses penyusuan anda akan dipermudahkan.

 

 

 

 

Yang Popular

To Top