Bersalin

Lewat Datang Haid Selepas Bersalin, Ini 5 Perkara Ibu Perlu ‘Expect’

haid selepas bersalin

“Dah nak masuk 5 bulan bersalin ni, tapi aku belum datang period lagi. Normal ke?”

Sepanjang kehamilan, 9 bulan kita ‘bebas’ daripada haid. Selepas bersalin, ibu-ibu akan mengalami pendarahan yang disebut nifas.

Apabila tamatnya nifas, mungkin para ibu menjangkakan haid akan datang dalam bulan yang seterusnya. Tapi, sepertimana kehidupan kita berubah selepas kehadiran bayi, kitaran haid kita juga tidak akan lagi sama seperti sebelum mengandung dahulu.

Ada yang dah datang haid seawal 3 bulan selepas melahirkan dan ada juga yang tak datang haid selepas berbulan-bulan lamanya. Mana satukah yang normal dan adakah kita patut risau?

Ini 5 perkara untuk anda fahami tentang haid pertama selepas bersalin.

Lewat Datang Haid Selepas Bersalin, Ini 5 Perkara Ibu Perlu ‘Expect’

1. Lewat Datang Haid Selepas Bersalin Adalah Normal

Haid anda akan datang semula paling awal sekitar minggu ke-8 selepas melahirkan, itupun sekiranya anda tidak menyusu badan.

Jika anda menyusu badan sepenuhnya, adalah normal untuk haid anda datang lebih lewat atau terhenti buat sementara waktu. Tempoh haid untuk kembali berbeza bergantung kepada kekerapan anda menyusu serta paras hormon dalam tubuh masing-masing.

Menurut WHO, seseorang wanita hanya akan kembali mengalami haid antara tempoh 4 hingga 10 bulan selepas bersalin, namun boleh juga mencapai 15 hingga 18 bulan selepas bersalin, bahkan ada yang mencapai tempoh 24 bulan, terutamanya jika mereka menyusu badan secara ekslusif.

tanda habis haid

Foto Kredit: tentantes.com.br

2. Menyusu Badan Menyebabkan Haid Datang Lebih Lewat

Apabila menyusu badan, hormon prolaktin, iaitu hormon yang diperlukan untuk menghasilkan susu badan boleh menjejaskan penghasilan hormon reproduktif. Oleh sebab itu, tubuh tidak berovulasi secara aktif seperti sebelum ini.

Tanpa proses ovulasi yang normal, wanita tidak akan mengalami haid. Pakar-pakar juga berpendapat bahawa lebih kerap anda menyusukan bayi, lebih lambat kitaran haid anda akan bermula semula.

Tips banyakkan susu ibu

Foto Kredit: istockphoto.com

3. Tak Datang Haid Tetap Boleh Mengandung

Seperti yang kita tahu, penyusuan badan boleh bertindak sebagai perancang kehamilan semulajadi. Tapi ia tidak memberi jaminan 100% bahawa anda tidak akan mengandung apabila anda kembali aktif melakukan hubungan intim.

Menurut Babycenter, kebarangkalian untuk hamil adalah lebih tinggi walaupun tanpa haid sekiranya

  • usia bayi anda melebihi enam bulan
  • bayi anda tidak menyusu badan dengan kerap dan diberi susu formula
  • penyusuan bayi tidak berlaku secara direct (melalui botol susu yang diperah)
Ketahui waktu subur atau ovulasi

Ketahui waktu subur atau ovulasi

4. Apa Yang Boleh Dijangkakan Pada Haid Pertama Selepas Bersalin

Haid yang datang pertama kali selepas bersalin kebiasaannya tidak sama seperti haid yang biasa anda alami selama ini. Ini kerana tubuh anda sedang menyesuaikan diri dengan proses menstruasi.

Oleh sebab itu, tubuh mungkin akan memberi sedikit tindakbalas pada haid seperti:

  • terdapat ketulan darah
  • rasa cramp yang mungkin lebih sakit atau sebaliknya
  • haid yang terhenti-henti
  • tempoh kitaran yang tidak tetap
tanda tidak subur

Foto Kredit: coveville.com

5. Haid Juga Boleh Mempengaruhi Susu Badan

Selain perubahan di atas, anda mungkin mendapati beberapa perubahan pada susu badan anda. Menurut HealthLine.com, perubahan hormon ketika tempoh haid ini mungkin menyebabkan bekalan susu badan anda berkurangan, berubah rasa atau komposisinya.

Namun begitu, anda tak perlu risau kerana perubahan yang berlaku selalunya tidak ketara dan tidak akan mengganggu proses penyusuan bayi.

Foto Kredit: youtube.com

Bila Patut Risau?

Ibu-ibu mungkin risau sekiranya haid anda masih belum datang walaupun dah melebihi 1 tahu bersalin, terutamanya bagi mereka yang merancang untuk mendapatkan cahaya mata seterusnya.

Jika anda khuatir tentang hal ini, anda boleh melakukan pemeriksaan khusus untuk mengetahui kadar hormon dan kesuburan anda di klinik atau hospital.

Selain itu, apabila anda mengalami haid / simptom pendarahan seperti berikut, pastikan anda merujuk kepada doktor.

  • haid yang terlalu banyak – terpaksa bertukar pad setiap jam
  • pendarahan yang disertai dengan demam dan kesakitan melampau
  • pendarahan melebihi 7 hari
  • ketulan darah yang besar
  • darah yang berbau kuat
  • sakit kepala yang serius
  • rasa sakit semasa membuang air kecil

Jumlah haid yang banyak dan kesakitan yang kuat adalah tidak normal dan membimbangkan kerana boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti anemia, jangkitan, dan masalah rahim. Maka, jangan teragak-agak untuk mendapatkan rawatan bagi masalah seperti ini ya!

Yang Popular

To Top