Media Prima Berhad ingin menjelaskan bahawa terdapat tiada perubahan kepada pemilikan saluran televisyen di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima, iaitu Natseven TV Sdn Bhd (“ntv7”) dan ia juga tidak berhenti operasi seperti tanggapan dan laporan sesetengah pihak.
DIDIKTV KPM ADALAH KOLABORASI BERSAMA MEDIA PRIMA DAN KPM
Ini susulan daripada berita pelancaran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (“DidikTV KPM”) pada hari ini. DidikTV KPM merupakan kolaborasi komersil strategik di antara Media Prima dan Kementerian Pendidikan Malaysia (“KPM”). Inisiatif yang diambil ini adalah usaha dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti.
DidikTV KPM akan menyiarkan kandungan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM, di samping program-progam berkaitan pendidikan termasuk kandungan didik hibur (edutainment) . Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi.
Slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari, pukul 7.30 malam dan siaran ulangan pada pukul 12.00 tengah hari keesokannya. Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan ko-kurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan turut diberikan liputan.
Di samping itu, tiga program tersedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan kandungan yang relevan dengan dunia pelajar. Berita baik buat calon-calon SPM, ntv7 akan menambah slot waktu program popular Road To Success SPM 2020 bagi membantu mereka gerak gempur sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Februari ini.